Friday, 21 February 2014

KISAH NORASID DAN MAZNAH - STIGMA HIDUP DENGAN HIV

Stigma dan diskriminasi terhadap orang yang hidup dengan HIV berlaku dalam semua masyarakat di seluruh dunia.

SEHINGGA kini, pelbagai langkah telah dilakukan sebagai usaha untuk mengekang penularan jangkitan HIV termasuklah kempen-kempen tanpa had dan juga ubat-ubatan yang dibekalkan oleh kerajaan secara percuma. 

Antaranya ialah program rawatan HAART (Highly Active Anti-Retroviral Therapy), jarum suntikan percuma, terapi gantian metadon, ujian saringan pasangan yang bakal berkahwin dan sebagainya. 

Pada awal-awal kes yang melibatkan HIV, tidak dapat tidak stigma masyarakat terhadap individu atau kelompok yang hidup dengan virus ini adalah amat tinggi. 

Diskriminasi iaitu perlakuan yang membeza-bezakan atau memulaukan orang yang hidup dengan HIV amat menebal kerana pada waktu itu takdir bagi yang menerima virus ini dalam hidup mereka hanyalah maut. 

Mereka digambarkan umpama bangkai bernyawa yang hanya menunggu masa menemui ajal dan sudah tentu masyarakat akan ‘menolak’ golongan ini dalam kehidupan bermasyarakat kerana ditakuti ‘terjangkit’ dengan virus berkenaan. 

Sedangkan HIV tidak akan berjangkit selagi masyarakat mengamalkan gaya hidup yang sihat dan menolak aktiviti berisiko tinggi seperti perkongsian jarum suntikan dan amalan seks yang tidak selamat. 

Malah perlu diingatkan HIV juga dijangkiti akibat penularan daripada suami kepada isteri, ibu kepada bayinya, atau mungkin akibat proses pemindahan darah, yang sama sekali tidak dijangka oleh penghidapnya. 

Siapa pula yang boleh menjangkakan keadaan sekarang apabila mereka yang hidup dengan HIV kini kelihatan lebih sihat dengan ubat-ubat yang ada malah mampu pula melahirkan anak yang bebas daripada virus ini apabila pasangan yang hidup dengan HIV ini mengikut pelbagai prosedur doktor yang diperlukan sebelum mendapat zuriat. 


Stigma berterusan - NORASID 39
 
photo hiasan - getty images

Namun, dalam tempoh lebih kurang 27 tahun sejak pertama kali kes HIV dikesan, apa yang paling menyedihkan masih lagi terdapat stigma atau diskriminasi terhadap orang yang hidup dengan HIV dalam kalangan masyarakat. 

Biarpun seharusnya dengan pelbagai jenis maklumat yang ‘dijajakan’, sekurang-kurangnya memberi sedikit sebanyak pengetahuan yang membolehkan mereka berfikir dengan rasional dan menerima kehadiran golongan yang hidup dengan HIV ini dengan tangan terbuka. 

Menurut Norasid Md. Said, 39, dari sebuah Felda di Negeri Sembilan dan sekarang ini bertugas sebagai sukarelawan petugas program pertukaran jarum yang telah didiagnosis menghidap HIV sejak tahun 2003, stigma dan diskriminasi terhadap orang yang hidup dengan HIV masih berlaku. 

Norasid yang menerima virus berkenaan akibat perkongsian jarum suntikan, kini telah tujuh tahun berumah tangga dan mempunyai tiga orang anak berumur lima, empat dan dua tahun. 

“Saya hendak bekerja dan memohon menjadi pengawal keselamatan dan pihak majikan meminta saya melakukan pemeriksaan kesihatan dan saya melakukannya di klinik yang saya buat pemeriksaan HIV. 

“Lepas pemeriksaan, majikan kata mereka akan hubungi saya tetapi menunggu sekian lama tidak juga menerima jawapan. Saya ingatkan mereka tidak mengambil saya bekerja kerana status saya yang pernah masuk penjara, tetapi selepas disiasat baru saya tahu pihak doktor dari klinik itu sendiri memberitahu pihak majikan yang saya ada HIV," jelas Norasid yang sukarela tampil memperkenalkan diri sebagai orang yang hidup dengan HIV. 

Bukan itu sahaja, dia berkata, masih ada di kampung-kampung yang mengasingkan kubur mereka yang mempunyai sejarah pengguna dadah di satu kawasan yang dikhususkan dalam satu barisan. 

Apabila jenazah dikebumikan pastinya akan memberi keaiban kepada keluarga mereka atas sejarah kesilapan yang lalu kerana penduduk kampung menggambarkan mereka yang menagih dadah pastinya ada HIV. 

“Tentang soal stigma, saya sendiri pun cuba memberi contoh yang terbaik kerana keadaan diri saya yang kelihatan sihat, anak-anak dan isteri juga bebas daripada HIV. 

“Saya sekarang cuba bergaul dengan masyarakat yang boleh menerima saya dan cuba memberi maklumat yang perlu diketahui masyarakat mengenai HIV, ramai yang menerimanya dan ramai pula yang tidak percaya. 

“Dalam keadaan seperti ini perlunya pihak media atau mereka yang berpengaruh membawa isu ini kepada masyarakat bagi memberi maklumat yang lebih jelas," ujarnya. 

Mengenai dirinya, Norasid memberitahu, keluarga dan mertuanya bersikap terbuka mengenai keadaan dirinya dan sudah mula menerimanya secara perlahan-lahan. 

Dia mengakui, memang kekhilafan masa lalu memakan dirinya dan ramai daripada masyarakat menyatakan penyakit yang ada dalam dirinya ini dicari sendiri. 

Norasid memberitahu, biarpun adanya kekesalan lalu namun apa yang menyedihkan apabila ramai yang menyuruh isteri meninggalkannya. 

“Saya berusaha pertahankan rumah tangga saya dan cuba menjadi ketua keluarga yang terbaik untuk membuktikan kepada orang ramai saya mampu berbuat demikian. 

“Mengenai pergaulan pula kita sebenarnya tidak tahu apa yang terkandung di dalam hati individu, mungkin dia cepat-cepat basuh tangan selepas bersalam dengan kita kerana takut `terjangkit’.. itu kita tidak tahu," kata Norasid. 

Apa pun baginya kekuatan agama dan berpegang teguh kepada ajaran Islam adalah perkara yang perlu ada dalam diri agar sentiasa kuat. 

Paling terbaharu menimpa Norasid apabila dia berkongsi cerita mengenai pengalamannya dalam laman sosial Facebook bersama rakan-rakan mengenai satu persoalan berkaitan masalah sosial. 

Apabila Norasid berkongsi cerita dan kemudian menceritakan mengenai status dirinya, semua rakan-rakan di laman sosial tidak lagi membalasnya. 

“Saya berharap orang ramai lebih memahami perihal kami. Banyak maklumat mengenai HIV telah disebarkan dan bagaimana sebenarnya virus ini dijangkiti. 

“Orang ramai perlu faham apa yang orang yang hidup dengan HIV ini alami dan tanggung. Dekati dan kenali mereka, cuba selami jiwa anak-anak kecil yang terpaksa menanggung HIV seumur hidup mereka begitu juga dengan ibu-ibu dan wanita-wanita yang tidak pernah pun meminta penyakit ini ada dalam badan mereka. 

“Sekiranya ingin diberi bantuan oleh badan-badan agama seperti pihak Zakat dan Baitulmal, masalah golongan ini sebenarnya tidak sama seperti individu miskin lain kerana golongan ini miskin dan berhadapan dengan krisis kesihatan," jelas Norasid. 


Takut orang tahu - MAZNAH 45

photo hiasan


Disahkan positif HIV pada usia 37 tahun, wanita berusia 45 tahun ini, mengabdikan dirinya untuk kerja-kerja sukarela dan menjadi petugas di sebuah rumah amal di Kuala Lumpur. 

“Saya diberhentikan kerja kerana saya asyik cuti sakit. Badan saya sakit, lemah dan berat mula susut dan kuman sudah mula masuk ke dalam paru-paru. 

“Mula-mula saya cuba menafikan yang saya mempunyai virus ini dalam badan kerana saya takut untuk mengakui yang saya HIV positif sedangkan saya hanya menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki warga asing sahaja. 

“Saya takut apa yang masyarakat pandang saya sekiranya mereka tahu saya HIV positif. Saya sendiri berasa hina dan jijik dengan keadaan diri saya apatah lagi orang luar," kata Maznah (bukan nama sebenar) ketika ditanya mengenai kisahnya. 

Dia berkata, sampai sekarang kawan-kawan tidak tahu kenapa dia diberhentikan kerja dan telah sembilan tahun mengasingkan diri daripada rakan-rakan karibnya. 

Maznah berkata, selagi dia mengasingkan diri dan masyarakat tidak tahu status sebenarnya, dia akan dapat meneruskan kehidupan bersama anak angkatnya yang dibela sejak berusia dua tahun yang juga disahkan HIV positif. 

“Apa yang sedihnya, guru-guru yang mengetahui status anak saya yang kini berusia sembilan tahun, tidak menggalakkannya mengambil bahagian dalam sebarang acara sukan. 

“Mungkin kerana tidak mahu reaksi negatif daripada ibu bapa lain, namun saya sebenarnya simpati dengan nasib anak saya itu," jelas Maznah yang mengakui menerima sokongan daripada keluarga dan adik-beradiknya. 

Dalam pada itu Maznah memberitahu, dirinya sebenarnya tertekan dengan rahsia yang disimpan sejak sekian lama itu. 

“Sekiranya masyarakat boleh menerima keadaan kami ini, barulah rasanya saya rela menonjolkan diri kerana saya tidak mahu dihina dan dipulau oleh masyarakat sekeliling," jelas Maznah yang telah berumahtangga dengan pasangan baru sejak lima tahun lalu.


oleh - ROSMAH DAIN 
Sumber Disini


LABELS

10 sepuluh (28) 4 peringkat hiv sebelum menjadi aids (1) 5 lima (11) adik MS (4) aids kaitan dengan penyakit kulit (1) aku plhiv redha (1) amenia dan hiv (1) apa itu hiv apa itu aids (1) aplikasi (4) asas tentang hiv/aids (6) baby free hiv (10) bacha bazi (1) bagaimana hiv berjangkit? (3) bagaimana hiv tidak berjangkit? (2) barah otak (1) baru diagnosis hiv (13) basikal (2) bengkak puting tetek (3) berapa lama kuman hiv bertahan diluar badan (1) berbekam (1) berita hiv/aids (112) bisekual (21) buku dan majalah (16) buku informasi hiv/aids (3) buku kehidupan yang positif (10) buku nota hiv/aids (4) buku panduan HIV Levi Strauss (3) cara mengetahui samada saya telah dijangkiti hiv? (1) CD4 (6) CMIA principle test (2) dairy kehidupan (342) delima (pomegranate) (2) derma darah (4) diabetes (3) Efavirenz (3) fakta (10) fidyah (1) filem (17) gonorea (3) HAART (27) habbatus sauda (nigella sativa) (1) harga ubatan (6) hari aids sedunia (12) hepatitis (3) herpes (9) herpes zoster (1) hiv bukan hukuman mati (1) hiv bukan penyebab aids (1) hiv kaitan dengan antidepresan dan penggunaan dadah (1) hiv kaitan dengan hipertensi dan osteoporosis (1) hiv kaitan dengan jantung dan diabetes (2) hiv kaitan dengan kanser dan ginjal (1) hiv kaitan dengan kemerosotan otak dan lemak (1) hiv kaitan dengan makanan dan supplemen (2) hiv kaitan dengan rokok dan alkohol (2) hiv test kit (8) homosekual (7) hukuman jenayah seksual luar tabii (2) icon (11) insurans/pinjaman peribadi plhiv (3) istilah yang perlu dielakkan (1) jangkitan dan simptom hiv (6) jangkitan hiv kali ke dua (2) jangkitan opportunistik (JO) (2) kaitan tidur dan hiv (1) kandida/fungus (1) kanser (12) kanser hidung (3) kanser payu dara lelaki (3) kaposi sarcoma (1) kaunseling telefon nombor (4) kelenjar tiroid (1) kesan sampingan (8) kesihatan (11) ketuat genital (4) keyakinan kemurungan kebimbangan terhadap hiv (20) khatan (7) kondom (3) lebah dan hiv/aids (3) lesbian (9) LGBT (31) lipoatrophy (5) liwat (15) luar negara (57) madu (1) majlis AIDS malaysia (MAC) (1) maklumat hiv/aids (158) mengapa perlu lakukan ujian hiv awal? (2) methadone maintenance therapy (MMT) (1) MFZ (3) minda jasmani rohani (1) mitos hiv (5) mulut dan gigi (1) MylifeMystoryPT (6) NAJMI (59) najmi jumpa doktor (10) nelayan dan hiv (1) nukilan (1) nyamuk (3) onani (2) organ hati/hepatoksisiti (1) p t foundition (2) panduan/petua (47) peenyembuhan penyakit hiv/aids (1) pemakanan (1) penagih dadah (13) penawar HIV/AIDS?? (2) pengenalan hiv/aids (1) penuaan (1) penyakit kelamin (30) pep - post exposure prophylaxis (2) peria katak (1) perkahwinan (70) photo (11) PLHIV (175) pneumonia (1) positif thinking (1) prosedur melangkah jalani ujian hiv (3) puasa (17) rawatan (8) rawatan dan sokongan bantuan (1) rawatan peringkat ke 2 (2) red ribbon (1) remaja bawah umur dan hiv (6) rencana/artikel (58) risalah (12) rogol (9) rumah perlindungan hiv (23) rumah wahidayah (9) RVD (RetroViral Disease) (1) sajak (1) sauna (2) saya positif (9) sejarah hiv/aids (5) seks dan hubungan (28) selebriti (13) sembuh cara islam (2) senaman (2) siapa hendak diberitahu? (3) sifilis (4) skim PAL (2) SLE (Systemic Lupus Erythematosus) (1) SLN30 (1) soaljawab (90) solat (2) songsang (286) spirulina (1) stavudine (1) stigma/diskriminasi (27) stress (3) sub-jenis jenis golongan dan jenis hiv (1) tatoo dan tindik (1) TB tuberculosis (4) TENVIR EM dan STOCRIN (2) top vs bottom (1) travel dan plhiv (10) truvada pil pencegah hiv (1) ubat generik (2) ujian air kencing (2) ujian hiv imun cd4 dan viral load (2) ujian saringan hiv (15) umrah dan haji (4) urusan jenazah (6) video (83) viral load (5) wanita (119) window period 14 days (3) zakat (1) zali dan lisa (4) zoophilia (1)