Thursday, 28 June 2012

"CLOROX" DIGUNA MANDI JENAZAH PEMBAWA HIV/AIDS

Selepas magrib tadi saya ke Hospital Besar kerana nak ambil ubatan HAART, oleh kerana ramai orang yang hendak mengambil ubat, saya terpaksalah menunggu lama disini, kerana bosan saya ke kedai penjual kacang putih, beli dua ringgit kacang putih saya kunyah kacang sambil berjalan dan membaca satu persatu poster-poster yang ditampalkan dimerata dinding bangunan sekitar hospital.

Rumah mayat Hospital Besar, cuba teka apa yang dalam punjut merah tu?

Kemudian saya terfikir untuk bertanya kepada staff yang bekerja dirumah mayat berkenaan “clorox” yang digunakan keatas jenazah pengidap HIV/AIDS.

Sebagaimana kita semua sedia maklum dan setahu saya memang jenazah orang HIV/AIDS di siram dengan air "clorox" tetapi saya ke rumah mayat hanya sekadar hendak memastikan lagi adakah penggunaan clorox masih diamalkan. Saya tiba dipintu rumah mayat, tetapi tiada siapa yang saya nampak, kerana tiada siapa yang boleh saya tanya, saya kembali semula ke kaunter tempat mengambil ubat yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mayat tersebut. Saya fikir untuk datang kembali ke rumah mayat ini sekali lagi waktu siang hari untuk bertanya tentang persoalan tersebut, ya pada ketika waktu temujanji saya untuk diambil darah tidak beberapa lama lagi. Tak penting pun sangat fikir saya pada ketika itu.

Sunyi tiada siapa pada ketika ini.

Selesai mengambil ubat pada pukul 9.30 malam, saya begerak untuk pulang kerumah dan melalui jalan dibahagian belakang rumah mayat Hospital Besar. Memang sunyi sambil mengayuh basikal mulut saya membaca Al-Fatihah dengan niat untuk disedekahkan kepada para jenazah yang beragama Islam yang "maybe" berada didalam rumah mayat tersebut. Memang ini yang akan saya kerap lakukan setiap kali melintasi rumah mayat ini. Tiba-tiba saya terpandang kelibat seorang lelaki yang sedang bercakap melalui talipon di luar rumah mayat itu. Dia kelihatan seolah-olah seperti hendak pulang kerumah, kedengaran enjin motornya pun sudah dihidupkan. Saya terus berhenti diluar pagar dan masuk ke kawasan rumah mayat serta menegurnya sebaik sahaja ia selesai menalipon (mesti bininya marah kenapa balik lambat).

Saya : Assalamualaikum bang, abang kerja kat sini ker?

Staff Rumah Mayat : Haa…

Saya : Saya ni ada tulis blog, ada orang tanya ada ker jenazah orang HIV yang mati dimandikan dengan Clorox lagi?

Staff Rumah Mayat : Ha ah guna (kepalanya mengangguk) tapi bukan Clorox,…chemical macam Clorox, tapi bukan kat sini iaorang mandikan, nun kat wad sana.(sambil muncungnya disengetkan sedikit menunjukkan kearah bangunan Hospital)

Saya : Mandi kan kat wad??????

Staff Rumah Mayat : Ha ah lepas mandikan kat sana iaorang bungkus dengan plastic kemudian baru dibawa kesini (rumah mayat).

Saya : Tak mandikan kat sini? (saya tanya lagi nak dapatkan kepastian)

Staff Rumah Mayat : Terpulang kalau waris nak mandikan kat sini, sini ada ustaz yang tahu uruskannya, HIV kalau pegang berjangkit, kena pakai sarung tangan, topeng, baju (apron). Kalau yang mati H1N1 lagi teruk. Kenapa tak datang siang…. sini tutup pukul 9 malam, kalau tak boleh tanya orang yang bertugas tu. (sambil tangannya mengambil helmet motor dan disarungkan kekepalanya)

Saya : Saya ambik ubat tadi saja aje singgah nak tanya. Jadi iaorang mandikan kat wad dibungkus dengan plastik baru dibawa kesini ya (saya bertanya lagi)

Staff Rumah Mayat : Ha ah lepas rendam kat sana baru bawa kat sini.

Saya : Ohh… okey lah tak pa terima kasih ya…

Staff Rumah Mayat : Okey… (dicapainya motor dan terus berlalu pergi)

Itu dia perbualan ringkas yang saya cuba ingatkan kembali dengan seorang staff rumah mayat yang berlangsung kurang 5 minit, tujuan saya bertanya bukan hendak tahu proses mengendali jenazah dan sebagainya itu, tujuannya hanya untuk mendapat kepastian sama ada jenazah pengidap HIV/AIDS masih di siram dengan Clorox lagi atau tidak.

Jawabannya YA.



GARIS PANDUAN PENGURUSAN JENAZAH ORANG ISLAM PEMBAWA DAN PESAKIT AIDS
Oleh: Cawangan AIDS/STD, Jabatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia


PENGURUSAN JENAZAH ORANG ISLAM
Adalah menjadi tanggungjawab serta kewajipan ke atas orang-orang Islam yang hidup ke atas jenazah orang Islam sebagai fardhu kifayah menyelenggarakan empat perkara berikut iaitu:

·         Memandikan
·         Mengkafankan
·         Menyembahyangkan
·         Mengkebumikan

Pengurusan jenazah orang Islam yang mengidap penyakit berjangkit termasuk pembawa virus HIV dan AIDS wajib merangkumi empat perkara di atas dan ianya menjadi tanggungjawab bersama keluarga jenazah, Hospital / Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Agama Islam Negeri / Daerah.


PEMBERITAHUAN KEMATIAN PEMBAWA HIV DAN PESAKIT AIDS
 
KEMATIAN DI HOSPITAL
Setiap kematian pembawa HIV dan pesakit AIDS yang berlaku di hospital haruslah diberitahu dengan SEGERA melalui telefon kepada keluarga simati dan - notifikasi kematian kepada Pejabat Kesihatan Daerah. Sekiranya keluarga simati gagal dihubungi melalui telefon, bantuan pihak polis boleh diminta tetapi status HIV simati haruslah DIRAHSIAKAN.

KEMATIAN DI RUMAH
Bagi setiap kematian pembawa HIV dan pesakit AIDS yang berlaku di rumah, adalah menjadi kewajipan ahli keluarga simati untuk memberitahu Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat dengan SEGERA melalui telefon bagi tujuan penyeliaan pengurusan jenazah serta tindakan lain yang perlu diambil oleh Pejabat Kesihatan Daerah berkenaan.


AKTA PENCEGAHAN DAN KAWALAN PENYAKIT BERJANGKIT 1988
Mengikut seksyen 10 (1) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 – Adalah menjadi kesalahan ke atas setiap penghuni dewasa mana-mana rumah di mana terdapat penyakit berjangkit; atau orang yang menjaga; atau yang ada bersama dan mereka yang bukan pengamal perubatan menyelenggarakan sesiapa yang mengidap yang mati akibat penyakit berjangkit tanpa melaporkan kepada pegawai Kesihatan di kemudahan kesihatan atau balai polis atau ketua kampung yang terdekat dengan segera.

 
PENYELIAAN JENAZAH
Setelah notifikasi / pemberitahuan kepada Pejabat Kesihatan Daerah tentang kematian pembawa HIV dan pesakit AIDS dijalankan, penyeliaan berhubung pengurusan jenazah seperti memandi, mengkafan, menyembahyang dan mengebumikan serta pemindahan jenazah dipertanggungjawabkan kepada kakitangan kesihatan berikut iaitu (i) Inspektor Kesihatan ke atas jenazah lelaki, (ii) Jururawat Kesihatan ke atas jenazah perempuan

PERINGATAN
Kakitangan Kesihatan yang menyelia jenazah tidak dibenarkan memakai pakaian seragam dan menggunakan kenderaan kerajaan bagi menjaga reputasi simati serta kaum keluarganya.


PEMILIHAN PENGENDALI JENAZAH DI RUMAH
Bagi kematian pembawa HIV dan pesakit AIDS yang berlaku di rumah atau jenazah yang diselenggarakan di rumah setelah kematian berlaku di hospital, pemilihan pengendali jenazah perlu mengambilkira faktor-faktor berikut:

1) Pengendali jenazah dihadkan kepada bilangan yang sekecil mungkin, sebaik-baiknya tidak melebihi 4 orang.

2) Pengendali jenazah sebaik-baiknya dari kalangan keluarga atau mahramnya simati dan petugas / pegawai masjid yang terlatih dalam mengendalikan jenazah pembawa HIV dan pesakit AIDS.

3) Memastikan setiap pengendali jenazah tidak mengalami sebarang luka atau kudis di permukaan tubuh terutama di bahagian tangan.


PENGENDALI PERALATAN PENGENDALIAN JENAZAH DI HOSPITAL ATAU DI RUMAH
  
PERALATAN



NOTA 
1) Apron plastik, sarung tangan getah, kasut but getah dan "mask" disediakan berdasarkan jumlah pengendali jenazah yang terlibat.

2) Semua pengendali jenazah pembawa HIV dan pesakit AIDS perlu memakai dua lapisan sarung tangan.

3) Bancuhan kloroks: 1 botol kloroks dengan ukuran 1 liter dibancuh dengan 9 liter air biasa untuk menjadikan larutan kloroks dengan 1 : 10 (1 bahagian kloroks dibancuh dengan 9 bahagian air)


KEGUNAAN BALDI DAN BESIN
Baldi 3 buah
·          1 buah untuk merendam baju / pakaian simati yang telah dipakai
·          1 buah untuk bancuhan kloroks (1 : 10) bagi memandikan jenazah
·          1 buah untuk merendam perkakas / kapas yang telah digunakan

Besin 1 buah
·           Untuk merendam kapas yang belum digunakan ke dalam bancuhan 1 : 10


MANDI JENAZAH PEMBAWA HIV DAN PESAKIT AIDS
Bagi kematian pembawa HIV dan pesakit AIDS yang berlaku di hospital, pengurusan jenazah iaitu memandi dan mengkafankan sebaik-baiknya dilakukan di hospital sebelum dituntut oleh waris simati. Sekiranya waris simati memohon untuk menguruskan jenazah di rumah, pemindahan jenazah dari bilik mayat hospital ke rumah haruslah diawasi oleh kakitangan kesihatan dari pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat. Bagi menguruskan jenazah di rumah perkara-perkara perlu diambil perhatian.


PERSEDIAAN TEMPAT PEMBUANGAN AIR MANDIAN JENAZAH
Bagi menguruskan jenazah di rumah, waris simati perlu menggali parit atau lubang untuk tujuan pembuangan air mandian sekiranya rumah tersebut tidak terdapat longkang atau parit bersimen. Inspektor Kesihatan bertanggungjawab akan menyelia penyediaan tempat pembuangan tersebut.


PERSEDIAAN TEMPAT MANDI JENAZAH
Tempat pemandian jenazah hendaklah dilindungi daripada penglihatan mereka yang tidak berkenaan. Tempat khas (takungan mandian mayat) digunakan untuk memandikan jenazah. Sekiranya tiada terdapat tempat khas (takungan mandian mayat) pelapik plastik tebal boleh digunakan tetapi ianya hendaklah dibentuk supaya air mandian dapat mengalir ke tempat buangan (parit / longkang / lubang).


CARA-CARA MEMANDIKAN JENAZAH
Memandikan jenazah orang Islam perlulah mengikut cara-cara pengurusan jenazah yang biasa dilakukan dan diikhtirafkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri masing atau mengikut buku panduan yang diterbitkan oleh Jabatan Agama Negeri (sekiranya ada). Namun demikian terdapat beberapa perubahan dalam pemandian jenazah pembawa HIV dan pesakit AIDS bagi mencegah pengendali jenazah dari dijangkiti virus AIDS.

Pengendali jenazah perlu melindungi diri dengan memakai
a) Apron plastik / baju hujan
b) 2 lapisan sarung tangan getah
c) Pelindung mulut dan hidung (mask)
d) Kasut but getah

Cara-cara pemandian jenazah orang Islam pembawa HIV dan pesakit AIDS adalah seperti berikut:

1) Bancuhan kloroks dengan larutan 1 : 10 disediakan di dalam 3 buah baldi dan 1 buah besin.

2) Kapas yang belum digunakan direndam dalam besin berisi larutan kloroks (1 : 10).

3) Pakaian jenazah ditanggal dan direndam dalam baldi bancuhan kloroks (1 : 10) selama sekurang-kurangnya 30 minit.

4) Jenazah diletakkan ke dalam tempat khas takungan mayat. Sekiranya tiada terdapat tempat khas, mayat diletakkan ke atas alas plastik tebal yang telah direndam dengan larutan kloroks 1 : 10.

5) Rongga mulut, telinga, hidung, serta faraj dibersih dan disumbat dengan kapas yang telah direndam dengan kloroks dengan menggunakan peralatan iaitu forcep yang telah disediakan (langkah ini perlu dilakukan terlebih dahulu sekiranya terdapat darah atau cecair yang sentiasa terkeluar dari rongga-rongga tersebut setiap kali jenazah dialih posisinya untuk dimandikan).

6) Jenazah kemudian dicuci dan dimandikan dengan larutan kloroks 1 : 10.

7) Semasa memandikan jenazah dengan air larutan kloroks bersihkan dubur dengan kapas yang telah direndam dengan larutan kloroks (1 : 10) dan dubur kemudian disumbat dengan kapas yang telah direndam dengan larutan kloroks.

8) Jenazah kemudian dimandikan dengan air biasa / bersih menurut ajaran agama Islam.

9) Sekiranya rongga-rongga seperti mulut, telinga, hidung atau faraj ingin dibersihkan semula ianya boleh dilakukan dengan kapas yang telah direndam dengan larutan klorok menggunakan forcep dan rongga-rongga tersebut kemudiannya disumbat dengan kapas yang direndam dengan larutan kloroks.

10) Jenazah kemudiannya boleh disiram dengan air daun bidara, air kapur barus atau air kayu cendana.

11)  Jenazah dibilas dengan air larutan kloroks (1:100 pada bilasan terakhir).


MENGKAFANKAN JENAZAH
Bagi mengkafankan jenazah pembawa HIV dan pesakit AIDS, cara-caranya adalah berpandukan kepada panduan yang diterbitkan:

1) Plastik tebal dialaskan ditempatkan mengkafankan jenazah supaya cecair, bendalir atau darah terkumpul tanpa mencemarkan kawasan persekitaran bagi mencegah jangkitan kepada orang lain.

2) Kain kafan dibalut sebagai lapisan pertama. Kain kafan tidak perlu direndam dengan larutan kloroks 1:10 sekiranya tidak terdapat cecair, bendalir atau darah yang terkeluar dari jenazah atau tidak terdapat luka kudis di permukaan tubuh jenazah.

3) Bagi jenazah yang mengeluarkan cecair, bendalir, darah atau terdapat luka / kudis pada permukaan tubuh, jenazah perlu dimasukkan ke dalam beg plastic (body bag) atau dibalut dengan plastik yang telah digunakan untuk mengalas tempat mengkafankan jenazah. Jenazah tidak perlu dibalut dengan plastik atau dimasukkan ke dalam beg plastik sekiranya tiada tumpahan cecair, bendalir, darah atau tiada luka / kudis di permukaan tubuh jenazah tetapi tiada halangan sekiranya lapisan plastik dibalutkan.

4) Seterusnya jenazah dikafankan dengan menggunakan dua lapisan kain kafan sebagai lapisan terakhir. Perhatian lapisan terakhir merupakan kain kafan dan bukannya lapisan plastik.

NOTA
Keluarga terdekat arwah dibolehkan memeluk atau mencium jenazah sekiranya tubuh badan jenazah masih utuh tanpa sebarang kudis / luka atau jenazah tidak mengeluarkan lebihan cecair, bendalir atau darah.


DISINFEKSI PERALATAN DAN AIR MANDIAN JENAZAH
Disinfeksi peralatan dan air mandian jenazah adalah seperti berikut:

1) Peralatan yang telah digunakan untuk memandikan jenazah perlu direndam ke dalam air larutan kloroks (1:10) selama sekurang-kurangnya 30 minit sebelum dicuci.

2) Air mandian jenazah di lantai tempat pemandian jenazah perlu dimopkan dengan kloroks tanpa dicampur dengan air.

3) Air mandian jenazah yang ditakung di dalam lubang perlu ditabur dengan kapur klorida (chloride of lime) dan ditimbus.


SEMBAHYANG MAYAT
Cara jenazah disembahyangkan adalah serupa dengan jenazah orang Islam yang lain.


PENYEDIAAN TANAH PERKUBURAN
Persediaan tanah perkuburan bagi mengebumikan jenazah pembawa HIV dan pesakit AIDS adalah seperti yang terdapat di dalam buku panduan yang diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri. Kapur Klorida (cloride of lime) tidak perlu ditaburkan ke dalam liang kubur.


PENGKEBUMIAN JENAZAH
Pengkebumian jenazah pembawa HIV dan pesakit AIDS adalah sama seperti pengkebumian jenazah orang Islam lainnya dengan syarat langkah-langkah pencegahan jangkitan HIV telah diambil semasa jenazah dimandi dan dikafankan. Penggunaan sarung tangan getah tidak dimestikan semasa jenazah dikebumikan.


PEMINDAHAN JENAZAH MELALUI KENDERAAN DARAT / LAUT / UDARA
Setiap pemindahan jenazah di dalam atau ke luar negeri perlulah diberitahu terlebih dahulu kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat bagi tujuan penyeliaan dan tindakan yang bersesuaian.


PERINGATAN – LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN JANGKITAN HIV BAGI SEMUA PENGENDALI JENAZAH
Semua pengendali jenazah harus sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mencegah dari dijangkiti penyakit berjangkit seperti HIV semasa mengendalikan setiap kematian. Langkah-langkah pencegahan ini perlu kerana adakalanya status HIV jenazah yang dikendalikan tidak diketahui atau kemungkinan notifikasi kematian pembawa HIV dan AIDS tidak dikemukakan kepada Pejabat Kesihatan Daerah oleh waris simati.

Langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil adalah seperti berikut:

1) Pastikan bilangan pengendali jenazah dihadkan kepada bilangan sekecil mungkin.

2) Memastikan pengendali-pengendali jenazah tidak mengalami sebarang luka atau kudis pada permukaan tubuh terutama di bahagian tangan.

3) Setiap pengendali jenazah memakai dua lapisan sarung tangan plastik semasa mengendalikan jenazah.

4) Sekiranya jenazah mengeluarkan darah atau cecair berlebihan yang memungkinkan percikan berlaku ke tubuh pengendali jenazah maka pemakaian apron plastik, mask dan kasut but getah diperlukan.
 

Menarik jika anda klik ke link "Aku Hiv Positif" ini dan baca komen pembaca yang telah ditinggalkan di entry GARIS PANDUAN PENGURUSAN JENAZAH ORANG ISLAM PEMBAWA DAN PESAKIT AIDS 
  



Saya cuba membaca dengan telilti peraturan dan proses yang tercatat dan dikeluarkan oleh Cawangan AIDS/STD, Jabatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia ini berkaitan penggunaan clorox. Ada yang kalau difikirkan betul tetapi ada juga yang merapu (pada pandangan sayalah). Kenapa baju simati perlu direndamkan kedalam clorox selama 30minit? Banyak sangat perasaan takut yang diluahkan didalam peraturan ini. Saya tidak pasti bila tarikh sebenar peraturan ini dikeluarkan, apa pun saya harap ianya tidak seteruk seperti yang saya bayangkan. 

Bagaimana sekiranya jenazah seorang PLHIV yang dalam keadaan sempurna, baik dan tiada cecair yang keluar sana sini, adakah clorox masih digunakan keatasnya, pada saya tidak perlukan, tetapi oleh kerana stigma melampau terhadap HIV/AIDS ianya tetap akan terus digunakan?

Boleh percaya ke mereka guna bancuhan clorox (1:10)? Mana tahu bila dengar ajer jenazah pengidap HIV/AIDS ketakutan melampau datang, dari (1:10) bertukar menjadi (5:10). Mendengar perkataan "clorox" itu saja pun, kita terus tergambar sesuatu yang buruk. Orang bunuh diri pun guna clorox, ya clorox pembunuh kuman, kuman itu kotor maka jenazah PLHIV seolah-olah tergambar sebagai sesuatu yang kotor.

Perkataan "clorox" itu juga berjaya menghapuskan serta boleh mengagalkan usaha banyak pihak untuk menghapuskan "stigma dan diskriminasi" dikalangan masyarakat terhadap PLHIV. Apa pun ini semua pandangan peribadi saya, apa lagi yang boleh saya buat kan.

Ahhh... ini lah antara sebabnya saya selalu berdoa agar mati sahaja di kota Mekah, dalam keadaan tiada sesiapa pun tahu status saya ketika itu. Boleh ker?


"KATAKAN TIDAK KEPADA PENGGUNAAN CLOROX KEATAS JENAZAH PLHIV"

LABELS

10 sepuluh (28) 4 peringkat hiv sebelum menjadi aids (1) 5 lima (11) adik MS (4) aids kaitan dengan penyakit kulit (1) aku plhiv redha (1) amenia dan hiv (1) apa itu hiv apa itu aids (1) aplikasi (4) asas tentang hiv/aids (6) baby free hiv (10) bacha bazi (1) bagaimana hiv berjangkit? (3) bagaimana hiv tidak berjangkit? (2) barah otak (1) baru diagnosis hiv (13) basikal (2) bengkak puting tetek (3) berapa lama kuman hiv bertahan diluar badan (1) berbekam (1) berita hiv/aids (112) bisekual (21) buku dan majalah (16) buku informasi hiv/aids (3) buku kehidupan yang positif (10) buku nota hiv/aids (4) buku panduan HIV Levi Strauss (3) cara mengetahui samada saya telah dijangkiti hiv? (1) CD4 (6) CMIA principle test (2) dairy kehidupan (342) delima (pomegranate) (2) derma darah (4) diabetes (3) Efavirenz (3) fakta (10) fidyah (1) filem (17) gonorea (3) HAART (27) habbatus sauda (nigella sativa) (1) harga ubatan (6) hari aids sedunia (12) hepatitis (3) herpes (9) herpes zoster (1) hiv bukan hukuman mati (1) hiv bukan penyebab aids (1) hiv kaitan dengan antidepresan dan penggunaan dadah (1) hiv kaitan dengan hipertensi dan osteoporosis (1) hiv kaitan dengan jantung dan diabetes (2) hiv kaitan dengan kanser dan ginjal (1) hiv kaitan dengan kemerosotan otak dan lemak (1) hiv kaitan dengan makanan dan supplemen (2) hiv kaitan dengan rokok dan alkohol (2) hiv test kit (8) homosekual (7) hukuman jenayah seksual luar tabii (2) icon (11) insurans/pinjaman peribadi plhiv (3) istilah yang perlu dielakkan (1) jangkitan dan simptom hiv (6) jangkitan hiv kali ke dua (2) jangkitan opportunistik (JO) (2) kaitan tidur dan hiv (1) kandida/fungus (1) kanser (12) kanser hidung (3) kanser payu dara lelaki (3) kaposi sarcoma (1) kaunseling telefon nombor (4) kelenjar tiroid (1) kesan sampingan (8) kesihatan (11) ketuat genital (4) keyakinan kemurungan kebimbangan terhadap hiv (20) khatan (7) kondom (3) lebah dan hiv/aids (3) lesbian (9) LGBT (31) lipoatrophy (5) liwat (15) luar negara (57) madu (1) majlis AIDS malaysia (MAC) (1) maklumat hiv/aids (158) mengapa perlu lakukan ujian hiv awal? (2) methadone maintenance therapy (MMT) (1) MFZ (3) minda jasmani rohani (1) mitos hiv (5) mulut dan gigi (1) MylifeMystoryPT (6) NAJMI (59) najmi jumpa doktor (10) nelayan dan hiv (1) nukilan (1) nyamuk (3) onani (2) organ hati/hepatoksisiti (1) p t foundition (2) panduan/petua (47) peenyembuhan penyakit hiv/aids (1) pemakanan (1) penagih dadah (13) penawar HIV/AIDS?? (2) pengenalan hiv/aids (1) penuaan (1) penyakit kelamin (30) pep - post exposure prophylaxis (2) peria katak (1) perkahwinan (70) photo (11) PLHIV (175) pneumonia (1) positif thinking (1) prosedur melangkah jalani ujian hiv (3) puasa (17) rawatan (8) rawatan dan sokongan bantuan (1) rawatan peringkat ke 2 (2) red ribbon (1) remaja bawah umur dan hiv (6) rencana/artikel (58) risalah (12) rogol (9) rumah perlindungan hiv (23) rumah wahidayah (9) RVD (RetroViral Disease) (1) sajak (1) sauna (2) saya positif (9) sejarah hiv/aids (5) seks dan hubungan (28) selebriti (13) sembuh cara islam (2) senaman (2) siapa hendak diberitahu? (3) sifilis (4) skim PAL (2) SLE (Systemic Lupus Erythematosus) (1) SLN30 (1) soaljawab (90) solat (2) songsang (286) spirulina (1) stavudine (1) stigma/diskriminasi (27) stress (3) sub-jenis jenis golongan dan jenis hiv (1) tatoo dan tindik (1) TB tuberculosis (4) TENVIR EM dan STOCRIN (2) top vs bottom (1) travel dan plhiv (10) truvada pil pencegah hiv (1) ubat generik (2) ujian air kencing (2) ujian hiv imun cd4 dan viral load (2) ujian saringan hiv (15) umrah dan haji (4) urusan jenazah (6) video (83) viral load (5) wanita (119) window period 14 days (3) zakat (1) zali dan lisa (4) zoophilia (1)