Keadaan itu bukan sahaja disebabkan budaya luar, tetapi lebih kepada faktor dalam diri seseorang untuk merelakan gejala itu berlaku. Kecelaruan identiti, nafsu, pegangan hidup dan sebagainya perlu diambil kira bagi memastikan perkara seumpama ini dapat dikurangkan kerana ia boleh dianggap mustahil untuk dihapuskan.

Menurut ajaran agama Islam, manusia diciptakan lelaki dan perempuan agar dapat mewujudkan perkongsian hidup yang normal untuk menambahkan lagi zuriat dalam meramaikan umat di dunia ini. Namun bagi pasangan homoseksual atau gay pastinya tidak dapat memiliki zuriat apatah lagi untuk berkongsi hidup di antara satu sama lain yang tentunya memberi impak negatif kepada masyarakat.

Ini belum lagi ditambah dengan permasalahan penyakit disebabkan hubungan seks sebegini seperti STD, HIV AIDS dan sebagainya yang kian menular dalam kalangan mereka yang mengamalkan cara hidup tidak sihat. Ada di antara negara-negara di dunia membenarkan perkara ini berlaku seperti kehidupan bersama, perkahwinan dan sebagainya yang dilakukan secara terang-terangan manakala Malaysia mengambil langkah untuk tidak mahu perkara ini terjadi.

Pernah satu ketika dahulu golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Trangender (LGBT) mendapat liputan meluas media bagi membolehkan hak mereka didengari namun tidak mungkin ia dibenarkan di negara ini yang kuat berpegang kepada ajaran agama dan tata susila ketimuran.

Ia diikuti dengan kisah pelajar perubatan, Ariff Alfian Rosli yang dilaporkan hilang oleh keluarga ketika belajar di Dublin, Ireland dan dilaporkan telah berkahwin dengan seorang lelaki warga asing dikenali sebagai Jonathan. Kisah ini amat menggemparkan negara apabila gambar ‘perkahwinan’ pasangan tersebut disebar di laman sosial.

Berbeza dengan transgender, mak nyah mahupun golongan bapok, yang mudah dikenali, golongan gay pula amat sukar dikesan.

Ruangan Fokus .com berusaha mendekati golongan ini bagi mengetahui punca dan bagaimana mereka boleh mempunyai perasaan sedemikian serta sanggup mengamalkan cara hidup songsang itu.

Diharap paparan kali ini dapat dijadikan iktibar kepada masyarakat untuk menghalang gejala itu daripada berkembang luas di negara ini.

Kisah Zul - bercerai kerana tabiat songsang

TERBABIT dalam kegiatan homoseksual bukan sahaja menjerumuskan Zul (bukan nama sebenar) ke kancah maksiat, tetapi menyebabkan rumah tangga dibina musnah. Lelaki berusia 28 tahun itu mengakui menyesal terhadap peristiwa tersebut tetapi mendakwa sudah berusaha sebaik mungkin mempertahankan rumah tangga. Beliau mengakui perasaan suka kepada kaum sejenis telah bermula sejak di bangku sekolah rendah lagi.

“Perkahwinan pada awalnya berjalan lancar dan keadaan itu tidak disedari oleh isteri saya, namun setelah hampir setahun keadaan mula berubah,” katanya.

Zul menambah, pada masa ini beliau berusaha untuk mengubah dirinya, tetapi kerap menemui jalan buntu.

“Apa yang menjadi masalah ialah orang seperti kami tidak diketahui orang lain. Jadi, tidak ada siapa yang akan datang untuk membantu orang seperti kami kecuali jika kami yang bertindak. Tetapi, jika kami yang ingin bertindak ke mana pula kami hendak pergi mendapatkan bantuan. Ini menyebabkan masalah ini menjadi lebih rumit,” ujarnya.

Bercerita mengenai tempoh perkahwinan, Zul memberitahu, beliau sudah berusaha membuang tabiat lama demi rumah tangga yang dibina.

“Tetapi perasaan itu kerap muncul, Untuk berlaku adil, saya dengan berat hati menceraikan isteri,” tambahnya.

Saya merasakan saya semakin minat kepada lelaki dan rasa keterujaan itu sama seperti lelaki lain melihat wanita, begitu juga bagi saya apabila melihat lelaki. Saya mengaku bahawa saya menjalani kehidupan sebagai seorang homoseksual atau gay selama lebih 15 tahun.

Kisah Daniel - Sentiasa usaha berubah

“SAYA tidak tahu sampai bila saya akan terus begini, tetapi saya akan terus cuba untuk berubah,” demikian pengakuan Daniel (bukan nama sebenar) terhadap penglibatannya dalam kegiatan homoseksual. Menurutnya, cubaan untuk berubah sentiasa ada tetapi naluri untuk suka kepada kaum sejenis amat tebal.

“Saya tidak minta perkara ini berlaku namun naluri dan kecenderungan ini muncul sejak saya masih kecil sebelum darjah satu lagi. Tetapi pada waktu itu, saya tidak dapat membezakan adakah itu normal atau sebaliknya,” katanya.

Beliau menambah, bagi seorang gay, seks bukanlah segala-galanya, tetapi perasaan cinta atau sayang adalah perkara utama dalam setiap perhubungan.

“Sehingga hari ini, hanya kakak yang mengetahui mengenai perkara ini dan tidak ada ahli keluarga lain yang tahu,” tambahnya lagi.

Beliau menolak penglibatan dalam homoseksual sebab pengaruh kawan.

“Seperti saya kata tadi, ia lebih kepada naluri. Biasanya, golongan seperti kami lebih suka berdiam diri atau tidak terlalu menonjol. Itulah yang menyebabkan kenapa golongan gay sukar dikenali dengan hanya melihat luaran sahaja. Ini kerana kami biasanya sama seperti lelaki lain, cuma naluri kami berbeza,” katanya.


Sumber DISINI