Friday, 21 February 2014

KISAH NORASID DAN MAZNAH - STIGMA HIDUP DENGAN HIV

Stigma dan diskriminasi terhadap orang yang hidup dengan HIV berlaku dalam semua masyarakat di seluruh dunia.

SEHINGGA kini, pelbagai langkah telah dilakukan sebagai usaha untuk mengekang penularan jangkitan HIV termasuklah kempen-kempen tanpa had dan juga ubat-ubatan yang dibekalkan oleh kerajaan secara percuma. 

Antaranya ialah program rawatan HAART (Highly Active Anti-Retroviral Therapy), jarum suntikan percuma, terapi gantian metadon, ujian saringan pasangan yang bakal berkahwin dan sebagainya. 

Pada awal-awal kes yang melibatkan HIV, tidak dapat tidak stigma masyarakat terhadap individu atau kelompok yang hidup dengan virus ini adalah amat tinggi. 

Diskriminasi iaitu perlakuan yang membeza-bezakan atau memulaukan orang yang hidup dengan HIV amat menebal kerana pada waktu itu takdir bagi yang menerima virus ini dalam hidup mereka hanyalah maut. 

Mereka digambarkan umpama bangkai bernyawa yang hanya menunggu masa menemui ajal dan sudah tentu masyarakat akan ‘menolak’ golongan ini dalam kehidupan bermasyarakat kerana ditakuti ‘terjangkit’ dengan virus berkenaan. 

Sedangkan HIV tidak akan berjangkit selagi masyarakat mengamalkan gaya hidup yang sihat dan menolak aktiviti berisiko tinggi seperti perkongsian jarum suntikan dan amalan seks yang tidak selamat. 

Malah perlu diingatkan HIV juga dijangkiti akibat penularan daripada suami kepada isteri, ibu kepada bayinya, atau mungkin akibat proses pemindahan darah, yang sama sekali tidak dijangka oleh penghidapnya. 

Siapa pula yang boleh menjangkakan keadaan sekarang apabila mereka yang hidup dengan HIV kini kelihatan lebih sihat dengan ubat-ubat yang ada malah mampu pula melahirkan anak yang bebas daripada virus ini apabila pasangan yang hidup dengan HIV ini mengikut pelbagai prosedur doktor yang diperlukan sebelum mendapat zuriat. 


Stigma berterusan - NORASID 39
 
photo hiasan - getty images

Namun, dalam tempoh lebih kurang 27 tahun sejak pertama kali kes HIV dikesan, apa yang paling menyedihkan masih lagi terdapat stigma atau diskriminasi terhadap orang yang hidup dengan HIV dalam kalangan masyarakat. 

Biarpun seharusnya dengan pelbagai jenis maklumat yang ‘dijajakan’, sekurang-kurangnya memberi sedikit sebanyak pengetahuan yang membolehkan mereka berfikir dengan rasional dan menerima kehadiran golongan yang hidup dengan HIV ini dengan tangan terbuka. 

Menurut Norasid Md. Said, 39, dari sebuah Felda di Negeri Sembilan dan sekarang ini bertugas sebagai sukarelawan petugas program pertukaran jarum yang telah didiagnosis menghidap HIV sejak tahun 2003, stigma dan diskriminasi terhadap orang yang hidup dengan HIV masih berlaku. 

Norasid yang menerima virus berkenaan akibat perkongsian jarum suntikan, kini telah tujuh tahun berumah tangga dan mempunyai tiga orang anak berumur lima, empat dan dua tahun. 

“Saya hendak bekerja dan memohon menjadi pengawal keselamatan dan pihak majikan meminta saya melakukan pemeriksaan kesihatan dan saya melakukannya di klinik yang saya buat pemeriksaan HIV. 

“Lepas pemeriksaan, majikan kata mereka akan hubungi saya tetapi menunggu sekian lama tidak juga menerima jawapan. Saya ingatkan mereka tidak mengambil saya bekerja kerana status saya yang pernah masuk penjara, tetapi selepas disiasat baru saya tahu pihak doktor dari klinik itu sendiri memberitahu pihak majikan yang saya ada HIV," jelas Norasid yang sukarela tampil memperkenalkan diri sebagai orang yang hidup dengan HIV. 

Bukan itu sahaja, dia berkata, masih ada di kampung-kampung yang mengasingkan kubur mereka yang mempunyai sejarah pengguna dadah di satu kawasan yang dikhususkan dalam satu barisan. 

Apabila jenazah dikebumikan pastinya akan memberi keaiban kepada keluarga mereka atas sejarah kesilapan yang lalu kerana penduduk kampung menggambarkan mereka yang menagih dadah pastinya ada HIV. 

“Tentang soal stigma, saya sendiri pun cuba memberi contoh yang terbaik kerana keadaan diri saya yang kelihatan sihat, anak-anak dan isteri juga bebas daripada HIV. 

“Saya sekarang cuba bergaul dengan masyarakat yang boleh menerima saya dan cuba memberi maklumat yang perlu diketahui masyarakat mengenai HIV, ramai yang menerimanya dan ramai pula yang tidak percaya. 

“Dalam keadaan seperti ini perlunya pihak media atau mereka yang berpengaruh membawa isu ini kepada masyarakat bagi memberi maklumat yang lebih jelas," ujarnya. 

Mengenai dirinya, Norasid memberitahu, keluarga dan mertuanya bersikap terbuka mengenai keadaan dirinya dan sudah mula menerimanya secara perlahan-lahan. 

Dia mengakui, memang kekhilafan masa lalu memakan dirinya dan ramai daripada masyarakat menyatakan penyakit yang ada dalam dirinya ini dicari sendiri. 

Norasid memberitahu, biarpun adanya kekesalan lalu namun apa yang menyedihkan apabila ramai yang menyuruh isteri meninggalkannya. 

“Saya berusaha pertahankan rumah tangga saya dan cuba menjadi ketua keluarga yang terbaik untuk membuktikan kepada orang ramai saya mampu berbuat demikian. 

“Mengenai pergaulan pula kita sebenarnya tidak tahu apa yang terkandung di dalam hati individu, mungkin dia cepat-cepat basuh tangan selepas bersalam dengan kita kerana takut `terjangkit’.. itu kita tidak tahu," kata Norasid. 

Apa pun baginya kekuatan agama dan berpegang teguh kepada ajaran Islam adalah perkara yang perlu ada dalam diri agar sentiasa kuat. 

Paling terbaharu menimpa Norasid apabila dia berkongsi cerita mengenai pengalamannya dalam laman sosial Facebook bersama rakan-rakan mengenai satu persoalan berkaitan masalah sosial. 

Apabila Norasid berkongsi cerita dan kemudian menceritakan mengenai status dirinya, semua rakan-rakan di laman sosial tidak lagi membalasnya. 

“Saya berharap orang ramai lebih memahami perihal kami. Banyak maklumat mengenai HIV telah disebarkan dan bagaimana sebenarnya virus ini dijangkiti. 

“Orang ramai perlu faham apa yang orang yang hidup dengan HIV ini alami dan tanggung. Dekati dan kenali mereka, cuba selami jiwa anak-anak kecil yang terpaksa menanggung HIV seumur hidup mereka begitu juga dengan ibu-ibu dan wanita-wanita yang tidak pernah pun meminta penyakit ini ada dalam badan mereka. 

“Sekiranya ingin diberi bantuan oleh badan-badan agama seperti pihak Zakat dan Baitulmal, masalah golongan ini sebenarnya tidak sama seperti individu miskin lain kerana golongan ini miskin dan berhadapan dengan krisis kesihatan," jelas Norasid. 


Takut orang tahu - MAZNAH 45

photo hiasan


Disahkan positif HIV pada usia 37 tahun, wanita berusia 45 tahun ini, mengabdikan dirinya untuk kerja-kerja sukarela dan menjadi petugas di sebuah rumah amal di Kuala Lumpur. 

“Saya diberhentikan kerja kerana saya asyik cuti sakit. Badan saya sakit, lemah dan berat mula susut dan kuman sudah mula masuk ke dalam paru-paru. 

“Mula-mula saya cuba menafikan yang saya mempunyai virus ini dalam badan kerana saya takut untuk mengakui yang saya HIV positif sedangkan saya hanya menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki warga asing sahaja. 

“Saya takut apa yang masyarakat pandang saya sekiranya mereka tahu saya HIV positif. Saya sendiri berasa hina dan jijik dengan keadaan diri saya apatah lagi orang luar," kata Maznah (bukan nama sebenar) ketika ditanya mengenai kisahnya. 

Dia berkata, sampai sekarang kawan-kawan tidak tahu kenapa dia diberhentikan kerja dan telah sembilan tahun mengasingkan diri daripada rakan-rakan karibnya. 

Maznah berkata, selagi dia mengasingkan diri dan masyarakat tidak tahu status sebenarnya, dia akan dapat meneruskan kehidupan bersama anak angkatnya yang dibela sejak berusia dua tahun yang juga disahkan HIV positif. 

“Apa yang sedihnya, guru-guru yang mengetahui status anak saya yang kini berusia sembilan tahun, tidak menggalakkannya mengambil bahagian dalam sebarang acara sukan. 

“Mungkin kerana tidak mahu reaksi negatif daripada ibu bapa lain, namun saya sebenarnya simpati dengan nasib anak saya itu," jelas Maznah yang mengakui menerima sokongan daripada keluarga dan adik-beradiknya. 

Dalam pada itu Maznah memberitahu, dirinya sebenarnya tertekan dengan rahsia yang disimpan sejak sekian lama itu. 

“Sekiranya masyarakat boleh menerima keadaan kami ini, barulah rasanya saya rela menonjolkan diri kerana saya tidak mahu dihina dan dipulau oleh masyarakat sekeliling," jelas Maznah yang telah berumahtangga dengan pasangan baru sejak lima tahun lalu.


oleh - ROSMAH DAIN 
Sumber Disini


13 comments:

  1. Kita mesti bersikap terbuka dan terima mereka. Kesilapan mereka jadikan satu teladan serta kesedaran mereka jadikan panduan. Percayalah persahabatan kita dengan mereka amat bermakna. Cubalah dan lihat hasilnya. Plhiv frenz, I wont let u walk alone.

    ReplyDelete
  2. Pihak Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan Malaysia perlu "PRO AKTIF" dalam memaklumkan Masyarakat Malaysia berhubung dengan interaksi dengan orang yang ada HIV. Masih ramai yang tak jelas tak faham kaedah sebenarnya apabila mempunyai kawan atau ahli keluarga yang mengalami penyakit HID/AIDS

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya setuju, penyebaran maklumat benar berkaitan HIV/AIDS dikalangan masyarakat pada hari ini masih lemah, nak harapkan kelompok komuniti HIV itu sendiri yang berusaha menyebarkannya melalui cara mereka (tapi yang saya nampak penyebaran maklumat hanya dikalangan PLHIV itu sendiri sahaja).

      Saya rasa terlalu ramai orang diluar sana tidak mengambil kisah tentang HIV/AIDS, mereka hanya akan ambil tahu apabila ahli keluarga, kawan-kawan atau yang terdekat dg mereka telah dijangkiti HIV baru mereka nak ambil tahu, tapi kita tak boleh menyalahkan mereka.

      Saya setuju sangat bukan sahaja bagi pihak kerajaan melalui kementerian Kesihatan, malah melibatkan semua pihak termasuk contohnya pengeluar drama dan filem, penyanyi, akhbar dan majalah perlu mempromosi maklumat benar tentang HIV/AIDS setiap masa setiap hari melalui (iklan) TV dan akhbar dan sebagainya. Apabila masyarakat disogokkan bertalu2 mengenai maklumat benar HIV/AIDS maka mereka akan cepat faham.

      Itu pandangan saya lah, hari ini cerita mengenai maklumat HIV/AIDS hanya kita dengar apabila datangnya Hari AIDS Sedunia sahaja lepas tu senyap balik....

      Delete
  3. Kepada Abang Naj Mi,

    Saya sedih, gelisah dan keliru. saya masih dalam proses mengenali diri sendiri. saya bagaimana? saya ingin berubah, itu matlamat saya. semakin hari saya takut. saya kalau boleh taknak menjadi diri saya seperti hari ini. saya cuba untuk berubah, saya tahu ianya akan berjaya. walaupun ianya takkan membuahkan hasil, saya tetap cuba untuk memperbaiki diri untuk selama- lamanya. meningkatkan amalan dan ibadat saya cuba. setiap hari melakukan dosa, saya manusia tak lari dari kesilapan. menulis dan luahkan kepada Naj Mi sudah cukup untuk memberi semangat untuk saya, mengurangkan tahap kekeliruan yg saya hadapi ketika ini.

    Tiada siapa yg tahu hanya Tuhan dan org2 yg terlibat disini sahaja. saya letih, saya ingin menjadi insan biasa. saya sudah tidak mampu untuk memikirkan. bukan kerja saya untuk memikirkan hal ini tetapi kenapa saya masih memikirkannya? adakah saya sengaja untuk memikirkan kekeliruan ini. saya berharap Tuhan buang saja "nafsu" yg satu ini dalam hati saya. andaikan saya suka kepada perempuan, jadi kenapa saya harus ada perasaan pada lelaki. adakah saya seorang yg tamak Naj Mi? sekiranya begitu, bagaimana cara untuk mengatasi hal ini? kenapa tidak dibuangkan sahaja perasaan ini, Naj Mi. saya suka membaca blog Naj Mi dan seringkali Naj Mi menggunakan perkataan "switch off" dan cakap "memang senang" biasa disebut. tapi bagaimana? saya ini manusia ataupun suis lampu, Naj Mi? untuk dibuka dan ditutup? dimanakah suisnya saya sangat begitu ingin tahu? saya tidak hipokrit Naj Mi. saya tidak suka begitu, itu diri saya. melatih diri untuk menyukai perempuan sahaja saya boleh terima dan itulah yang saya cuba lakukan hari demi hari sehingga ke hari ini. dan saya harap anda tahu yg ianya tidak semudah seperti yg disangkakan dan tidak juga sesukar seperti apa yg "tegar" rasakan. saya percaya itu.

    Apa yg saya dapat memahami diri saya sehingga hari ini ialah
    saya tak "dominant" tapi saya juga lemah dengan godaan insan yg bernama lelaki sebagai tempat memuaskan nafsu. saya bagaimana? apakah saya ini Naj Mi?
    saya suka dan sayang pada perempuan. nafsu? mungkin kurang kerana perempuan bagi saya bukan sekadar tempat untuk saya memuaskan nafsu, dengan menggunakan mereka sebagai alat permainan. dan saya percaya saya boleh mencintai perempuan dan bercinta tetapi tidak untuk lelaki. ini kerana saya pasti saya akan diselubungi kesedihan yg melampau setiap kali melihatnya. setakat ini saya tidak ada perhubungan dengan sesiapapun hanya diri sendiri kerana saya takut. saya ingin belajar untuk mengenali diri terlebih dahulu sebelum ke tahap yg selanjutnya. tpi untuk minat dan suka pada seseorang, saya tidak boleh lari daripadanya. saya bagaimana? apakah saya ini Naj Mi?

    Saya ada bertanya pada Naj Mi sebelum ni dan mungkin Naj Mi sudah melupakanya.

    daripada pembaca setia: Aslan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Aslan,

      Terima kasih...Pada pandangan abang naluri ini tidak dapat kita hapuskan, sekali ada maknanya kita akan tanggung selama-lamanya. Tetapi naluri ini boleh kita kawal, biasa yang kita dengar boleh kawal melalui iman dan takwa. Naluri ini merupakan dugaan Allah kepada kita, sama seperti dugaan Allah kepada semua manusia yang lain cuma dugaan antara kita semua adalah berbeza diantara satu sama lain.

      Abang sebenarnya tidak pandai nak beri nasihat yang baik, cuma abang mampu beri pandangan mengikut apa yang abang fikirkan dikepala ni sahaja.

      Switch Off - naluri bunyi macam senang tapi abang faham ianya sukar dilakukan terutama kepada mereka yang tidak serius nak berubah, switch off nafsu kepada kaum sejenis mungkin mudah bagi lelaki yang bersifat biseksual tapi sedikit susah buat gay tegar. Tetapi semuanya bergantung juga kepada kekuatan niat kita nak berubah. Switchnya ada didalam (kesungguhan) diri kita.

      Abang percaya jika kita kuat nak berubah, dan apabila kita kembali memperkukuhkan amal ibadat kita kepada Allah, buat yang disuruh dan tinggalkan segala laranganNya maka isyaallah kita boleh mengawal diri dari tidak terjebak dalam aktiviti sejenis ini, sekurang-kurangnya kita berjaya mengawal diri dan sentiasa berasa tenang walaupun naluri itu masih ada dalam diri kita.

      Janganlah kita kata nak berubah dan tidak mahu melakukan aktiviti seks sejenis lagi tetapi dalam masa yang sama setiap hari, setiap kali kita buka "laptop" kita pasti buka laman web gay, setiap hari kita menonton gay porn, malah dalam handphone kita pun berlambak-lambak gay movie dan photo lucah.

      Delete
    2. sambungan....

      Jika benar kita hendak berubah mengawal diri, segala yang berkaitan dengan kegiatan songsang perlu kita hindari, malah jika ada rakan baik yang aktif melakukan aktiviti songsang dan sekiranya mereka boleh mempengaruhi kita maka rakan ini juga perlu kita jauhi, tidak kira rakan di alam nyata atau didalam alam maya.

      Dalam keadaan kita seperti ini sepatutnya kita kena selalu berperasangka baik kepada Allah, selagi kita berperasangka buruk atas segala dugaan yang Allah berikan kepada kita, selagi kita bertanya, kenapa aku dijadikan macam ni kenapa dia tak jadi macam aku, kenapa dia kaya kenapa aku miskin, kenapa dia sihat dan kenapa aku sakit, kenapa dia normal kenapa aku gay, kenapa dia perempuan kenapa aku lelaki, kenapa dia hensem kenapa aku buruk, kenapa dia tinggi kenapa aku ketot, kenapa, kenapa, kenapa....maka kehidupan kita tidak akan tenteram dan tenang, kita akan rasa sedih, gelisah, keliru dan sebagainya.



      Teringat ayat Allah untuk kita,

      "Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak tahu." Surah. Al Baqarah:216.

      Maksud disini boleh jadi Aslan benci dengan naluri suka kepada lelaki dalam diri Aslan hari ini tapi hakikatnya naluri itulah yang boleh menyelamatkan Aslan dan bakal membawa Aslan masuk ke syurga nanti, tapi Aslan perlu bijak menangani naluri itu dengan baik. Boleh jadi sekiranya Aslan seorang normal mungkin kerana Aslan normal maka kerana normal itulah yang akan mempermudahkan Aslan masuk ke neraka suatu hari kelak. Kerana Allah mengetahui apa yang terbaik buat hambanya.

      Kita sebagai makluk Allah tidak boleh nak dapatkan semuanya yang baik aje buat diri kita, tidak mustahil walaupun sekiranya Aslan seorang yang normal tapi masih ada rasa tidak puas hati dengan apa yang Allah berikan kepada Aslan. Mungkin Aslan tidak puas hati jika berkahwin tapi tak diberi anak, mungkin Aslan tidak puas hati walaupun seorang yang normal tapi berwajah hodoh, miskin, cacat, berpenyakit dan sebagainya.

      Manusia tidak semuanya perfect. Sebenarnya Aslan perlu bersyukur kerana dilahirkan dalam keadaan sihat, cuma dilahirkan dengan naluri songsang sahaja, ada ramai insan lain diluar sana yang mendapat dugaan yang lebih teruk dari Aslan. Ramai yang songsang tapi ada HIV (masih gagal mengawal diri dan masih tidak mengambil iktibar apabila sudah dijangkiti HIV), ada yang dilahirkan cacat, dan ramai yang diduga dengan berbagai masaalah penyakit kronik.

      Cuba Aslan bayangkan pada hari ini Aslan seorang normal tapi diduga dengan kecacatan sejak lahir atau lumpuh sebab kemalangan dan tak mampu berkahwin, mana yang lebih baik? Punya naluri songsang atau cacat atau lumpuh.

      Apa yang abang nak kata disini ialah kita kena bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita, kita kena berfikiran positif dan pasti ada sebab kenapa Allah jadikan kita bernaluri songsang. Bersyukurlah sebelum Allah menduga kita dengan dugaan yang lebih teruk lagi.

      Delete
    3. sambungan....

      "Tidak Aku jadikan sesuatu itu sia-sia" (Ali 'Imran; Ayat 191)

      Maknanya naluri songsang itu antara (sesuatu) yang Allah jadikan pasti ada sebabnya, dan pasti bukan sia-sia, malah cacing kecil yang hidup dalam tanah dan kuman yang halus itu juga Allah jadikan ada sebabnya, sebagai manusia kita kenalah fikirkan, samalah sebabnya apabila kita dilahirkan bernaluri songsang. Apabila kita berfikiran positif dan bersangka baik kepada Allah pasti kita boleh mendapat jawabannya.

      "Allah tidak membebani (menguji) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya .... (Al-Baqarah 286)

      Bermakna Aslan juga mampu menangani masaalah yang Aslan hadapi ini. Cara menanganinya terpulang kepada cara kesungguhan diri masing-masing. Abang tidak mampu nak ajar satu persatu, cara menanganinya, juga bukan semudah seperti menyuruh menelan panadol kerana demam, telan dan insyaallah sembuh. Yang mampu abang kata tangani dengan iman dan takwa. Mungkin cara abang berbeza dengan cara orang lain, ianya juga bergantung mengikut corak kehidupan dipersekitaran kita yang berbeza diantara satu sama lain.

      Aslan juga kata boleh bercinta dan menyayangi perempuan, maka itu petanda baik dan jika Aslan berusaha lebih kearah itu disamping terus berdoa kepadaNya, bersangka baik kepadaNya dan berfikir positif, pasti Aslan mampu menyayangi perempuan selama-lamanya - NajMi

      Delete
    4. Terima kasih Abang Naj Mi, saya tenang sekarang :) - Aslan

      Delete
  4. Cuba cari penawar dengan kaedah perubatan alternatif di sini: https://www.facebook.com/LuqmanHerbsCentre atau hubungi terus pengasas dan pengamal perubatan ayurveda ini Dr Luqman @ 014 6332307 untuk pertanyaan lebih lanjut bagaimana rawatan ayurveda yang diamalkan oleh beliau boleh merawat penyakit ini. Terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kerana berkongsi maklumat...:)

      Delete
  5. to aslan...click as per below link moga bermanfaat utk kita semua

    http://m.malaysiakini.com/columns/254499

    to najmi...sy suka blog ni,sedikit sebanyak mengubah persepsi sy kepada penghidap HIV :)

    ReplyDelete

LABELS

10 sepuluh (28) 4 peringkat hiv sebelum menjadi aids (1) 5 lima (11) adik MS (4) aids kaitan dengan penyakit kulit (1) aku plhiv redha (1) amenia dan hiv (1) apa itu hiv apa itu aids (1) aplikasi (4) asas tentang hiv/aids (6) baby free hiv (10) bacha bazi (1) bagaimana hiv berjangkit? (3) bagaimana hiv tidak berjangkit? (2) barah otak (1) baru diagnosis hiv (13) basikal (2) bengkak puting tetek (3) berapa lama kuman hiv bertahan diluar badan (1) berbekam (1) berita hiv/aids (112) bisekual (21) buku dan majalah (16) buku informasi hiv/aids (3) buku kehidupan yang positif (10) buku nota hiv/aids (4) buku panduan HIV Levi Strauss (3) cara mengetahui samada saya telah dijangkiti hiv? (1) CD4 (6) CMIA principle test (2) dairy kehidupan (342) delima (pomegranate) (2) derma darah (4) diabetes (3) Efavirenz (3) fakta (10) fidyah (1) filem (17) gonorea (3) HAART (27) habbatus sauda (nigella sativa) (1) harga ubatan (6) hari aids sedunia (12) hepatitis (3) herpes (9) herpes zoster (1) hiv bukan hukuman mati (1) hiv bukan penyebab aids (1) hiv kaitan dengan antidepresan dan penggunaan dadah (1) hiv kaitan dengan hipertensi dan osteoporosis (1) hiv kaitan dengan jantung dan diabetes (2) hiv kaitan dengan kanser dan ginjal (1) hiv kaitan dengan kemerosotan otak dan lemak (1) hiv kaitan dengan makanan dan supplemen (2) hiv kaitan dengan rokok dan alkohol (2) hiv test kit (8) homosekual (7) hukuman jenayah seksual luar tabii (2) icon (11) insurans/pinjaman peribadi plhiv (3) istilah yang perlu dielakkan (1) jangkitan dan simptom hiv (6) jangkitan hiv kali ke dua (2) jangkitan opportunistik (JO) (2) kaitan tidur dan hiv (1) kandida/fungus (1) kanser (12) kanser hidung (3) kanser payu dara lelaki (3) kaposi sarcoma (1) kaunseling telefon nombor (4) kelenjar tiroid (1) kesan sampingan (8) kesihatan (11) ketuat genital (4) keyakinan kemurungan kebimbangan terhadap hiv (20) khatan (7) kondom (3) lebah dan hiv/aids (3) lesbian (9) LGBT (31) lipoatrophy (5) liwat (14) luar negara (57) madu (1) majlis AIDS malaysia (MAC) (1) maklumat hiv/aids (158) mengapa perlu lakukan ujian hiv awal? (2) methadone maintenance therapy (MMT) (1) MFZ (3) minda jasmani rohani (1) mitos hiv (5) mulut dan gigi (1) MylifeMystoryPT (6) NAJMI (56) najmi jumpa doktor (9) nelayan dan hiv (1) nukilan (1) nyamuk (3) onani (2) organ hati/hepatoksisiti (1) p t foundition (2) panduan/petua (47) peenyembuhan penyakit hiv/aids (1) pemakanan (1) penagih dadah (13) penawar HIV/AIDS?? (2) pengenalan hiv/aids (1) penuaan (1) penyakit kelamin (30) pep - post exposure prophylaxis (2) peria katak (1) perkahwinan (70) photo (11) PLHIV (175) pneumonia (1) positif thinking (1) prosedur melangkah jalani ujian hiv (3) puasa (17) rawatan (8) rawatan dan sokongan bantuan (1) rawatan peringkat ke 2 (2) red ribbon (1) remaja bawah umur dan hiv (6) rencana/artikel (58) risalah (12) rogol (9) rumah perlindungan hiv (23) rumah wahidayah (9) RVD (RetroViral Disease) (1) sajak (1) sauna (2) saya positif (9) sejarah hiv/aids (5) seks dan hubungan (28) selebriti (13) sembuh cara islam (2) senaman (2) siapa hendak diberitahu? (3) sifilis (4) skim PAL (2) SLE (Systemic Lupus Erythematosus) (1) SLN30 (1) soaljawab (89) solat (2) songsang (286) spirulina (1) stavudine (1) stigma/diskriminasi (27) stress (3) sub-jenis jenis golongan dan jenis hiv (1) tatoo dan tindik (1) TB tuberculosis (4) TENVIR EM dan STOCRIN (2) top vs bottom (1) travel dan plhiv (9) truvada pil pencegah hiv (1) ubat generik (2) ujian air kencing (2) ujian hiv imun cd4 dan viral load (2) ujian saringan hiv (15) umrah dan haji (4) urusan jenazah (6) video (83) viral load (5) wanita (119) window period 14 days (3) zakat (1) zali dan lisa (4) zoophilia (1)

RECENT POST