Tuesday, 25 February 2014

POST EXPOSURE PROPHYLAXIS – KISAH STUDENT NURSE TERCUCUK JARUM PESAKIT HIV

Nabil Baifern cerita kisah seorang rakannya yang seorang student nurse yang baru-baru ini tercucuk jarinya dengan jarum pesakit HIV. Nabil tinggalkan kisahnya itu didalam ruang komen dalam entri di SINI.


Abang Najmi nak tahu tak something? saya nak share. 

Baru-baru ni ada la seorang student nurse kat tempat kerje aku, dia dengan tak tersengaja tercucuk jarum dari seorang pesakit HIV sewaktu nak memberi ubat. Pas tu dia cepat-cepat picit darah tu keluarkan semua darah tu dari jari dia yang tercucuk jarum bekas pesakit HIV tu sambil nangis-nangis. Sampaikan nampak pucat je jari budak tu tekan jarinya. 

Aku memang sedih tengok budak tu time tu, tapi tak boleh nak kata apa selain suruh dia tekan lebih 5-10 minit jari dia untuk keluarkan darah tu sebagai langkah kurangkan jangkitan. 

Tidak lama lepas tu, budak tu kena refer ke unit kawalan jangkitan untuk kaunseling, kena buat insiden report dan sebagainya. Lastly on the same day budak tu terus memulakan makan ubat HAART, biasa ubat HAART tu hanya untuk pesakit HIV yang biasa amik tu.  

So bila aku pun tanya la kat pegawai farmasi yang bertugas tu selaku kawan saya juga, saya tanya, "Kalau sesorang tu dah tercemar dengan virus HIV tu boleh ke elakkan dari terkena jangkitan tu lagi dengan memakan ubat tu." 

Dan dia bagitahu saya. "YA BOLEH," 

Tetapi dengan syarat terus direct on the sport makan ubat tu pada time tu jugak macam budak tu tadi dan risiko untuk mendapat jangkitan memang rendah sangat-sangatlah (percent aku lupa tanya pulak..he..he..) Tapi selepas 3 dan 6 bulan perlu membuat pemeriksaan darah dan seterusnya sehingga keputusan darah menunjukkan seseorang tu betul-betul bebes dari jangkitan HIV. 

After that baru aku tahu yang sebenarnya jika kita rasa kita dah terdedah dengan aktiviti berisiko tu pada time tu juga, direct on the sport ambil ubat HAART ni terus boleh mengurangkkan dan merendahkan terus diri kita dari dijangkiti virus  HIV ni, sebab virus masih bilangan kecik sangat lagi kan.. :)


Nabil Baifern




Salam Nabil Baifern,

Terima kasih kerana berkongsi kisah, abang simpati dengan rakan nurse yang tercucuk jarum suntikan dari pesakit HIV itu, abang harap dia masih mampu berfikiran positif dan semoga pemberian HAART itu boleh menghalang kuman dari berkembang biak. Mudah-mudahan dia TIDAK lah dijangkiti HIV.

Sebenarnya pemberian ubatan HAART kepada nurse berkenaan dipanggil, POST EXPOSURE PROPHYLAXIS (PEP). PEP ini adalah rawatan awal untuk pencegahan HIV jika sukarelawan atau petugas perubatan (nurse) di tempat kerja tercedera terkena atau tercucuk jarum suntikan yang ada darah pesakit HIV. Abang ada share maklumat ini dalam beberapa entri sebelum ini (tapi lupa mana satu entri tersebut) 

Contohnya jika seseorang telah didedahkan kepada HIV, akibat kecederaan jarum cucuk jadi kemungkinan dia boleh diberikan ubat HIV untuk cuba menghalang penyebaran jangkitan daripada berlaku. Ini dipanggil (dalam bahasa melayunya) “Profilaksis Selepas Pendedahan” (PEP) dan perlu diberikan oleh pakar yang bertauliah (doktor pakar HIV/AIDS lah) secepat mungkin selepas pendedahan dan dalam masa 72 jam. Ianya merupakan langkah pencegahan dengan mengambil ubatan HAART dengan harapan mengurangkan peluang mendapat jangkitan HIV daripada pendedahan (yang tidak disengajakan) 

Tapi kebiasaannya PEP ini diberi kepada para petugas yang telah pasti berisiko dijangkiti HIV tanpa sengaja (dan ada bukti kukuh) seperti nurse, doktor atau polis yang secara tidak sengaja tercucuk jarum ketika menjalankan tugas kalau polis tu ketika membenteras jenayah berkaitan penagih dadahkan. Jika mereka terkena cucukan jarum yang kemungkinan besar ada kuman HIV ni maka mereka ada segera diberi rawatan PEP.

Hampir sama seperti kes seorang bayi Mississippi yang dilahirkan oleh seorang ibu yang baru disahkan positif HIV,

“Sekumpulan saintis Amerika Syarikat (AS), mengumumkan pasukannya berjaya merawat bayi yang dilahirkan dengan virus HIV. Bayi tersebut diberi rawatan yang teliti dan pantas berbanding biasa, bermula dengan tiga jenis ubat dalam masa 30 jam selepas dilahirkan. Sebelum ubat diberi, ujian mengesahkan bayi tersebut dijangkiti HIV, namun ibunya tidak pernah menjalani ujian sehinggalah tiba di wad bersalin.  

Saya hanya merasa bayi ini mempunyai risiko yang tinggi berbanding risiko normal dan menerima rawatan terbaik daripada kami," kata Dr. Hannah Gay, Pakar Pediatrik HIV di Universiti Mississippi yang turut menyertai penyelidikan itu.  

Tindakan pantas itu katanya, bertindak dengan menyekat HIV di dalam darah bayi, sebelum sel-sel virus itu bersembunyi di dalam tubuh bayi tersebut.  

Kebiasaannya simpanan sel yang terpendam dengan pantas akan menjangkiti semula pesakit yang menghentikan rawatan ubat, namun dalam kes ini menunjukkan kesan sebaliknya dan doktor berterusan memantau bagi memastikan bayi itu ia bebas sepenuhnya daripada virus HIV.

Pernah seorang pembaca tanya abang bagaimana nak dapatkan rawatan segera jika kita syak diri kita baru sahaja dapat jangkitan HIV. 

Abang kata kena buat lapuran segera kepada pihak hospital lah, tapi kalau kita pergi buat seks dengan pekerja seks atau dengan pasangan sejenis (gay) kita, yang kita tidak tahu kesahihan tepat status diri mereka macam mana nak buat laporankan. Takkan lah kita nak kata, nak dapatkan ubatan HAART sebab baru beberapa jam tadi aku buat seks dan aku hanya rasa kemungkinan sudah dijangkiti HIV.

Adoiii tak boleh main agak-agak, sekurang-kurangnya kena ada bukti pasangan kita itu sah positif HIV. Kena tarik tangan pasangan seks tu dulu buat ujian HIV dengan segera bagi mendapatkan bukti kukuh. Nak ke kita tarik pekerja seks atau rakan gay kita buat ujian segera HIV? Dan bagaimana kalau pasangan kita tu tidak ada HIV?

Ada seorang rakan tu pulak kalau (tak silap) abang dia mengaku ada buat seks guna kondom, tapi takut diri dah dijangkiti HIV dia kata nak makan ubatan HAART tu dan tanya macam mana nak dapatkan ubatan tu. So abang terpaksalah terangkan kepada dia, kita kena ada bukti kukuh yang diri kita telah berisiko dijangkiti HIV, seperti kawan nurse Nabil yang tercucuk jarum pesakit HIV tu untuk dapatkan rawatan PEP ini. 

Tak bolehlah disebab kegagalan kita mengawal nafsu melakukan seks rambang tanpa pelindungan sama ada dengan pekerja seks atau pasangan sejenis, dan apabila rasa takut terus nak dapatkan rawatan PEP ini. 

Lainlah kalau pasangan kita ialah suami atau isteri kita yang sah positif HIV dan rekod mereka ada dalam simpanan dihospital. Mungkin ketika melakukan hubungan seks kondom telah bocor tanpa disedari, sehingga memungkinkan pasangan mereka itu berisiko dijangkiti HIV. Maka pasangan suami isteri ini kenalah segera berjumpa dengan doktor yang merawat mereka, dan abang yakin insyaallah rawatan PEP boleh diberi dengan segera kepada pasangan mereka yang negatif HIV itu dengan segera.

Setahu abang tidak mudah untuk mendapatkan ubatan HAART sebab ubatan HAART ini antara ubatan terkawal, maknanya tidak sewenang-wenang boleh diberi kepada orang dan setahu abang ubatan ini tidak ada dijual dimana-mana farmasi di shopping komplek diluar sana. Lagi satu harga ubatan HAART ini sememangnya agak mahal (klik disini)

Yang abang maksudkan rawatan PEP diatas ialah di Hospital Kerajaan. 

Saya sebenarnya tidak pasti sama ada anda boleh dapatkan rawatan PEP dengan segera atau tidak dimana-mana hospital swasta, jika mengesyaki diri telah dijangkiti HIV tapi boleh cuba baca komen seorang pembaca dalam ruang komen dalam entri Puan LISA disini, kerana pembaca tersebut ada menasihatkan Pn Lisa agar segera ke Sime Darby Medical Centre bagi mendapatkan nasihat dari doktor Nor Liza Ariffin, siap ada ditinggalkan sekali didalam ruang komen itu, no phone pusat perubatan tersebut bagi urusan membuat appoitment. Tapi sekali pun jika boleh dapatkan rawatan dengan segera bagi mencegah kuman HIV berkembang biak dalam tubuh kita dipusat perubatan berkenaan, pastinya anda terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi disana. 

Abang harap Nabil dan kepada semua kakitangan perubatan kena lebih berhati-hati dan tidak cuai ketika menjalankan tugas. Kadang-kadang abang sendiri risau apabila melihat nurse yang mengambil darah abang menghala arah jarum yang telah berisi darah, risau ketika mereka hendak memasukkan darah abang yang ada HIV ni ke dalam tabung kecil yang tersedia, jika tidak berhati-hari boleh menyebabkan jarum tersasar terkena pada jari mereka sendiri ketika memegang tabung uji berkenaan.  

Pada abanglah tak mengapa jika mengambil darah PLHIV tanpa mengunakan sarung tangan sebab, sentuhan jari yang tidak ada luka jika memegang darah pesakit HIV tidak menyebabkan berlakunya jangkitan HIV, TETAPI abang faham mereka kena memakai sarung tangan sebab terpaksa mematuhi prosedur yang telah ditetapkan, mungkin bagi mengelak jangkitan lain-lain penyakit. - NajMi



Monday, 24 February 2014

ASLAN - KENAPA SAYA HARUS ADA PERASAAN KEPADA LELAKI?

ASLAN meluahkan rasa hatinya didalam ruang komen entri DISINI

photo hiasan

Kepada Abang Naj Mi,

Saya sedih, gelisah dan keliru. Saya masih dalam proses mengenali diri sendiri saya, bagaimana saya ingin berubah? Itu matlamat saya, semakin hari saya takut. Saya kalau boleh tak nak menjadi diri saya seperti hari ini.

Saya cuba untuk berubah, saya tahu ianya akan berjaya, walaupun ianya takkan membuahkan hasil, saya tetap cuba untuk memperbaiki diri untuk selama-lamanya. Meningkatkan amalan dan ibadat saya cuba. Setiap hari melakukan dosa, saya manusia tak lari dari kesilapan dengan menulis dan luahkan kepada Naj Mi sudah cukup untuk memberi semangat untuk saya, dapat mengurangkan tahap kekeliruan yang saya hadapi ketika ini.

Tiada siapa yang tahu hanya Tuhan dan orang-orang yang terlibat disini sahaja yang tahu. Saya letih, saya ingin menjadi insan biasa. Saya sudah tidak mampu untuk memikirkan. Bukan kerja saya untuk memikirkan hal ini tetapi kenapa saya masih memikirkannya? Adakah saya sengaja untuk memikirkan kekeliruan ini. Saya berharap Tuhan buang saja "nafsu" yang satu ini dalam hati saya.

Andaikan saya suka kepada perempuan, jadi kenapa saya harus ada perasaan kepada lelaki? Adakah saya seorang yang tamak Naj Mi? Sekiranya begitu, bagaimana cara untuk mengatasi hal ini? Kenapa tidak dibuangkan sahaja perasaan ini, Naj Mi.

Saya suka membaca blog Naj Mi dan seringkali Naj Mi menggunakan perkataan "switch off" dan cakap "memang senang" biasa disebut. tapi bagaimana? Saya ini manusia ataupun suis lampu, Naj Mi? untuk dibuka dan ditutup? dimanakah suisnya saya sangat begitu ingin tahu?

Saya tidak hipokrit NajMi, saya tidak suka begitu, itu diri saya. Melatih diri untuk menyukai perempuan sahaja saya boleh terima dan itulah yang saya cuba lakukan hari demi hari sehingga ke hari ini. Dan saya harap anda tahu yang ianya tidak semudah seperti yang disangkakan dan tidak juga sesukar seperti apa yang "tegar" rasakan. Saya percaya itu.

Apa yang saya dapat memahami diri saya sehingga hari ini ialah saya tak "dominant" tapi saya juga lemah dengan godaan insan yang bernama lelaki sebagai tempat memuaskan nafsu saya, bagaimana? apakah saya ini Naj Mi?

Saya suka dan sayang pada perempuan. Nafsu? mungkin kurang kerana perempuan bagi saya bukan sekadar tempat untuk saya memuaskan nafsu, dengan menggunakan mereka sebagai alat permainan. Dan saya percaya saya boleh mencintai perempuan dan bercinta tetapi tidak untuk lelaki, ini kerana saya pasti saya akan diselubungi kesedihan yang melampau setiap kali melihatnya.

Setakat ini saya tidak ada perhubungan dengan sesiapa pun hanya diri sendiri kerana saya takut. Saya ingin belajar untuk mengenali diri terlebih dahulu sebelum ke tahap yang selanjutnya. Tapi untuk minat dan suka pada seseorang, saya tidak boleh lari daripadanya. Saya bagaimana? Apakah saya ini Naj Mi?

Saya ada bertanya pada NajMi sebelum ni dan mungkin NajMi sudah melupakanya.

daripada pembaca setia: 
ASLAN



Salam Aslan,

Pada pandangan abang naluri ini tidak dapat kita hapuskan, sekali ada maknanya kita akan tanggung selama-lamanya. Tetapi naluri ini boleh kita kawal, biasa yang kita dengar boleh kawal melalui iman dan takwa. Naluri ini merupakan dugaan Allah kepada kita, sama seperti dugaan Allah kepada semua manusia yang lain cuma dugaan antara kita semua adalah berbeza diantara satu sama lain.

Abang sebenarnya tidak pandai nak beri nasihat yang baik, cuma abang mampu beri pandangan mengikut apa yang abang fikirkan dikepala ni sahaja.

Switch Off - naluri bunyi macam senang tapi abang faham ianya sukar dilakukan terutama kepada mereka yang tidak serius nak berubah, switch off nafsu kepada kaum sejenis mungkin mudah bagi lelaki yang bersifat biseksual tapi sedikit susah buat gay tegar. Tetapi semuanya bergantung juga kepada kekuatan niat kita nak berubah. Switchnya ada didalam (kesungguhan) diri kita.

Abang percaya jika kita kuat nak berubah, dan apabila kita kembali memperkukuhkan amal ibadat kita kepada Allah, buat yang disuruh dan tinggalkan segala laranganNya maka isyaallah kita boleh mengawal diri dari tidak terjebak dalam aktiviti sejenis ini, sekurang-kurangnya kita berjaya mengawal diri dan sentiasa berasa tenang walaupun naluri itu masih ada dalam diri kita.

Janganlah kita kata nak berubah dan tidak mahu melakukan aktiviti seks sejenis lagi tetapi dalam masa yang sama setiap hari, setiap kali kita buka "laptop" kita pasti buka laman web gay, setiap hari kita menonton gay porn, malah dalam handphone kita pun berlambak-lambak gay movie dan photo lucah.

Jika benar kita hendak berubah mengawal diri, segala yang berkaitan dengan kegiatan songsang perlu kita hindari, malah jika ada rakan baik yang aktif melakukan aktiviti songsang dan sekiranya mereka boleh mempengaruhi kita maka rakan ini juga perlu kita jauhi, tidak kira rakan di alam nyata atau didalam alam maya.

Dalam keadaan kita seperti ini sepatutnya kita kena selalu berperasangka baik kepada Allah, selagi kita berperasangka buruk atas segala dugaan yang Allah berikan kepada kita, selagi kita bertanya, kenapa aku dijadikan macam ni kenapa dia tak jadi macam aku, kenapa dia kaya kenapa aku miskin, kenapa dia sihat dan kenapa aku sakit, kenapa dia normal kenapa aku gay, kenapa dia perempuan kenapa aku lelaki, kenapa dia hensem kenapa aku buruk, kenapa dia tinggi kenapa aku ketot, kenapa, kenapa, kenapa....maka kehidupan kita tidak akan tenteram dan tenang, kita akan rasa sedih, gelisah, keliru dan sebagainya. 

Teringat ayat Allah untuk kita,

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak tahu." Surah. Al Baqarah:216. 

Maksud disini boleh jadi Aslan benci dengan naluri suka kepada lelaki dalam diri Aslan hari ini tapi hakikatnya naluri itulah yang boleh menyelamatkan Aslan dan bakal membawa Aslan masuk ke syurga nanti, tapi Aslan perlu bijak menangani naluri itu dengan baik. Boleh jadi sekiranya Aslan seorang normal mungkin kerana Aslan normal maka kerana normal itulah yang akan mempermudahkan Aslan masuk ke neraka suatu hari kelak. Kerana Allah mengetahui apa yang terbaik buat hambanya.

Kita sebagai makluk Allah tidak boleh nak dapatkan semuanya yang baik aje buat diri kita, tidak mustahil walaupun sekiranya Aslan seorang yang normal tapi masih ada rasa tidak puas hati dengan apa yang Allah berikan kepada Aslan. Mungkin Aslan tidak puas hati jika berkahwin tapi tak diberi anak, mungkin Aslan tidak puas hati walaupun seorang yang normal tapi berwajah hodoh, miskin, cacat, berpenyakit dan sebagainya.

Manusia tidak semuanya perfect. Sebenarnya Aslan perlu bersyukur kerana dilahirkan dalam keadaan sihat, cuma dilahirkan dengan naluri songsang sahaja, ada ramai insan lain diluar sana yang mendapat dugaan yang lebih teruk dari Aslan. Ramai yang songsang tapi ada HIV (masih gagal mengawal diri dan masih tidak mengambil iktibar apabila sudah dijangkiti HIV), ada yang dilahirkan cacat, dan ramai yang diduga dengan berbagai masaalah penyakit kronik.

Cuba Aslan bayangkan pada hari ini Aslan seorang normal tapi diduga dengan kecacatan sejak lahir atau lumpuh sebab kemalangan dan tak mampu berkahwin, mana yang lebih baik? Punya naluri songsang atau cacat atau lumpuh.

Apa yang abang nak kata disini ialah kita kena bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita, kita kena berfikiran positif dan pasti ada sebab kenapa Allah jadikan kita bernaluri songsang. Bersyukurlah sebelum Allah menduga kita dengan dugaan yang lebih teruk lagi.

"Tidak Aku jadikan sesuatu itu sia-sia" (Ali 'Imran; Ayat 191)

Maknanya naluri songsang itu antara (sesuatu) yang Allah jadikan pasti ada sebabnya, dan pasti bukan sia-sia, malah cacing kecil yang hidup dalam tanah dan kuman yang halus itu juga Allah jadikan ada sebabnya, sebagai manusia kita kenalah fikirkan, samalah sebabnya apabila kita dilahirkan bernaluri songsang. Apabila kita berfikiran positif dan bersangka baik kepada Allah pasti kita boleh mendapat jawabannya. 

"Allah tidak membebani (menguji) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya .... (Al-Baqarah 286) 

Bermakna Aslan juga mampu menangani masaalah yang Aslan hadapi ini. Cara menanganinya terpulang kepada cara kesungguhan diri masing-masing. Abang tidak mampu nak ajar satu persatu, cara menanganinya, juga bukan semudah seperti menyuruh menelan panadol kerana demam, telan dan insyaallah sembuh. Yang mampu abang kata tangani dengan iman dan takwa. Mungkin cara abang berbeza dengan cara orang lain, ianya juga bergantung mengikut corak kehidupan dipersekitaran kita yang berbeza diantara satu sama lain.

Aslan juga kata boleh bercinta dan menyayangi perempuan, maka itu petanda baik dan jika Aslan berusaha lebih kearah itu disamping terus berdoa kepadaNya, bersangka baik kepadaNya dan berfikir positif, pasti Aslan mampu menyayangi perempuan selama-lamanya - NajMi


Sunday, 23 February 2014

2 - SAYA POSITIF - PENGALAMAN KETIKA MULA MENELAN UBATAN HAART

Ingat lagi kisah Saya Positif dalam entri bertajuk, "SAYA POSITIF - LEMAH BADAN, HANCUR HATI APABILA DISAHKAN +VE HIV". Saya Positif telah disahkan positif HIV pada bulan Oktober tahun lalu (2013), lebih mengejutkannya apabila CD4 beliau ketika itu telah berada dibawah bacaan 200. 

Berikut adalah perkongsian pengalaman beliau ketika mula berjumpa doktor dan pengalaman ketika memulakan rawatan HAART.


Salam semua…

Sudah sebulan aku tidak melayari blog abang Naj Mi kerana sibuk dengan kerja dan urusan rawatan aku dengan pihak hospital. Setelah aku dimaklumkan bahawa paras CD4 aku adalah di bawah 200 (sudah dikira kategori pesakit AIDS).

Aku telah diberikan 3 jenis ubat iaitu Sulpha + Trimethoprim (Co-Tri) & 3 jenis vitamin (secara PERCUMA) sebagai ubat permulaan untuk mendidik aku makan ubat mengikut masa yang harus ditepati. Aku di maklumkan bahawa ubat ini ada kesan sampingan oleh doktor khasnya ubat Bactrim seperti Ulser, ruam satu badan dan muka bengkak.

Aku pun memulakan ubatan itu iaitu aku telan dua biji ubat Co-Tri pada jam 6 pagi sebelum sarapan dan pada jam 8 pagi 1 biji setiap 3 jenis vitamin (selepas sarapan). Diikuti pada sebelah malam pada pukul 8 malam (selepas dinner) untuk selama dua minggu. So far, so good aje, cuma ada sekali dua ubat vitamin aku terlajak makan terlebih dari jam sepatutnya…hihihihihii.

Setelah 2 minggu (minggu lepas)

Aku berjumpa dengan doktor (ikut temujanji). Sementara menunggu giliran di luar bilik rawatan, aku dapati ada 3 orang lelaki pun turut menunggu di bilik yang sama dan sememangnya aku tahu doctor dibilik itu hanya merawat kes kes HIV sahaja, masing masing nampak sihat dan salah seorang lagi yang aku nampak seperti selalu ke Gym. Nasiblah, “berani buat berani tanggung…” 

Doktor bertanya macamana keadaan aku? Aku jawab, "Tak ada apa-apa kesan sampingan."

Dan aku bertanya pada doktor, "Mana satu ubat Bactrim tu doc?"

Doktor jawab, "Oh!..ubat Co-Tri tu lah Bactrim… lerrrr :-p" 

Nasib baik aku makan on time dan syukur Alhamdulillah tiada kesan kesan sampingan yang menakutkan ke atas tubuh badan dan mulut aku. 

Ujian darah Viral Load aku belum diperolehi lagi walaupun sudah 2 minggu (itu perkara biasa kalau di Hospital Kerajaan) dan aku diberikan 3 jenis ubat untuk rawatan HAART iaitu, Co-Tri/Bactrim, Lamivudine + Zidovudine (Combivir) dan Efavirenz (secara PERCUMA) untuk tempoh masa 2 minggu.

Dengan penjelasan yang diberikan oleh doktor dan pegawai farmasi khasnya kesan ubat Efavirenz (pening dan mimpi ngeri). Gosh!...mimpi ngeri, takkan tak der mimpi indah? Kata ku..hihihihiii

Pengalaman pertama kali telan HAART

Oleh itu, catatan yang kutulis pada pagi ini adalah untuk berkongsi sama apa yang aku alami setelah makan ubat ini dua hari lepas iaitu bemula pada hari Jumaat lepas.

Ubat Co-Trim 2 biji jam 6.00 pagi, ubat Combivir 1 biji  pada 8 pagi dan 1 biji pada 8 malam dan ubat yang menakutkan aku ni, Efavirenz aku makan 1 biji pada pukul 9.00 malam.

Benarlah kata-kata doktor, aku seperti sehelai kertas longlai dibuai mimpi Fantasi yang entah apa-apa tiada motif tiada matlamat, dah macam Alice The Wonderland. Adakala aku ketawa dalam tidur, menangis dan takut.

Ambek kau!... apabila aku bangun pagi jam 6, dah macam orang mabuk, terhoyong hayang, pening gila, tak boleh berdiri, sesak nafas sikit dan oksigen rasa tak sampai ke kepala, berpeluh dahi.

Seharian aku tidur pada Sabtu pagi semalam (22 Feb 2013), makan roti dan bekalan makanan yang ada. Janji perut tak kosong. Solat ikut waktu walaupun tak stabil berdiri :-p.

Sebelah petang baru aku rasa agak stabil dan boleh drive untuk beli makanan dinner aku.

POWER nya ubat Efavirenz ini, pesan pegawai farmasi, ubat ini boleh dimakan 30 minit sebelum dinner atau 2 jam selepas dinner. Dan oleh itu, untuk hari ke-2, aku makan ubat ini jam 6.30 petang sebiji jer dan jam 7.00 ketika aku makan malam
selera makan sedikit jer, agak terjejas, sebab dah rasa sedikit mamai.

Selepas solat dan makan ubat jam 8.00 malam, aku pun..Pa Ke Ba Bom!..titon la sebab dah mula balik hanyutan gelombang ubat ini, aku terus tidur sehingga jam 5.00 pagi ini. Aku bangun nak gi kencing dan sedia untuk solat Subuh. 

Syukur Alhamdulillah, doa aku mungkin dimakbulkan Allah (mungkin orang lain seminggu dua akan mengalami simtom ini berpanjangan). Aku tidak lagi macam orang mabuk cuma sedikit pening dan aku pun mula membuat catatan ini. 

Jadi inilah cerita yang terlintas di kepala otak aku sekadar berkongsi pengalaman baru. Horeyyy, esok boleh drive pergi kerja, risau lak kalau M.C di hari Isnin – nanti orang kata M.C tipu dan saja-saja nak sambung cuti sebab aku pun tak suka pekerja di bawah jagaanku M.C hari Isnin atau Jumaat.. Aku Meraguinya… 

Nak sambung tidur…kepala pening ni...


SAYA POSITIF
Sumber Dari Ruang Komen DiSini

















Salam Saya Positif,

Alhamdulillah semoga kehidupan saudara dipermudahkan. Mengenai kesan sampingan ubatan HAART yang kita makan tu adalah berbeza diantara seorang dengan seorang PLHIV yang lain, ada orang yang mengalami berbagai kesan sekejap sahaja tetapi ada orang lain terpaksa menanggung kesan ubatan itu dalam jangka masa yang lebih lama. Malah seorang rakan ada cerita yang dia langsung tidak mengalami apa-apa kesan selepas menelan HAART ini.

Pengalaman abang, kesan mamai tu memang pernah abang alami terutama pada ketika mula-mula menelan ubatan yang diberi, TETAPI seingat abang, abang tidak pernah mengalami mimpi yang menakutkan, hanya mimpi biasa-biasa aje. Senang kata alhamdulillah kesan yang abang alami dulu tidak lah teruk sangat.

Jika hendak tahu mengenai kesan sampingan setelah menelan HAART bolehlah klik baca didalam entri DISINI
- NajMi

Friday, 21 February 2014

KISAH NORASID DAN MAZNAH - STIGMA HIDUP DENGAN HIV

Stigma dan diskriminasi terhadap orang yang hidup dengan HIV berlaku dalam semua masyarakat di seluruh dunia.

SEHINGGA kini, pelbagai langkah telah dilakukan sebagai usaha untuk mengekang penularan jangkitan HIV termasuklah kempen-kempen tanpa had dan juga ubat-ubatan yang dibekalkan oleh kerajaan secara percuma. 

Antaranya ialah program rawatan HAART (Highly Active Anti-Retroviral Therapy), jarum suntikan percuma, terapi gantian metadon, ujian saringan pasangan yang bakal berkahwin dan sebagainya. 

Pada awal-awal kes yang melibatkan HIV, tidak dapat tidak stigma masyarakat terhadap individu atau kelompok yang hidup dengan virus ini adalah amat tinggi. 

Diskriminasi iaitu perlakuan yang membeza-bezakan atau memulaukan orang yang hidup dengan HIV amat menebal kerana pada waktu itu takdir bagi yang menerima virus ini dalam hidup mereka hanyalah maut. 

Mereka digambarkan umpama bangkai bernyawa yang hanya menunggu masa menemui ajal dan sudah tentu masyarakat akan ‘menolak’ golongan ini dalam kehidupan bermasyarakat kerana ditakuti ‘terjangkit’ dengan virus berkenaan. 

Sedangkan HIV tidak akan berjangkit selagi masyarakat mengamalkan gaya hidup yang sihat dan menolak aktiviti berisiko tinggi seperti perkongsian jarum suntikan dan amalan seks yang tidak selamat. 

Malah perlu diingatkan HIV juga dijangkiti akibat penularan daripada suami kepada isteri, ibu kepada bayinya, atau mungkin akibat proses pemindahan darah, yang sama sekali tidak dijangka oleh penghidapnya. 

Siapa pula yang boleh menjangkakan keadaan sekarang apabila mereka yang hidup dengan HIV kini kelihatan lebih sihat dengan ubat-ubat yang ada malah mampu pula melahirkan anak yang bebas daripada virus ini apabila pasangan yang hidup dengan HIV ini mengikut pelbagai prosedur doktor yang diperlukan sebelum mendapat zuriat. 


Stigma berterusan - NORASID 39
 
photo hiasan - getty images

Namun, dalam tempoh lebih kurang 27 tahun sejak pertama kali kes HIV dikesan, apa yang paling menyedihkan masih lagi terdapat stigma atau diskriminasi terhadap orang yang hidup dengan HIV dalam kalangan masyarakat. 

Biarpun seharusnya dengan pelbagai jenis maklumat yang ‘dijajakan’, sekurang-kurangnya memberi sedikit sebanyak pengetahuan yang membolehkan mereka berfikir dengan rasional dan menerima kehadiran golongan yang hidup dengan HIV ini dengan tangan terbuka. 

Menurut Norasid Md. Said, 39, dari sebuah Felda di Negeri Sembilan dan sekarang ini bertugas sebagai sukarelawan petugas program pertukaran jarum yang telah didiagnosis menghidap HIV sejak tahun 2003, stigma dan diskriminasi terhadap orang yang hidup dengan HIV masih berlaku. 

Norasid yang menerima virus berkenaan akibat perkongsian jarum suntikan, kini telah tujuh tahun berumah tangga dan mempunyai tiga orang anak berumur lima, empat dan dua tahun. 

“Saya hendak bekerja dan memohon menjadi pengawal keselamatan dan pihak majikan meminta saya melakukan pemeriksaan kesihatan dan saya melakukannya di klinik yang saya buat pemeriksaan HIV. 

“Lepas pemeriksaan, majikan kata mereka akan hubungi saya tetapi menunggu sekian lama tidak juga menerima jawapan. Saya ingatkan mereka tidak mengambil saya bekerja kerana status saya yang pernah masuk penjara, tetapi selepas disiasat baru saya tahu pihak doktor dari klinik itu sendiri memberitahu pihak majikan yang saya ada HIV," jelas Norasid yang sukarela tampil memperkenalkan diri sebagai orang yang hidup dengan HIV. 

Bukan itu sahaja, dia berkata, masih ada di kampung-kampung yang mengasingkan kubur mereka yang mempunyai sejarah pengguna dadah di satu kawasan yang dikhususkan dalam satu barisan. 

Apabila jenazah dikebumikan pastinya akan memberi keaiban kepada keluarga mereka atas sejarah kesilapan yang lalu kerana penduduk kampung menggambarkan mereka yang menagih dadah pastinya ada HIV. 

“Tentang soal stigma, saya sendiri pun cuba memberi contoh yang terbaik kerana keadaan diri saya yang kelihatan sihat, anak-anak dan isteri juga bebas daripada HIV. 

“Saya sekarang cuba bergaul dengan masyarakat yang boleh menerima saya dan cuba memberi maklumat yang perlu diketahui masyarakat mengenai HIV, ramai yang menerimanya dan ramai pula yang tidak percaya. 

“Dalam keadaan seperti ini perlunya pihak media atau mereka yang berpengaruh membawa isu ini kepada masyarakat bagi memberi maklumat yang lebih jelas," ujarnya. 

Mengenai dirinya, Norasid memberitahu, keluarga dan mertuanya bersikap terbuka mengenai keadaan dirinya dan sudah mula menerimanya secara perlahan-lahan. 

Dia mengakui, memang kekhilafan masa lalu memakan dirinya dan ramai daripada masyarakat menyatakan penyakit yang ada dalam dirinya ini dicari sendiri. 

Norasid memberitahu, biarpun adanya kekesalan lalu namun apa yang menyedihkan apabila ramai yang menyuruh isteri meninggalkannya. 

“Saya berusaha pertahankan rumah tangga saya dan cuba menjadi ketua keluarga yang terbaik untuk membuktikan kepada orang ramai saya mampu berbuat demikian. 

“Mengenai pergaulan pula kita sebenarnya tidak tahu apa yang terkandung di dalam hati individu, mungkin dia cepat-cepat basuh tangan selepas bersalam dengan kita kerana takut `terjangkit’.. itu kita tidak tahu," kata Norasid. 

Apa pun baginya kekuatan agama dan berpegang teguh kepada ajaran Islam adalah perkara yang perlu ada dalam diri agar sentiasa kuat. 

Paling terbaharu menimpa Norasid apabila dia berkongsi cerita mengenai pengalamannya dalam laman sosial Facebook bersama rakan-rakan mengenai satu persoalan berkaitan masalah sosial. 

Apabila Norasid berkongsi cerita dan kemudian menceritakan mengenai status dirinya, semua rakan-rakan di laman sosial tidak lagi membalasnya. 

“Saya berharap orang ramai lebih memahami perihal kami. Banyak maklumat mengenai HIV telah disebarkan dan bagaimana sebenarnya virus ini dijangkiti. 

“Orang ramai perlu faham apa yang orang yang hidup dengan HIV ini alami dan tanggung. Dekati dan kenali mereka, cuba selami jiwa anak-anak kecil yang terpaksa menanggung HIV seumur hidup mereka begitu juga dengan ibu-ibu dan wanita-wanita yang tidak pernah pun meminta penyakit ini ada dalam badan mereka. 

“Sekiranya ingin diberi bantuan oleh badan-badan agama seperti pihak Zakat dan Baitulmal, masalah golongan ini sebenarnya tidak sama seperti individu miskin lain kerana golongan ini miskin dan berhadapan dengan krisis kesihatan," jelas Norasid. 


Takut orang tahu - MAZNAH 45

photo hiasan


Disahkan positif HIV pada usia 37 tahun, wanita berusia 45 tahun ini, mengabdikan dirinya untuk kerja-kerja sukarela dan menjadi petugas di sebuah rumah amal di Kuala Lumpur. 

“Saya diberhentikan kerja kerana saya asyik cuti sakit. Badan saya sakit, lemah dan berat mula susut dan kuman sudah mula masuk ke dalam paru-paru. 

“Mula-mula saya cuba menafikan yang saya mempunyai virus ini dalam badan kerana saya takut untuk mengakui yang saya HIV positif sedangkan saya hanya menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki warga asing sahaja. 

“Saya takut apa yang masyarakat pandang saya sekiranya mereka tahu saya HIV positif. Saya sendiri berasa hina dan jijik dengan keadaan diri saya apatah lagi orang luar," kata Maznah (bukan nama sebenar) ketika ditanya mengenai kisahnya. 

Dia berkata, sampai sekarang kawan-kawan tidak tahu kenapa dia diberhentikan kerja dan telah sembilan tahun mengasingkan diri daripada rakan-rakan karibnya. 

Maznah berkata, selagi dia mengasingkan diri dan masyarakat tidak tahu status sebenarnya, dia akan dapat meneruskan kehidupan bersama anak angkatnya yang dibela sejak berusia dua tahun yang juga disahkan HIV positif. 

“Apa yang sedihnya, guru-guru yang mengetahui status anak saya yang kini berusia sembilan tahun, tidak menggalakkannya mengambil bahagian dalam sebarang acara sukan. 

“Mungkin kerana tidak mahu reaksi negatif daripada ibu bapa lain, namun saya sebenarnya simpati dengan nasib anak saya itu," jelas Maznah yang mengakui menerima sokongan daripada keluarga dan adik-beradiknya. 

Dalam pada itu Maznah memberitahu, dirinya sebenarnya tertekan dengan rahsia yang disimpan sejak sekian lama itu. 

“Sekiranya masyarakat boleh menerima keadaan kami ini, barulah rasanya saya rela menonjolkan diri kerana saya tidak mahu dihina dan dipulau oleh masyarakat sekeliling," jelas Maznah yang telah berumahtangga dengan pasangan baru sejak lima tahun lalu.


oleh - ROSMAH DAIN 
Sumber Disini


LABELS

10 sepuluh (28) 4 peringkat hiv sebelum menjadi aids (1) 5 lima (11) adik MS (4) aids kaitan dengan penyakit kulit (1) aku plhiv redha (1) amenia dan hiv (1) apa itu hiv apa itu aids (1) aplikasi (4) asas tentang hiv/aids (6) baby free hiv (10) bacha bazi (1) bagaimana hiv berjangkit? (3) bagaimana hiv tidak berjangkit? (2) barah otak (1) baru diagnosis hiv (13) basikal (2) bengkak puting tetek (3) berapa lama kuman hiv bertahan diluar badan (1) berbekam (1) berita hiv/aids (112) bisekual (21) buku dan majalah (16) buku informasi hiv/aids (3) buku kehidupan yang positif (10) buku nota hiv/aids (4) buku panduan HIV Levi Strauss (3) cara mengetahui samada saya telah dijangkiti hiv? (1) CD4 (6) CMIA principle test (2) dairy kehidupan (342) delima (pomegranate) (2) derma darah (4) diabetes (3) Efavirenz (3) fakta (10) fidyah (1) filem (17) gonorea (3) HAART (27) habbatus sauda (nigella sativa) (1) harga ubatan (6) hari aids sedunia (12) hepatitis (3) herpes (9) herpes zoster (1) hiv bukan hukuman mati (1) hiv bukan penyebab aids (1) hiv kaitan dengan antidepresan dan penggunaan dadah (1) hiv kaitan dengan hipertensi dan osteoporosis (1) hiv kaitan dengan jantung dan diabetes (2) hiv kaitan dengan kanser dan ginjal (1) hiv kaitan dengan kemerosotan otak dan lemak (1) hiv kaitan dengan makanan dan supplemen (2) hiv kaitan dengan rokok dan alkohol (2) hiv test kit (8) homosekual (7) hukuman jenayah seksual luar tabii (2) icon (11) insurans/pinjaman peribadi plhiv (3) istilah yang perlu dielakkan (1) jangkitan dan simptom hiv (6) jangkitan hiv kali ke dua (2) jangkitan opportunistik (JO) (2) kaitan tidur dan hiv (1) kandida/fungus (1) kanser (12) kanser hidung (3) kanser payu dara lelaki (3) kaposi sarcoma (1) kaunseling telefon nombor (4) kelenjar tiroid (1) kesan sampingan (8) kesihatan (11) ketuat genital (4) keyakinan kemurungan kebimbangan terhadap hiv (20) khatan (7) kondom (3) lebah dan hiv/aids (3) lesbian (9) LGBT (31) lipoatrophy (5) liwat (15) luar negara (57) madu (1) majlis AIDS malaysia (MAC) (1) maklumat hiv/aids (158) mengapa perlu lakukan ujian hiv awal? (2) methadone maintenance therapy (MMT) (1) MFZ (3) minda jasmani rohani (1) mitos hiv (5) mulut dan gigi (1) MylifeMystoryPT (6) NAJMI (58) najmi jumpa doktor (10) nelayan dan hiv (1) nukilan (1) nyamuk (3) onani (2) organ hati/hepatoksisiti (1) p t foundition (2) panduan/petua (47) peenyembuhan penyakit hiv/aids (1) pemakanan (1) penagih dadah (13) penawar HIV/AIDS?? (2) pengenalan hiv/aids (1) penuaan (1) penyakit kelamin (30) pep - post exposure prophylaxis (2) peria katak (1) perkahwinan (70) photo (11) PLHIV (175) pneumonia (1) positif thinking (1) prosedur melangkah jalani ujian hiv (3) puasa (17) rawatan (8) rawatan dan sokongan bantuan (1) rawatan peringkat ke 2 (2) red ribbon (1) remaja bawah umur dan hiv (6) rencana/artikel (58) risalah (12) rogol (9) rumah perlindungan hiv (23) rumah wahidayah (9) RVD (RetroViral Disease) (1) sajak (1) sauna (2) saya positif (9) sejarah hiv/aids (5) seks dan hubungan (28) selebriti (13) sembuh cara islam (2) senaman (2) siapa hendak diberitahu? (3) sifilis (4) skim PAL (2) SLE (Systemic Lupus Erythematosus) (1) SLN30 (1) soaljawab (90) solat (2) songsang (286) spirulina (1) stavudine (1) stigma/diskriminasi (27) stress (3) sub-jenis jenis golongan dan jenis hiv (1) tatoo dan tindik (1) TB tuberculosis (4) TENVIR EM dan STOCRIN (2) top vs bottom (1) travel dan plhiv (9) truvada pil pencegah hiv (1) ubat generik (2) ujian air kencing (2) ujian hiv imun cd4 dan viral load (2) ujian saringan hiv (15) umrah dan haji (4) urusan jenazah (6) video (83) viral load (5) wanita (119) window period 14 days (3) zakat (1) zali dan lisa (4) zoophilia (1)

RECENT POST