Tuesday, 25 June 2013

(2) SOAL JAWAB - SONGSANG

Oleh
Ustaz Mohd Hanafiah Abdul Malek




Bacaan surah Al-Qadr, ayat 1-5 yang bermaksud:




Ayat ini elok diamalkan untuk melindungi anak daripada gejala songsang, murtad dan yang sewaktu dengannya. Kenapa ayat ini? Ayat ini boleh membawa rahmat kepada orang yang diniatkan. Jadi ibu bapa baca dan hadiahkan pahalanya kepada anak-anak. Biasanya para ulama membaca surah ini pada rakaat kedua solat Isyak. Jadi, jika anak kita berperangai pelik-pelik, bacalah 3x dan tiup pada ubun-ubun anak-anak atau tiup pada bajunya jika dia suka keluar malam.

Sambungan perbincangan tentang songsang. Masalah ini semakin ketara di Malaysia dan ada pula golongan yang memperjuangkan hak golongan ini. Jadi kita wujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Tuntutlah ilmu kerana Allah kerana akan datang bantuan Allah untuk memahamkan kepada agama. Jika ada golongan LGBT yang menonton, saya menyeru berubahlah. Memang sukar untuk berubah tetapi ianya tidaklah mustahil. Saya teringat satu kisah tentang seorang alim sedang berjalan dan kemudian datang seorang pencuri di belakangnya. Pencuri itu menghulurkan tangan untuk bersalam dengannya namun orang alim itu enggan dan melarikan diri. Lalu pencuri itu cuba mengejar. 

Tiba-tiba turun satu ayat yang menyatakan bahawa amalan kedua-dua mereka pada hari itu telah dihapuskan. Jadi orang alim telah hilang amalan baiknya, dan pencuri telah dipadam amalan buruknya. Inilah pengajaran bagi kita agar tidak memandang hina kepada orang lain. Oleh kerana jiwanya yang masih belum bersih, Allah hapuskan amalan baiknya. Manakala orang yang ingin berubah pula, InsyaAllah akan mendapat bantuan Allah.

Untuk berubah perlu amalkan 5H:
  1. Kena ada HATI yang kuat. Berubahlah kerana Allah, bukan kerana manusia. Jika berubah kerana Allah, pasti bantuan Allah akan tiba dan Allah akan memudahkan jalan untuknya.
  2. HAMPIRI orang-orang yang berjaya, yang alim, yang faham agama. Jika seorang berilmu mencemuh anda, jangan berputus asa dan carilah orang alim lain. InsyaAllah akan ada orang alim yang sanggup membimbing anda. Ingatlah kisah seorang yang telah membunuh 99 orang dan ingin berubah. Dia bertemu dengan seorang alim, tetapi orang alim itu mengatakan yang dosanya terlalu banyak lalu dia pun membunuh orang alim itu dan menjadikan jumlah orang yang dibunuhnya ialah 100 orang. Kemudian dia bertemu seorang alim lagi, tetapi orang alim ini menyatakan yang dia masih boleh bertaubat dan Allah itu Maha Pengampun, tetapi dia perlu berpindah ke kawasan lain yang lebih baik untuknya. Dia meninggal dalam perjalanan bertaubat kepada Allah dan akhirnya dimasukkan ke dalam syurga. Jadi orang alim perlulah berhikmah dalam berdakwah. Carilah orang sebegini dan belajarlah cara solat, cara bertaubat daripada mereka.
  3. HINDARI kawan-kawan lama yang mendorong kepada perbuatan ini atau yang mengetahui perlakuan kita. Pindah ke tempat lain, tukar tempat kerja. Kita ini manusia yang lemah, jadi keraplah mohon keampunan daripada Allah. Nabi SAW sendiri memohon keampunan kepada Allah
  4. Kena ada HAJAT untuk berubah dan berbuat kebaikan. Sibukkan diri dengan amalan kebajikan. Sebagai contoh, ada seorang yang saya kenal telah berubah dan membuka rumah anak yatim di Indonesia. Jadi dengan melakukan kerja amal, InsyaAllah imannya akan terpelihara.
  5. HIJRAH agar datang bantuan Allah. Selangkah kita menuju Allah, seribu langkah Allah menghampiri kita. Jika kita berjalan menuju Allah, Allah akan berlari mendatangi kita. Inilah perumpamaan sebagai motivatisi kepada mereka yang ingin berubah. Kuatkan hati dalam beristiqmah dan berubahlah kerana Allah.
Saya juga ingin berpesan kepada masyarakat pula jangan cepat menghukum orang. Jangan cepat mencemuh atau mengata orang. Jaga mulut dan jaga hati kita. Kita boleh benci pada perbuatan mungkar tetapi bukan pada orangnya. Doakan mereka yang berbuat maksiat agar mereka boleh berubah.

Saya nak ajar teknik berdoa bagi mereka yang mempunyai keluarga yang terlibat dengan masalah ini: Banyakkan berzikir 'Alhamdulillah, Ya Allah. Alhamdulillah, Ya Rahman. Alhamdulillah, Ya Rahim'. Jika kita ada banyak masalah, sebut 'Alhamdulillah' berulang kali. Sebut “Terima kasih Ya Allah atas ujian ini.” 

Banyakkan juga selawat, kerana Allah akan menggandakan selawat pada kita. Jika Allah sudah selawat pada kita, tentulah kita takkan kecewa pada hari itu. Bacalah juga 'La ila ha ila anta. Subhanaka inna kuntuminazzolimin'. 

Soalan & Jawapan:

S: Sebagai ibu bapa, bagaimana untuk memastikan anak tidak terlibat dengan budaya ini?
J: Boleh gunakan konsep 7P yang pernah saya ajar sebelum ini. Tetapi yang saya nak tekankan di sini ialah Perhatian & Periksa. Kita perlu perhatikan anak kita betul-betul. Jika anak lelaki terlebih 'lembut', ajar dia main permainan lasak-lasak sikit. Biarlah calar kulitnya di sana-sini. 

Jika anak perempuan terlebih kasar pula, ajar dia kerja-kerja seni seperti menjahit. Menjahit boleh mendidik dan melembutkan jiwa. Jika anak lelaki berkulit agak putih, suruh dia berjemur lebih sedikit. Daripada pemerhatian saya, anak lelaki yang lembut datang daripada keluarga yang ayahnya tentera. Saya pun tak tahu mengapa. Jadi mak ayah kena kreatif dan gunakan cara berhikmah untuk membentuk peribadi anak sesuai dengan jantina mereka. 

Ada satu kes, isterinya guru, mereka mendapat anak setelah 10 tahun berkahwin kerana suaminya 'gay'. Suaminya gay kerana diliwat semenjak kecil oleh pakciknya. Setelah pakciknya meninggala barulah dia berhenti. Kemudian apabila isterinya mula membawa anak murid ke rumah untuk kelas tuisyen, suaminya mula meliwat anak murid isterinya pula. Isterinya datang berjumpa dan saya minta beliau mengamalkan surah Al-Qadr. Kenapa? Kerana nafsu syaitan ini datang pada waktu malam. 

Kebiasaannya orang begini suka mandi malam dan malas mandi pagi. Alhamdulillah, setelah mengamalkan surah ini, suaminya telah berubah dan datang berjumpa saya. Suaminya juga tidak lagi suka bercakap bohong. Pada bulan Ramadhan yang lepas, suaminya telah bertemu dengan malam Laitul-Qadr. Dan baru-baru ini dia telah mengerjakan umrah.

S: Kadang-kadang anak baik ketika kecil dan di bangku sekolah, namun berubah setelah melangkah masuk ke IPT?
J: Mungkin undang-undang universiti longgar dan pihak universiti gagal menerangkan kesalahan perlakuan ini di sisi agama dan undang-undang Malaysia. Jadi pada pendapat saya mungkin ada keperluan mewujudkan silibus yang menerangkan tentang undang-undang Malaysia, contohnya hukuman kesalahan mencuri, berpakaian seperti jantina lain, kesalahan melakukan liwat, rogol dan sebagainya. 

Mungkin dengan pendidikan ringkas tentang undang-undang, pelajar lebih berwaspada dan takut dihukum. Ibu bapa perlu terus-menerus mengingatkan anak-anak, jangan lepas tangan soal pendidikan anak setelah dihantar ke IPT. Ajar anak agar takut pada Allah, didik mereka tentang dosa pahala, syurga dan neraka. Ajar anak-anak berucap agar mereka boleh bertindak sebagai pendakwah di kalangan rakan-rakan. Dorong mereka supaya terlibat dengan aktiviti positif agar masa mereka dipenuhi dengan aktiviti yang sihat.

S: Bagaimana cara terbaik untuk berdakwah kepada golongan ini?
J: Daripada perbincangan dengan pihak Jabatan Islam Negeri dan JAKIM, kesimpulan yang kami dapat ialah – para ustaz perlu turun padang. Kita perlu pergi ke lorong-lorong untuk bertemu dan memujuk mereka. Saya buat tazkirah untuk mereka dan ramai yang datang. Kita niatkan begini untuk gembirakan Allah, bukan untuk merubah mereka, kerana bila Allah suka, Allah akan turunkan rahmat dan semoga dengan rahmat itu hidayah akan turun. 

Dakwah perlu dilakukan dengan berhikmah dan lemah-lembut. Aisyah, apabila ditanya apa itu Islam, dia menunjuk kepada Rasulullah SAW. Ini kerana perwatakan baginda menggambarkan Islam. Tetapi hari ini sukar untuk mencari contoh sebegini. Jadi untuk berdakwah, kita kena tunjuk teladan yang baik. Teknik nak mula dakwah – senyum, salam dan sentuh (antara sama jantina). 

Beri pujian dahulu sebelum menegur. Sekarang, kesan dakwah bersama Jakim, golongan ini tidak lagi 'berniaga' pada malam Jumaat, sebaliknya mereka berkumpul dan membaca Yaasin beramai-ramai. Mungkin mereka terdesak kerana desakan ekonomi, dan tidak mendapat bantuan sehingga perlu meneruskan 'kegiatan' mereka. Jadi kita kena turut membantu dan doakan mereka. InsyaAllah sudah ramai yang berubah.

S: Bagaimana untuk melindungi diri daripada digoda golongan ini?
J: Pengalaman saya, ketika di asrama, ada seorang pelajar lelaki yang begitu elok rupanya, dan halus kulitnya. Dia diminati oleh 'senior' dan cuba diajak melakukan liwat. Tetapi dia takut Allah dan dia mula buang najis dalam seluar, Dia membiarkan tidak dicuci sehingga akhirnya punggungnya berkayap. Dia memang berasa sakit tetapi katanya dia lebih takut pada Allah.

Ada juga satu kisah yang pernah berlaku di Baghdad, ada seorang janda yang cantik dan diminati ramai orang. Ada pula seorang Tukang Kayu yang mempuntai wajah yang tampan dan badan yang sasa. Dia bekerja menghantar kayu api dari rumah ke rumah. Suatu hari janda itu meminta tukang kayu itu membawa kayu ke rumahnya. Setibanya lelaki itu, janda itu menutup pintu dan membuka pakaian lalu memeluk lelaki tersebut. Janda itu mengugut yang dia akan menjerit dan menuduh lelaki itu merogolnya. 

Hukuman rogol pada ketika itu ialah pancung kepada. Lelaki itu pun ketakutan kerana dia tidak mahu melakukan zina. Lalu dia meminta izin untuk mandi dan bersiap terlebih dahulu. Janda itu bersetuju. Sebelum keluar tandas, lelaki itu melumurkan seluruh badannya dengan najis dan cuba memeluk janda tersebut. Janda itu jadi terkejut dan tidak tahan dengan bau lalu menolak lelaki tersebut. 

Jadi terselamatlah lelaki itu daripada melakukan zina. Dia pulang dan bersujud syukur pada malam itu. Memanglah najis itu menjijikan, tetapi dosa berzina atau berliwat lebih jijik daripada itu.

S: Apakah respon yang ustaz terima ketika berdakwah dengan golongan ini?
J: Saya kongsikan satu kisah lesbian, dia seorang wanita yang kematian suami. Seorang eksekutif yang bergaji lebih 40 ribu sebulan. Dia biasanya menaja pelajar baru ke universiti dan menumpangkan mereka di rumahnya sebelum mengambil mereka sebagai pasangannya. Dia telah melakukannya selama lebih 7 tahun. Anaknya begitu tertekan kerana perbuatan ibu ini dan ibu ingatkan yang anaknya kerasukan makhluk halus dan memanggil saya. 

Lalu saya memberitahu yang si ibu yang perlu diubati, dan bukan anaknya. Mulanya dia marah, tapi saya bacakan beberapa ayat selama dua jam dan kemudian dia mula bercerita. Alhamduliilah setelah diajar, dia mengamalkan surah Al-Qadr, dan selepas 2 bulan, dia mula berubah dan juga sudah mengerjakan umrah.

Kisah gay pula banyak melibatkan golongan profesional. Mereka ini agak mudah dibantu dengan syarat kita kena kembalikan rasa rindu dan cinta mereka kepada Allah, pencipta rasa cinta dan rindu yang sebenar, dan bukan kepada pasangan mereka. Jika kita dapat fahamkan mereka tentang ini, InsyaAllah mereka akan mudah berubah.

Golongan biseksual agak sukar didekati kerana mereka berasa bangga dan biadap dengan dosa yang dilakukan. Kebanyakan mereka merupakan pernah melanjutkan pelajaran ke luar negara. Kaedah yang digunakan adalah dengan membawa mereka berjumpa pesakit aids. InsyaAllah mereka akan lembut hati untuk berubah.

Golongan transseksual pula didekati dengan cara turun ke padang. Kami pergi ke lorong-lorong untuk cuba memahami mereka dan berdakwah kepada mereka. Ramai juga yang terlibat dengan program anjuran Jakim iaitu Muqayyam. Ramai antara mereka sudah jaga solat 5 waktu dan berjinak-jinak untuk mengikut solat Jumaat. Mereka ini sudah buat pembedahan dan mempunyai bentuk badan seorang wanita. Jadi mereka pun serba salah untuk memakai baju lelaki dan solat bersama jemaah lelaki. Tetapi mereka cekalkan dan pergi juga ke masjid. 

Oleh itu, sebagai masyarakat yang prihatin, kita jangan pula mencemuh jika meilhat mereka. Berilah sokongan atas kecekalan hati mereka dan bantulah mereka kembali ke pangkal jalan. Alhamdulillah pihak Majlis Aids Malaysia juga sangat banyak membantu Jakim dari segi dana dan penglibatan mereka bersama dalam program-program dakwah yang dianjurkan. 

Jadi yang penting perlu berdakwah dengan hikmah iaitu dengan lemah-lembut dan mesra. Nabi SAW tidak mengajar kita tentang hukum sahaja, tetapi Nabi SAW menunjukkan contoh akhlak yang terbaik.

S: Sekiranya golongan yang terlibat dengan aktiviti songsang ini ingin berubah dan mendapatkan bantuan, siapakah yang boleh dihubungi?
J: Pertama, boleh hubungi JAKIM di unit Keluarga, Sosial dan Komuniti. Alamatnya seperti berikut:
Aras 1, Blok D7, Parcel D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Wilayah Persekutuan Putrajaya
No Tel : 03-8886 4000
No. Fax : 03-8889 1997
(PIC: Ustaz Zakuan)

Majlis Aids Malaysia juga banyak membantu, jadi boleh juga menghubungi mereka, walaupun masih belum terkena AIDS. Alamatnya seperti berikut:
The Malaysian AIDS Council
No 12, Jln 13/48A
The Boulevard Shop Office
Off Jalan Sentul
51000 Kuala Lumpur
MALAYSIA
Phone – (603) 4045-1033

Fax – (603) 4042-6133

http://www.mac.org.my

Biarpun program-program ini nampak seperti moden, tetapi ada penerapan nilai-nilai Islam di dalamnya. Pada saya tidak penting siapa mereka, tetapi yang penting ialah kalam akhir kita. “Barang siapa di akhir kalam mengucap La ila ha illallah, dia akan terus ke syurga Allah”. Kita yang berada di sini pun belum pasti lagi semuanya. 

Ada seorang penghuni rumah pemulihan saya, terjebak menjadi mak nyah semenjak berumur 12 tahun. Alhamdulillah dia telah berubah tetapi dia diserang penyakit misteri dan dia meninggal ketika solat subuh. Alhamdulillah kalam terakhirnya ialah 'La ila ha illalah'. Kita jangan menghukum orang, hanya Allah yang boleh menghukum. Jangan jadi penghukum, jadilah pendakwah. Paling kurang, berdoalah agar Allah selamatkan anak-cucu kita daripada masalah ini.

S: Adakah mereka yang melakukan perbuatan ini dianggap terkeluar daripada Islam?
J: Betul, ramai yang bertanyakan saya soalan ini. Ada satu hadis menyebut yang Nabi SAW tidak mengaku mereka yang melakukan perbuatan ini sebagai umatnya. Tetapi Allah juga telah jelas berfirman yang Allah ialah Tuhan Maha Pengampun, dan jika mereka bertaubat, dan Allah menerimanya, tiada siapa dapat menghalangnya. Mudah-mudahan Allah terima taubat kita semua. Kita hanya boleh menghukum seseorang itu murtad jika ianya sudah jelas. Tetapi selagi belum jelas, janganlah kita berburuk sangka. 

Saya jumpa ada kes yang mereka mengaku keluar Islam kerana sikap orang Islam yang menghukum mereka. Alhamdulillah selepas kami dakwah balik selama 4 hari dalam program Muqayyan Pantai Timur, mereka kembali semula kepada Islam. Inilah keindahan dan kemanisan dakwah. Selagi kita belum berjumpa teruskanlah kerja berdakwah, kerana kemanisan ini menjadikan kita rasa seronok dan bersemangat untuk terus menyampaikan kalam Allah dan pesanan Rasulullah SAW.

S: Apa ucapan terakhir ustaz kepada para penonton?
J: Peserta Muqayyam anjuran MAIS dan Jakim, merupakan mereka yang telibat dengan gejala ini dan peminat dan penonton setia rancangan Tanyalah Ustaz. Mereka malu untuk ke masjid kerana tidak tahan cemuhan masyarakat. Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada mereka, dan saya doakan mereka istiqamah dalam mencari ilmu. Amalkan kaedah 5H yang diterangkan di atas untuk berubah.


Sumber Disini


Bahagian satu klik di SONGSANG - SOAL JAWAB (1)






4 comments:

  1. Salam najmi, tq share this yer, sgt2 bermanafaat utk semua & take care juga yer

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kesuma Angsana

      Saya percaya tak semua orang ada baca apa yang kita baca, dan pasti ramai pembaca blog ni tak pernah baca soaljawab ustaz Mohd Hanafiah diatas, dengan share soaljawab tersebut semoga akan memberi manafaan pengetahuan kepada kita semua......kan..

      Take care pada Kesuma Angsana dan famili jugak...:)

      Delete
  2. Suka baca blog Najmi, ada banyak info yang mampu menjawab persoalan yang saya selalu nak tahu. May Allah always be with you Najmi.

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah, sangat bermanfaat. Terima kasih Naj Mi. Saya akan mula mengamalkan ayat yg dicadangkan oleh ustaz itu

    ReplyDelete

LABELS

10 sepuluh (28) 4 peringkat hiv sebelum menjadi aids (1) 5 lima (11) adik MS (4) aids kaitan dengan penyakit kulit (1) aku plhiv redha (1) amenia dan hiv (1) apa itu hiv apa itu aids (1) aplikasi (4) asas tentang hiv/aids (6) baby free hiv (10) bacha bazi (1) bagaimana hiv berjangkit? (3) bagaimana hiv tidak berjangkit? (2) barah otak (1) baru diagnosis hiv (13) basikal (2) bengkak puting tetek (3) berapa lama kuman hiv bertahan diluar badan (1) berbekam (1) berita hiv/aids (112) bisekual (21) buku dan majalah (16) buku informasi hiv/aids (3) buku kehidupan yang positif (10) buku nota hiv/aids (4) buku panduan HIV Levi Strauss (3) cara mengetahui samada saya telah dijangkiti hiv? (1) CD4 (6) CMIA principle test (2) dairy kehidupan (342) delima (pomegranate) (2) derma darah (4) diabetes (3) Efavirenz (3) fakta (10) fidyah (1) filem (17) gonorea (3) HAART (27) habbatus sauda (nigella sativa) (1) harga ubatan (6) hari aids sedunia (12) hepatitis (3) herpes (9) herpes zoster (1) hiv bukan hukuman mati (1) hiv bukan penyebab aids (1) hiv kaitan dengan antidepresan dan penggunaan dadah (1) hiv kaitan dengan hipertensi dan osteoporosis (1) hiv kaitan dengan jantung dan diabetes (2) hiv kaitan dengan kanser dan ginjal (1) hiv kaitan dengan kemerosotan otak dan lemak (1) hiv kaitan dengan makanan dan supplemen (2) hiv kaitan dengan rokok dan alkohol (2) hiv test kit (8) homosekual (7) hukuman jenayah seksual luar tabii (2) icon (11) insurans/pinjaman peribadi plhiv (3) istilah yang perlu dielakkan (1) jangkitan dan simptom hiv (6) jangkitan hiv kali ke dua (2) jangkitan opportunistik (JO) (2) kaitan tidur dan hiv (1) kandida/fungus (1) kanser (12) kanser hidung (3) kanser payu dara lelaki (3) kaposi sarcoma (1) kaunseling telefon nombor (4) kelenjar tiroid (1) kesan sampingan (8) kesihatan (11) ketuat genital (4) keyakinan kemurungan kebimbangan terhadap hiv (20) khatan (7) kondom (3) lebah dan hiv/aids (3) lesbian (9) LGBT (31) lipoatrophy (5) liwat (14) luar negara (57) madu (1) majlis AIDS malaysia (MAC) (1) maklumat hiv/aids (158) mengapa perlu lakukan ujian hiv awal? (2) methadone maintenance therapy (MMT) (1) MFZ (3) minda jasmani rohani (1) mitos hiv (5) mulut dan gigi (1) MylifeMystoryPT (6) NAJMI (56) najmi jumpa doktor (9) nelayan dan hiv (1) nukilan (1) nyamuk (3) onani (2) organ hati/hepatoksisiti (1) p t foundition (2) panduan/petua (47) peenyembuhan penyakit hiv/aids (1) pemakanan (1) penagih dadah (13) penawar HIV/AIDS?? (2) pengenalan hiv/aids (1) penuaan (1) penyakit kelamin (30) pep - post exposure prophylaxis (2) peria katak (1) perkahwinan (70) photo (11) PLHIV (175) pneumonia (1) positif thinking (1) prosedur melangkah jalani ujian hiv (3) puasa (17) rawatan (8) rawatan dan sokongan bantuan (1) rawatan peringkat ke 2 (2) red ribbon (1) remaja bawah umur dan hiv (6) rencana/artikel (58) risalah (12) rogol (9) rumah perlindungan hiv (23) rumah wahidayah (9) RVD (RetroViral Disease) (1) sajak (1) sauna (2) saya positif (9) sejarah hiv/aids (5) seks dan hubungan (28) selebriti (13) sembuh cara islam (2) senaman (2) siapa hendak diberitahu? (3) sifilis (4) skim PAL (2) SLE (Systemic Lupus Erythematosus) (1) SLN30 (1) soaljawab (89) solat (2) songsang (286) spirulina (1) stavudine (1) stigma/diskriminasi (27) stress (3) sub-jenis jenis golongan dan jenis hiv (1) tatoo dan tindik (1) TB tuberculosis (4) TENVIR EM dan STOCRIN (2) top vs bottom (1) travel dan plhiv (9) truvada pil pencegah hiv (1) ubat generik (2) ujian air kencing (2) ujian hiv imun cd4 dan viral load (2) ujian saringan hiv (15) umrah dan haji (4) urusan jenazah (6) video (83) viral load (5) wanita (119) window period 14 days (3) zakat (1) zali dan lisa (4) zoophilia (1)

RECENT POST