Followers

Saturday, 8 December 2012

INFO TENTANG PENYAKIT HIV/AIDS


Apa itu HIV (Human Immunodeficiency Virus) ?

HIV adalah virus yang memusnahkan sistem ketahanan badan seseorang dan menyebabkan AIDS. 

Terdapat 2 jenis virus HIV iaitu HIV-1 dan HIV-2. HIV-1 merupakan jangkitan yang sangat berbahaya kepada orang ramai manakala HIV-2 pula tidak begitu berbahaya. HIV menyerang Sistem daya tahan badan, menyebabkan badan lemah dan tidak berupaya melawan jangkitan penyakit. Jika seseorang disahkan dijangkiti HIV, orang itu dipanggil positif HIV tetapi tidak semestinya dia menghadapi AIDS kerana AIDS adalah peringkat terakhir jangkitan HIV.


Sistem daya tahan badan adalah mekanisma badan yang terdiri daripada sel darah putih. Dalam keadaan normal, sel-sel ini membantu tubuh melawan jangkitan kuman dan penyakit yang disebabkan oleh virus dan bakteria. 

Apabila HIV telah menyerang badan seseorang, sel-sel ini tidak lagi mampu melaksanakan tanggungjawab mereka kerana telah dimusnahkan secara perlahan-lahan oleh HIV. Ini bermaksud bahawa HIV akan turut memusnahkan keupayaan tubuh badan untuk melawan penyakit.



Apa itu AIDS (Acquired Immune Deficiency Syndrome – Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit) ?


AIDS bukanlah satu penyakit yang tersendiri. AIDS merujuk kepada kumpulan penyakit-penyakit yang dihidapi oleh orang-orang yang positif HIV. Dengan lumpuhnya keupayaan tubuh, mereka yang dijangkiti HIV lebih mudah terdedah kepada pelbagai jenis kuman termasuklah yang tidak membahayakan manusia normal. 

Di antara penyakit-penyakit ini termasuklah jangkitan-jangkitan oportunistik (iaitu yang mengambil kesempatan) seperti radang paru-paru, batuk kering, thrush (selaput putih pada lidah dan dalam mulut), beberapa jenis barah dan beberapa jenis penyakit kulit seperti kayap.


AIDS merupakan peringkat lanjutan bagi jangkitan HIV. Perkembangan penyakit ini melalui beberapa fasa:

  • Fasa 1: Bermula dengan HIV menjangkiti seseorang individu.
  • Fasa 2: Di mana virus tersebut membiak tetapi pesakit masih tidak mempamerkan sebarang tanda-tanda atau gejala-gejala yang tertentu.
  • Fasa 3: Membiak dan berkembang membawa kepada kewujudan beberapa tanda dan gejala yang memburukkan lagi mekanisme pertahanan tubuh.
  • Fasa 4: Pesakit mula mengalami penyakit-penyakit yang jarang berlaku yang digelar ‘infeksi oportunistik’ seperti Pneumocystis Carinii Pneumonia dan kanser termasuk Sarkoma Kaposi.
  • Fasa 5: Pesakit tersebut disahkan sebagai pesakit AIDS. Di dalam fasa ini, mekanisme pertahanan mengalami kemusnahan yang teruk dan sudah tidak mampu lagi untuk melawan serangan bakteria, virus dan kuman-kuman lain.


Bagaimanakah HIV boleh dijangkiti?


HIV boleh dijangkiti melalui cara-cara berikut:

  • Melalui perhubungan seks tidak selamat dengan mereka yang positif HIV.
  • Hubungan seks anal, oral (mulut), dubur, faraj tanpa perlindungan dengan pasangan yang dijangkiti.
  • Hubungan seks di mana air mazi, air mani atau darah daripada mereka yang dijangkiti masuk ke dalam badan orang lain.
  • Hubungan seks tanpa menggunakan kondom lateks jika pasangan positif HIV.
  • Perlakuan seks seperti bersentuhan atau melancap dimana kedua-dua pihak mempunyai luka atau ruam pada kulit mereka dimana salah seorang adalah positif HIV.
  • Melakukan hubungan seks tidak selamat dengan pelacur atau pondan atau berbilang pasangan yang tidak diketahui status kesihatan mereka (berisiko).
  • Melalui perkongsian jarum atau bahan-bahan suntikan dengan orang yang dijangkiti.
  • Mempunyai pasangan yang mengambil dadah (berisiko).
  • Dari ibu ke anak semasa kehamilan, kelahiran atau menyusu badan jika si ibu adalah positif HIV.

Jika anda pernah melakukan salah satu daripada perkara-perkara di atas maka terdapat kemungkinan anda telah dijangkiti virus HIV. Jangan perkecilkan kemungkinan ini kerana virus HIV membiak dan memusnahkan sistem ketahanan badan secara senyap-senyap walaupun anda kelihatan sihat sahaja tanpa sebarang tanda atau simptom.


HIV hanya boleh dipindahkan apabila bendalir badan (darah termasuk darah haid, air mazi dan air mani) daripada individu yang telah dijangkiti memasuki tubuh individu yang belum dijangkiti. Darah atau cecair-cecair badan boleh memasuki salur darah orang lain melalui luka, kesan lecetan, kudis atau lain-lain cara. Mereka yang menjaga pesakit-pesakit AIDS dan yang memberi pertolongan cemas patut mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggunakan sarung tangan getah semasa melakukan tugas.


Seks selamat meminimumkan risiko jangkitan, tetapi tidak menghapuskan jangkitan sama sekali. Aktiviti seksual akan sentiasa mempunyai risiko terutama jika salah seorang pasangan adalah positif HIV. 

Seks selamat juga boleh mencegah jangkitan penyakit kelamin yang boleh meninggikan risiko jangkitan HIV. Penyakit-penyakit kelamin memudahkan HIV menjangkiti sel-sel badan.



Bagaimanakah HIV tidak boleh dijangkiti?

  • HIV tidak dapat hidup di luar tubuh manusia.
  • HIV tidak boleh berjangkit melalui air peluh, air kencing atau air mata.
  • HIV tidak boleh berjangkit menerusi kulit yang sihat ataupun melalui udara.
  • HIV tidak boleh hidup di luar badan manusia seperti di atas kulit atau pakaian, dalam air atau udara.
  • HIV tidak boleh dijangkiti melalui:
    • Pendermaan darah kerana peralatan yang digunakan untuk mengambil darah tersebut adalah disteril dan hanya digunakan sekali sahaja.
    • Proses pemindahan darah kerana pada masa sekarang, semua darah yang didermakan di Malaysia telah disaring untuk mengesan kehadiran antibodi HIV. Antibodi HIV adalah bahan yang dihasilkan oleh tubuh mereka yang dijangkiti sebagai tindak balas terhadap jangkitan virus HIV.
    • Berjabat tangan, berpelukan, bersentuhan, melancap dan berciuman ringan.
    • Berkongsi telefon, kolam renang dan tandas awam.
    • Berkongsi makanan.
    • Menggunakan pinggan, sudu dan gelas yang digunakan oleh pesakit HIV kerana virus HIV tidak boleh hidup lama di luar tubuh manusia. Peralatan tersebut apabila dibasuh seperti biasa akan membunuh virus HIV.
    • Berkongsi tempat tinggal, bekerja bersama, belajar bersama atau berkongsi tempat tidur.
    • Bersin, batuk, air peluh atau air kencing.
    • Gigitan serangga (termasuk gigitan nyamuk) atau binatang.
    • Menjaga seseorang yang positif HIV.


Apakah tanda-tanda atau simptom-simptom jangkitan HIV?


Permulaan jangkitan HIV biasanya tidak menunjukkan sebarang tanda. Sebilangan pesakit mengalami gejala-gejala berikut dalam masa 2-6 minggu selepas dijangkiti HIV seperti demam, selesema, sakit tekak, batuk, sakit otot, sakit kepala, cirit-birit, bengkak kelenjar limfa, letih, ruam, sakit sendi atau turun berat badan tetapi ini berlainan dari seseorang ke seseorang yang lain. 

Tanda-tanda awal ini boleh sembuh dalam beberapa hari. Penyakit-penyakit ringan seperti ini juga mungkin bukan disebabkan HIV tetapi akibat jangkitan virus yang lain. Oleh kerana tanda-tanda ini boleh sembuh seperti biasa, is sering disangka sakit biasa.


Ada juga kesan yang dipanggil asymptomatic, iaitu tidak menunjukkan apa-apa tanda sama sekali, yang mungkin mengambil masa beberapa tahun tanpa diketahui sehinggalah sistem daya tahan badannya menjadi lemah dan orang tersebut jatuh sakit disebabkan jangkitan penyakit yang berulang-kali. 

Keadaan ini amat merbahaya kerana dalam jangka waktu tersebut seseorang yang positif HIV mungkin akan memindahkan virus yang terselindung ini kepada orang lain tanpa disedarinya. Jadi satu-satunya cara untuk mendapat kepastian adalah dengan menjalani Ujian Antibodi HIV terutamanya jika anda rasa anda telah melakukan aktiviti yang berisiko.


Jangan terlalu yakin jika anda berasa sihat. Jangkitan HIV tidak menunjukkan tanda sehingga sistem daya tahan badan anda mulai menjadi lemah. Anda bernasib baik jika ia tiada dalam tubuh anda. Tapi mungkin juga virus itu sedang membiak dan memusnahkan sistem daya tahan badan anda sedikit demi sedikit. Anda mungkin tidak merasakannya, sehingga hampir keseluruhan sistem daya tahan badan anda dimusnahkan. Dan dalam pada anda tidak menyedari kehadiran HIV itu anda mungkin telah menjangkiti orang lain.


Pengesahan segera memungkinkan rawatan segera jika anda disahkan positif HIV. Sebaliknya, alangkah leganya jika anda disahkan tidak menghidapinya.



Bagaimanakah caranya untuk mengetahui samada saya telah dijangkiti?

  • Satu-satunya cara untuk mengetahui samada anda telah dijangkiti virus HIV adalah dengan menjalani Ujian Antibodi HIV.

Bagaimanakah caranya untuk mengetahui samada saya telah dijangkiti?

  • Satu-satunya cara untuk mengetahui samada anda telah dijangkiti virus HIV adalah dengan menjalani Ujian Antibodi HIV.


Ujian Antibodi HIV


Ujian Antibodi HIV ialah ujian darah bagi mengesan kehadiran antibodi HIV dalam tubuh. Antibodi ialah sejenis protin yang dihasilkan oleh tubuh badan bagi melawan anasir-anasir asing seperti kuman dan virus yang menyerang sistem badan. 

Terdapatnya antibodi HIV dalam darah menunjukkan jangkitan HIV telah berlaku. Bagaimanapun bagi jangkitan HIV, antibodi HIV yang dihasilkan ini hanya mampu melawan virus HIV ini di peringkat awal jangkitan. Bila virus HIV ini membiak dan menjadi semakin banyak, antibodi HIV ini menjadi semakin lemah dan tidak berupaya melawannya.


Mengikut cadangan doktor, ujian HIV ini perlu dijalankan setelah 3 bulan daripada tarikh kemungkinan terkena jangkitan, walaupun bagi sebahagian orang kewujudan antibodi HIV dalam darah dapat dikesan seawal 2 minggu atau secara puratanya 25 hari selepas jangkitan. Bagi sebahagian orang pula antibodi HIV hanya dapat dikesan dalam darah setelah 3 bulan. 

Jika keputusan ujian setelah 3 bulan itu adalah negatif maka anda perlu membuat satu ujian HIV lagi setelah 6 bulan daripada tarikh kemungkinan terkena jangkitan. Ini kerana tubuh mungkin mengambil masa selama enam bulan untuk mengeluarkan antibodi HIV secukupnya. Jadi 2 ujian setelah 3 bulan dan setelah 6 bulan mampu memberikan keputusan yang lebih meyakinkan.


Ujian pertama yang menunjukkan keputusan negatif iaitu setelah 3 bulan bermakna antibodi HIV tidak dikesan di dalam contoh darah yang diuji. Namun ini belum mengesahkan bahawa orang berkenaan bebas daripada HIV. 

Ini adalah kerana terdapat satu tempoh (yang dipanggil “window period”) dimana antibodi HIV tidak dapat dikesan didalam darah kerana badan belum menghasilkannya, walaupun telah terdapat virus HIV yang banyak dalam darah atau air mani. Waktu antara jangkitan dengan penghasilan antibodi HIV dipanggil “Window Period”. 

Jadi sepatutnya mereka yang dikesan negatif dalam ujian pertama, perlu menjalani ujian darah sekali lagi setelah 3 bulan lagi (iaitu setelah 6 bulan daripada tarikh kemungkinan terkena jangkitan) supaya status anda dapat ditentukan dengan lebih yakin.


Perlu diingatkan bahawa dalam jangkamasa enam bulan elakkan aktiviti-aktiviti berisiko tinggi agar ujian-ujian anda tidak sia-sia.


Keputusan yang positif bermaksud antibodi HIV telah dikesan dalam darah. Walau bagaimanapun, ini tidak semestinya bermakna orang itu akan jatuh sakit dalam masa yang singkat. Seseorang yang positif HIV perlu mendapatkan kaunseling dan rawatan yang sempurna untuk mengekalkan kesihatan dan memanjangkan hayatnya.



Mengapa perlu melakukan ujian HIV awal?


Pengesanan jangkitan HIV yang awal boleh menyebabkan anda mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk melambatkan penyebaran virus HIV dalam badan dan boleh melangsungkan hidup lebih lama. Malah anda boleh mengelak daripada memindahkan virus HIV kepada pasangan kesayangan anda dan orang lain.


Satu lagi sebab yang sangat penting ialah anda boleh menentukan sama ada selamat atau tidak untuk hamil.


Pilihan untuk menjalani Ujian Antibodi HIV terletak di tangan anda sendiri. Yang pasti, mengetahui keputusan ujian tak kiralah positif atau negatif akan lebih mententeramkan jiwa anda daripada terus gelisah tanpa mengetahui situasi yang sebenar.


Walaupun keputusan adalah positif, terdapat rawatan untuk melambatkan penyebaran virus HIV dalam badan dan anda boleh hidup lebih lama. Jadi ujian HIV awal sangat-sangat penting.



Penyembuhan penyakit HIV/AIDS


Masih tiada lagi ubat atau rawatan untuk menyembuhkan HIV/AIDS. Walaubagaimanapun terdapat ubat dan rawatan untuk melambatkan proses penyakit ini.


Info Rawatan:
Rawatan untuk HIV melibatkan pemusnahan kuman virus tersebut dan merawat simptom yang dialami oleh pesakit seperti ubat antiretrovirus yang menyerang dan memusnahkan retrovirus, termasuklah HIV.


Beberapa tahun kebelakangan ini, para penyelidik telah mencapai kemajuan besar dalam penghasilan pelbagai rawatan pilihan AIDS/HIV.


Sejak akhir tahun 1980-an, para profesional perubatan di Amerika Syarikat telah menggabungkan ubat antiretroviral ke dalam rejimen rawatan yang dipreskripsikan kepada pesakit yang dijangkiti.


Kombinasi tiga atau lebih ubat antiretroviral yang biasanya dipanggil ‘dadah koktel’ didapati berkesan dalam menurunkan paras jangkitan HIV dalam tubuh individu yang dijangkiti dengan cara memperlahankan perebakan HIV.


Lain-lain termasuklah perencat protease, Nucleoside Reverse Transcriptase Inhibitors (NRTI) dan Non-nucleoside Transcriptase Inhibitors (NNRTI) serta gabungan ubat-ubatan di atas.


Di samping terapi ubat-ubatan dan kaunseling, pemakanan yang sihat boleh menyumbang ke arah kehidupan yang lebih panjang dan sihat untuk pesakit AIDS.


Makanan berkhasiat membantu pesakit AIDS mengekalkan kesihatan mereka dengan memberikan perlindungan daripada komplikasi jangkitan berkaitan HIV.


Pengambilan makanan berkalori tinggi bersama protein dan karbohidrat yang cukup, boleh mempertahankan diri dari kekurangan zat makanan, malserapan nutrien, penurunan sistem imun dan susut badan.


Pemakanan yang baik akan membantu mengurangkan kesan buruk dadah dan juga meningkatkan kebolehan tubuh untuk menyerap ubat-ubatan tertentu.


Terdapat bukti yang kukuh mengenai senaman yang dapat memperbaiki mood dan kualiti hidup individu positif HIV – menjadikan mereka lebih kuat, meningkatkan daya ketahanan dan melindungi mereka daripada infeksi.


Pencegahan AIDS memerlukan disiplin dan kekuatan diri. Keperluan ini kadang-kadang sukar untuk dipenuhi tetapi ia berkesan dan mampu menyelamatkan nyawa.


Sumber : Disini


2 comments:

  1. kalau lebih 6 bulan hasilnya negatif,kiranya tiada sebarangan jangkitan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Anonymous,

      3 bulan selepas aktiviti berisiko keputusannya TEPAT, 6 bulan tu hanya nak menyedapkan hati kita sahaja. Tapi kalau ujian dilakukan selepas 6 bulan dr tarikh berisiko ianya ada sangat TEPAT (tapi dengan syarat dalam masa 3 bulan atau 6 bulan tersebut saudara tidak melakukan sebarang aktiviti berisiko)

      Wallahuallam

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RECENT POST