Followers

Thursday, 28 June 2012

"CLOROX" DIGUNA MANDI JENAZAH PEMBAWA HIV/AIDS

Selepas magrib tadi saya ke Hospital Besar kerana nak ambil ubatan HAART, oleh kerana ramai orang yang hendak mengambil ubat, saya terpaksalah menunggu lama disini, kerana bosan saya ke kedai penjual kacang putih, beli dua ringgit kacang putih saya kunyah kacang sambil berjalan dan membaca satu persatu poster-poster yang ditampalkan dimerata dinding bangunan sekitar hospital. Kemudian saya terfikir untuk bertanya kepada staff yang bekerja dirumah mayat berkenaan “clorox” yang digunakan keatas jenazah pengidap HIV/AIDS.

Rumah mayat Hospital Besar, cuba teka apa yang dalam punjut merah tu?

Sebagaimana kita semua sedia maklum dan setahu saya memang jenazah orang HIV/AIDS di siram dengan air "clorox" tetapi saya ke rumah mayat hanya sekadar hendak memastikan lagi adakah penggunaan clorox masih diamalkan. Saya tiba dipintu rumah mayat, tetapi tiada siapa yang saya nampak, kerana tiada siapa yang boleh saya tanya, saya kembali semula ke kaunter tempat mengambil ubat yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mayat tersebut. Saya fikir untuk datang kembali ke rumah mayat ini sekali lagi waktu siang hari untuk bertanya tentang persoalan tersebut, ya pada ketika waktu temujanji saya untuk diambil darah tidak beberapa lama lagi. Tak penting pun sangat fikir saya pada ketika itu.

Sunyi tiada siapa pada ketika ini.

Selesai mengambil ubat pada pukul 9.30 malam, saya begerak untuk pulang kerumah dan melalui jalan dibahagian belakang rumah mayat Hospital Besar. Memang sunyi sambil mengayuh basikal mulut saya membaca Al-Fatihah dengan niat untuk disedekahkan kepada para jenazah yang beragama Islam yang "maybe" berada didalam rumah mayat tersebut. Memang ini yang akan saya kerap lakukan setiap kali melintasi rumah mayat ini. Tiba-tiba saya terpandang kelibat seorang lelaki yang sedang bercakap melalui talipon di luar rumah mayat itu. Dia kelihatan seolah-olah seperti hendak pulang kerumah, kedengaran enjin motornya pun sudah dihidupkan. Saya terus berhenti diluar pagar dan masuk ke kawasan rumah mayat serta menegurnya sebaik sahaja ia selesai menalipon (mesti bininya marah kenapa balik lambat).

Saya : Assalamualaikum bang, abang kerja kat sini ker?

Staff Rumah Mayat : Haa…

Saya : Saya ni ada tulis blog, ada orang tanya ada ker jenazah orang HIV yang mati dimandikan dengan Clorox lagi?

Staff Rumah Mayat : Ha ah guna (kepalanya mengangguk) tapi bukan Clorox,…chemical macam Clorox, tapi bukan kat sini iaorang mandikan, nun kat wad sana.(sambil muncungnya disengetkan sedikit menunjukkan kearah bangunan Hospital)

Saya : Mandi kan kat wad??????

Staff Rumah Mayat : Ha ah lepas mandikan kat sana iaorang bungkus dengan plastic kemudian baru dibawa kesini (rumah mayat).

Saya : Tak mandikan kat sini? (saya tanya lagi nak dapatkan kepastian)

Staff Rumah Mayat : Terpulang kalau waris nak mandikan kat sini, sini ada ustaz yang tahu uruskannya, HIV kalau pegang berjangkit, kena pakai sarung tangan, topeng, baju (apron). Kalau yang mati H1N1 lagi teruk. Kenapa tak datang siang…. sini tutup pukul 9 malam, kalau tak boleh tanya orang yang bertugas tu. (sambil tangannya mengambil helmet motor dan disarungkan kekepalanya)

Saya : Saya ambik ubat tadi saja aje singgah nak tanya. Jadi iaorang mandikan kat wad dibungkus dengan plastik baru dibawa kesini ya (saya bertanya lagi)

Staff Rumah Mayat : Ha ah lepas rendam kat sana baru bawa kat sini.

Saya : Ohh… okey lah tak pa terima kasih ya…

Staff Rumah Mayat : Okey… (dicapainya motor dan terus berlalu pergi)

Itu dia perbualan ringkas yang saya cuba ingatkan kembali dengan seorang staff rumah mayat yang berlangsung kurang 5 minit, tujuan saya bertanya bukan hendak tahu proses mengendali jenazah dan sebagainya itu, tujuannya hanya untuk mendapat kepastian sama ada jenazah pengidap HIV/AIDS masih di siram dengan Clorox lagi atau tidak.

Jawabannya YA.




GARIS PANDUAN PENGURUSAN JENAZAH ORANG ISLAM PEMBAWA DAN PESAKIT AIDS
Oleh: Cawangan AIDS/STD, Jabatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia
Sumber : Dari Blog Aku Hiv Positif


PENGURUSAN JENAZAH ORANG ISLAM
Adalah menjadi tanggungjawab serta kewajipan ke atas orang-orang Islam yang hidup ke atas jenazah orang Islam sebagai fardhu kifayah menyelenggarakan empat perkara berikut iaitu:

·         Memandikan
·         Mengkafankan
·         Menyembahyangkan
·         Mengkebumikan

Pengurusan jenazah orang Islam yang mengidap penyakit berjangkit termasuk pembawa virus HIV dan AIDS wajib merangkumi empat perkara di atas dan ianya menjadi tanggungjawab bersama keluarga jenazah, Hospital / Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Agama Islam Negeri / Daerah.


PEMBERITAHUAN KEMATIAN PEMBAWA HIV DAN PESAKIT AIDS
 
KEMATIAN DI HOSPITAL
Setiap kematian pembawa HIV dan pesakit AIDS yang berlaku di hospital haruslah diberitahu dengan SEGERA melalui telefon kepada keluarga simati dan - notifikasi kematian kepada Pejabat Kesihatan Daerah. Sekiranya keluarga simati gagal dihubungi melalui telefon, bantuan pihak polis boleh diminta tetapi status HIV simati haruslah DIRAHSIAKAN.

KEMATIAN DI RUMAH
Bagi setiap kematian pembawa HIV dan pesakit AIDS yang berlaku di rumah, adalah menjadi kewajipan ahli keluarga simati untuk memberitahu Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat dengan SEGERA melalui telefon bagi tujuan penyeliaan pengurusan jenazah serta tindakan lain yang perlu diambil oleh Pejabat Kesihatan Daerah berkenaan.


AKTA PENCEGAHAN DAN KAWALAN PENYAKIT BERJANGKIT 1988
Mengikut seksyen 10 (1) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 – Adalah menjadi kesalahan ke atas setiap penghuni dewasa mana-mana rumah di mana terdapat penyakit berjangkit; atau orang yang menjaga; atau yang ada bersama dan mereka yang bukan pengamal perubatan menyelenggarakan sesiapa yang mengidap yang mati akibat penyakit berjangkit tanpa melaporkan kepada pegawai Kesihatan di kemudahan kesihatan atau balai polis atau ketua kampung yang terdekat dengan segera.

 
PENYELIAAN JENAZAH
Setelah notifikasi / pemberitahuan kepada Pejabat Kesihatan Daerah tentang kematian pembawa HIV dan pesakit AIDS dijalankan, penyeliaan berhubung pengurusan jenazah seperti memandi, mengkafan, menyembahyang dan mengebumikan serta pemindahan jenazah dipertanggungjawabkan kepada kakitangan kesihatan berikut iaitu (i) Inspektor Kesihatan ke atas jenazah lelaki, (ii) Jururawat Kesihatan ke atas jenazah perempuan

PERINGATAN
Kakitangan Kesihatan yang menyelia jenazah tidak dibenarkan memakai pakaian seragam dan menggunakan kenderaan kerajaan bagi menjaga reputasi simati serta kaum keluarganya.


PEMILIHAN PENGENDALI JENAZAH DI RUMAH
Bagi kematian pembawa HIV dan pesakit AIDS yang berlaku di rumah atau jenazah yang diselenggarakan di rumah setelah kematian berlaku di hospital, pemilihan pengendali jenazah perlu mengambilkira faktor-faktor berikut:

1) Pengendali jenazah dihadkan kepada bilangan yang sekecil mungkin, sebaik-baiknya tidak melebihi 4 orang.

2) Pengendali jenazah sebaik-baiknya dari kalangan keluarga atau mahramnya simati dan petugas / pegawai masjid yang terlatih dalam mengendalikan jenazah pembawa HIV dan pesakit AIDS.

3) Memastikan setiap pengendali jenazah tidak mengalami sebarang luka atau kudis di permukaan tubuh terutama di bahagian tangan.


PENGENDALI PERALATAN PENGENDALIAN JENAZAH DI HOSPITAL ATAU DI RUMAH
  
PERALATAN



NOTA 
1) Apron plastik, sarung tangan getah, kasut but getah dan "mask" disediakan berdasarkan jumlah pengendali jenazah yang terlibat.

2) Semua pengendali jenazah pembawa HIV dan pesakit AIDS perlu memakai dua lapisan sarung tangan.

3) Bancuhan kloroks: 1 botol kloroks dengan ukuran 1 liter dibancuh dengan 9 liter air biasa untuk menjadikan larutan kloroks dengan 1 : 10 (1 bahagian kloroks dibancuh dengan 9 bahagian air)


KEGUNAAN BALDI DAN BESIN
Baldi 3 buah
·          1 buah untuk merendam baju / pakaian simati yang telah dipakai
·          1 buah untuk bancuhan kloroks (1 : 10) bagi memandikan jenazah
·          1 buah untuk merendam perkakas / kapas yang telah digunakan

Besin 1 buah
·           Untuk merendam kapas yang belum digunakan ke dalam bancuhan 1 : 10


MANDI JENAZAH PEMBAWA HIV DAN PESAKIT AIDS
Bagi kematian pembawa HIV dan pesakit AIDS yang berlaku di hospital, pengurusan jenazah iaitu memandi dan mengkafankan sebaik-baiknya dilakukan di hospital sebelum dituntut oleh waris simati. Sekiranya waris simati memohon untuk menguruskan jenazah di rumah, pemindahan jenazah dari bilik mayat hospital ke rumah haruslah diawasi oleh kakitangan kesihatan dari pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat. Bagi menguruskan jenazah di rumah perkara-perkara perlu diambil perhatian.


PERSEDIAAN TEMPAT PEMBUANGAN AIR MANDIAN JENAZAH
Bagi menguruskan jenazah di rumah, waris simati perlu menggali parit atau lubang untuk tujuan pembuangan air mandian sekiranya rumah tersebut tidak terdapat longkang atau parit bersimen. Inspektor Kesihatan bertanggungjawab akan menyelia penyediaan tempat pembuangan tersebut.


PERSEDIAAN TEMPAT MANDI JENAZAH
Tempat pemandian jenazah hendaklah dilindungi daripada penglihatan mereka yang tidak berkenaan. Tempat khas (takungan mandian mayat) digunakan untuk memandikan jenazah. Sekiranya tiada terdapat tempat khas (takungan mandian mayat) pelapik plastik tebal boleh digunakan tetapi ianya hendaklah dibentuk supaya air mandian dapat mengalir ke tempat buangan (parit / longkang / lubang).


CARA-CARA MEMANDIKAN JENAZAH
Memandikan jenazah orang Islam perlulah mengikut cara-cara pengurusan jenazah yang biasa dilakukan dan diikhtirafkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri masing atau mengikut buku panduan yang diterbitkan oleh Jabatan Agama Negeri (sekiranya ada). Namun demikian terdapat beberapa perubahan dalam pemandian jenazah pembawa HIV dan pesakit AIDS bagi mencegah pengendali jenazah dari dijangkiti virus AIDS.

Pengendali jenazah perlu melindungi diri dengan memakai
a) Apron plastik / baju hujan
b) 2 lapisan sarung tangan getah
c) Pelindung mulut dan hidung (mask)
d) Kasut but getah

Cara-cara pemandian jenazah orang Islam pembawa HIV dan pesakit AIDS adalah seperti berikut:

1) Bancuhan kloroks dengan larutan 1 : 10 disediakan di dalam 3 buah baldi dan 1 buah besin.

2) Kapas yang belum digunakan direndam dalam besin berisi larutan kloroks (1 : 10).

3) Pakaian jenazah ditanggal dan direndam dalam baldi bancuhan kloroks (1 : 10) selama sekurang-kurangnya 30 minit.

4) Jenazah diletakkan ke dalam tempat khas takungan mayat. Sekiranya tiada terdapat tempat khas, mayat diletakkan ke atas alas plastik tebal yang telah direndam dengan larutan kloroks 1 : 10.

5) Rongga mulut, telinga, hidung, serta faraj dibersih dan disumbat dengan kapas yang telah direndam dengan kloroks dengan menggunakan peralatan iaitu forcep yang telah disediakan (langkah ini perlu dilakukan terlebih dahulu sekiranya terdapat darah atau cecair yang sentiasa terkeluar dari rongga-rongga tersebut setiap kali jenazah dialih posisinya untuk dimandikan).

6) Jenazah kemudian dicuci dan dimandikan dengan larutan kloroks 1 : 10.

7) Semasa memandikan jenazah dengan air larutan kloroks bersihkan dubur dengan kapas yang telah direndam dengan larutan kloroks (1 : 10) dan dubur kemudian disumbat dengan kapas yang telah direndam dengan larutan kloroks.

8) Jenazah kemudian dimandikan dengan air biasa / bersih menurut ajaran agama Islam.

9) Sekiranya rongga-rongga seperti mulut, telinga, hidung atau faraj ingin dibersihkan semula ianya boleh dilakukan dengan kapas yang telah direndam dengan larutan klorok menggunakan forcep dan rongga-rongga tersebut kemudiannya disumbat dengan kapas yang direndam dengan larutan kloroks.

10) Jenazah kemudiannya boleh disiram dengan air daun bidara, air kapur barus atau air kayu cendana.

11)  Jenazah dibilas dengan air larutan kloroks (1:100 pada bilasan terakhir).


MENGKAFANKAN JENAZAH
Bagi mengkafankan jenazah pembawa HIV dan pesakit AIDS, cara-caranya adalah berpandukan kepada panduan yang diterbitkan:

1) Plastik tebal dialaskan ditempatkan mengkafankan jenazah supaya cecair, bendalir atau darah terkumpul tanpa mencemarkan kawasan persekitaran bagi mencegah jangkitan kepada orang lain.

2) Kain kafan dibalut sebagai lapisan pertama. Kain kafan tidak perlu direndam dengan larutan kloroks 1:10 sekiranya tidak terdapat cecair, bendalir atau darah yang terkeluar dari jenazah atau tidak terdapat luka kudis di permukaan tubuh jenazah.

3) Bagi jenazah yang mengeluarkan cecair, bendalir, darah atau terdapat luka / kudis pada permukaan tubuh, jenazah perlu dimasukkan ke dalam beg plastic (body bag) atau dibalut dengan plastik yang telah digunakan untuk mengalas tempat mengkafankan jenazah. Jenazah tidak perlu dibalut dengan plastik atau dimasukkan ke dalam beg plastik sekiranya tiada tumpahan cecair, bendalir, darah atau tiada luka / kudis di permukaan tubuh jenazah tetapi tiada halangan sekiranya lapisan plastik dibalutkan.

4) Seterusnya jenazah dikafankan dengan menggunakan dua lapisan kain kafan sebagai lapisan terakhir. Perhatian lapisan terakhir merupakan kain kafan dan bukannya lapisan plastik.

NOTA
Keluarga terdekat arwah dibolehkan memeluk atau mencium jenazah sekiranya tubuh badan jenazah masih utuh tanpa sebarang kudis / luka atau jenazah tidak mengeluarkan lebihan cecair, bendalir atau darah.


DISINFEKSI PERALATAN DAN AIR MANDIAN JENAZAH
Disinfeksi peralatan dan air mandian jenazah adalah seperti berikut:

1) Peralatan yang telah digunakan untuk memandikan jenazah perlu direndam ke dalam air larutan kloroks (1:10) selama sekurang-kurangnya 30 minit sebelum dicuci.

2) Air mandian jenazah di lantai tempat pemandian jenazah perlu dimopkan dengan kloroks tanpa dicampur dengan air.

3) Air mandian jenazah yang ditakung di dalam lubang perlu ditabur dengan kapur klorida (chloride of lime) dan ditimbus.


SEMBAHYANG MAYAT
Cara jenazah disembahyangkan adalah serupa dengan jenazah orang Islam yang lain.


PENYEDIAAN TANAH PERKUBURAN
Persediaan tanah perkuburan bagi mengebumikan jenazah pembawa HIV dan pesakit AIDS adalah seperti yang terdapat di dalam buku panduan yang diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri. Kapur Klorida (cloride of lime) tidak perlu ditaburkan ke dalam liang kubur.


PENGKEBUMIAN JENAZAH
Pengkebumian jenazah pembawa HIV dan pesakit AIDS adalah sama seperti pengkebumian jenazah orang Islam lainnya dengan syarat langkah-langkah pencegahan jangkitan HIV telah diambil semasa jenazah dimandi dan dikafankan. Penggunaan sarung tangan getah tidak dimestikan semasa jenazah dikebumikan.


PEMINDAHAN JENAZAH MELALUI KENDERAAN DARAT / LAUT / UDARA
Setiap pemindahan jenazah di dalam atau ke luar negeri perlulah diberitahu terlebih dahulu kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat bagi tujuan penyeliaan dan tindakan yang bersesuaian.


PERINGATAN – LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN JANGKITAN HIV BAGI SEMUA PENGENDALI JENAZAH
Semua pengendali jenazah harus sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mencegah dari dijangkiti penyakit berjangkit seperti HIV semasa mengendalikan setiap kematian. Langkah-langkah pencegahan ini perlu kerana adakalanya status HIV jenazah yang dikendalikan tidak diketahui atau kemungkinan notifikasi kematian pembawa HIV dan AIDS tidak dikemukakan kepada Pejabat Kesihatan Daerah oleh waris simati.

Langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil adalah seperti berikut:

1) Pastikan bilangan pengendali jenazah dihadkan kepada bilangan sekecil mungkin.

2) Memastikan pengendali-pengendali jenazah tidak mengalami sebarang luka atau kudis pada permukaan tubuh terutama di bahagian tangan.

3) Setiap pengendali jenazah memakai dua lapisan sarung tangan plastik semasa mengendalikan jenazah.

4) Sekiranya jenazah mengeluarkan darah atau cecair berlebihan yang memungkinkan percikan berlaku ke tubuh pengendali jenazah maka pemakaian apron plastik, mask dan kasut but getah diperlukan.
 

Menarik jika anda klik ke link "Aku Hiv Positif" ini dan baca komen pembaca yang telah ditinggalkan di entry GARIS PANDUAN PENGURUSAN JENAZAH ORANG ISLAM PEMBAWA DAN PESAKIT AIDS 
  



Saya cuba membaca dengan telilti peraturan dan proses yang tercatat dan dikeluarkan oleh Cawangan AIDS/STD, Jabatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia ini berkaitan penggunaan clorox. Ada yang kalau difikirkan betul tetapi ada juga yang merapu (pada pandangan sayalah). Kenapa baju simati perlu direndamkan kedalam clorox selama 30minit? Banyak sangat perasaan takut yang diluahkan didalam peraturan ini. Saya tidak pasti bila tarikh sebenar peraturan ini dikeluarkan, apa pun saya harap ianya tidak seteruk seperti yang saya bayangkan. 

Bagaimana sekiranya jenazah seorang PLHIV yang dalam keadaan sempurna, baik dan tiada cecair yang keluar sana sini, adakah clorox masih digunakan keatasnya, pada saya tidak perlukan, tetapi oleh kerana stigma melampau terhadap HIV/AIDS ianya tetap akan terus digunakan?

Boleh percaya ke mereka guna bancuhan clorox (1:10)? Mana tahu bila dengar ajer jenazah pengidap HIV/AIDS ketakutan melampau datang, dari (1:10) bertukar menjadi (5:10). Mendengar perkataan "clorox" itu saja pun, kita terus tergambar sesuatu yang buruk. Orang bunuh diri pun guna clorox, ya clorox pembunuh kuman, kuman itu kotor maka jenazah PLHIV seolah-olah tergambar sebagai sesuatu yang kotor.

Perkataan "clorox" itu juga berjaya menghapuskan serta boleh mengagalkan usaha banyak pihak untuk menghapuskan "stigma dan diskriminasi" dikalangan masyarakat terhadap PLHIV. Apa pun ini semua pandangan peribadi saya, apa lagi yang boleh saya buat kan.

Ahhh... ini lah antara sebabnya saya selalu berdoa agar mati sahaja di kota Mekah, dalam keadaan tiada sesiapa pun tahu status saya ketika itu. Boleh ker?


"KATAKAN TIDAK KEPADA PENGGUNAAN CLOROX KEATAS JENAZAH PLHIV"

37 comments:

  1. Tqvm my dear...cepat juga publish...pegi hospital naik basikal je ker?exercise ker?dekat dgn rumah yer hospital?malam2 boleh g amik ubat yer?
    Setahu saya, ditempat saya ni, di hospital KB, jenazah plhiv akan dimandikan dirumah mayat hospital tu jugak...waris tinggal bawak balik jenazah ke rumah...da siap2 mandi kt hospital...mungkin sama kot dengan hospital kerajaan yang lain..
    How do you feel about this article?if u feel uneasy,i am really sorry yer...
    apepon artikel ni menginsafkan saya,sama2 kita ambil iktibar....a wake up call for me..terima kasih naj mi

    ReplyDelete
  2. AHP,
    Apa pun kita semua tidak tahu macam mana pengakhiran hidup masing2, mudah-mudahan dipermudahkan segala2 nya nanti.

    Tchr Shda,
    Biasa lah itu transport tak perlu isi minyak, jarak dari rumah ke hospital, saya excersise lebih kurang 25minit aje, malam tak panas. Ya kaunter dibuka hingga kul 9.30 malam.

    Maybe maksud staff rumah mayat tu hanya jenazah pengidap HIV/AIDS sahaja kut. Jenazah lain yang mati kerana sakit lain akan dimandi dan dibersih kan di rumah mayat, kan kena post mortem dulu, maknanya jenazah pengidap HIV rasanya tak akan di post mortem jika doktor sudah mengesahkan mati kerana HIV... wallahuallam. Nampak nya nak kena buat interview lagi kut ni...:)

    ReplyDelete
  3. Nurunn a'la nur25:24
    Ya..ada terlintas dihati juga..malah dlm doa..moga
    matinya sy ini dikota Mekah..amin

    ReplyDelete
  4. Replies
    1. Nurunn a'lan nur25:24
      Terima kasih 'amin' kan utk sy..moga utk Najmi juga
      begitu..Apapn Allah yg tahu apa yg
      terbaik utk kita kan...:-) :-)

      Delete
    2. Nurunn a'lan nur25:24,

      Ya serah pada Allah... Allah mengetahui mana yang baik buat kita kan.... :)

      Delete
  5. 4 hari lepas, saya mengalami keadaan yg sama bila adik saya meninggal dan dia adalah pesakit hiv. Cukup tersentuh bila selesai dimandikan, saya terbau clorox yg cukup kuat. biasanya jenazah berbau dgn kapur barus & wangian minyak attar. Sedih cukup sedih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Anonymous,

      Al Fatihah saya doakan semoga arwah adik saudara ditempatkan bersama dengan orang beriman disana..

      Untuk pengetahuan Anonymous, berita yang saya dengar sekarang ada usaha untuk mengurangkan bau clorox tersebut, maybe meraka akan guna cecair yang sama tetapi tidak ada bau atau kurang baunya. Ya semuanya bagi mengelakkan fitnah dan menjaga aib si mati.

      Kalau dulu jenazah pesakit HIV akan diiringi pegawai KKM menaiki van resmi KKM yang berpakaian uniform, tetapi sekarang mereka dtg berpakaian biasa. Wallahuallam

      Mudah2an dimasa depan kita tidak lagi mendengar cerita berkaitan clorox ni lagi kan...

      Delete
  6. Masha'Allah.
    aku ade beberape org kawan pesakit HIV.
    aku selalu mengharapkan yg terbaik untuk mereka..
    semoga keadaan mereka tak akan jadi seteruk yg sebelum ni..
    sedih bila difikir2 kan..
    semoga permintaan naj mi dan Nurunn a'la nur25:24 diperkenankan tuhan.
    amin.

    ReplyDelete
    Replies
    1. historia-vitae,

      Mudah2an rakan awak diberikekuatan kesihatan yang baik insyaallah... ya semoga mereka semakin baik dan dirahmati Allah.

      Terimakasih "historia-vitae" kerana doakan untuk saya dan Nurunn..... :)

      Delete
  7. Naj Mi,

    Segala perkongsian maklumat di
    dalam blog anda sesungguhnya
    telah membuka ruang yang luas
    bagi insan-insan yang dipilih
    Allah untuk melangkah lurus maju
    ke hadapan yang diredhaiNya
    melalui keinsafan dalaman dan
    luaran.

    Setiap luahan,pendapat dan
    fakta-fakta yang terdapat
    di sini banyak membantu PLHIV
    untuk berpegang kepada motto
    'Hidup Mesti Diteruskan' sekaligus
    menggenggam erat 'You Never Know
    How Strong You Are Until Being
    Strong Is The Only Choice You Have'.

    Insyaallah,kita masih ada tempat
    istimewa disisiNya..Amin!



    ReplyDelete
    Replies
    1. Hamba Allah Yang Dhaif,

      Alhamdulillah, insyaallah begitu lah hendaknya mudah2an sesiapa yang terbaca perkongsian saya dalam blog ni, harapan saya mereka akan mendapat pengajaran, pengetahuan dan kekuatan semangat terutama dikalangan PLHIV itu sendiri.

      Terimakasih Hamba Allah Yang Dhaif.... :)

      Delete
    2. Terima kasih dengan doa awak ye historia-vitae ..baiknya hati awak..
      sudi doakan saya.Naj Mi dan rakan2 PLHIV yang lain juga..
      Moga Allah merahmati awak juga ye...maaf ye terlewat datang singgah
      ke N3 Naj Mi ni....baru tergerak tadi nak baca semula...maaf ye......:-)

      -nurunn-

      Delete
  8. saya terlibat utk pengurusan jenazah di hospital dan kawasan kariah.......sepanjang pengalaman mandikan jenazah,ade jenazah yg PLHIV berseri jasad nya......tidak menampakkan sebarang cela....sahabat yg membantu,PPK yg ade kt ctu sebak....mulia nya diri mu.......hidup,manusia pandang enteng....tpi Allah muliakan nya kerana sabar,tabah ujian Allah......ingat peristiwa tuu,air mata mengalir.....

    ReplyDelete
    Replies
    1. ahmad,

      saya juga pernah mendengar kisah sebegini, ada penagih dadah yang hiv positif ketika meninggal wajahnya berubah berseri... semunya itu adalah dengan kuasa Allah jua....

      Delete
  9. BETUL LA CADANGAN MR NAJMI.. PERLU DIPERBAIKI DARI SEGI MANDIAN JENAZAH HIV/AIDS LA.. MENGGUNAKAN BAHAN YANG SAMA FUNCTION SEPERTI CLOROX TETAPI TIDAK MENGELUARKAN BAU YANG MENAMPAKKAN JENAZAH MERUPAKAN PESAKIT HIV/AIDS ATAS TUJUAN X NAK MENGAIBKAN SI MATI DAN KELUARGA. PERLU DICADANGKAN KEPADA KEMENTERIAN KESIHATAN LA..... MANA LA TAU ADA INITIATIVE NK BUAT PENCUCI YANG ADA BAU KAPUR BARUS OR MINYAK ATTAR... ~~LADYBUG~~

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ladybug,

      Kan... semua tu saya tahu dari sumber yang boleh dipercayai...penting kena jaga aib jenazah tu... rasanya tak susah kalau dibuat pencuci clorox yang berbau kapur barus atau minyak attar tu, rasanya Msia tak kurang pakar dalam mencipta bahan sepert ini kan, mencipta rasanya boleh dijalankan TETAPI tindakan itu dah digerakkan atau tak wallahuallam.

      Kalau sudah diberi cadangan sekali pun, tapi masuk telinga kanan keluar telinga kiri tak jadi jugakkan. Hmmm entah lah....

      Delete
  10. Actually, clorox yg admin ckp tu, kita pggil Germisep.. Sy jururawat.. bila patient tuh ada HIV.. kami akan sediakan losyen germisep (iaitu 25-30 biji tablet germisep).. then kami cuci pskit tuh dgn air germisep trsebut.. stlh siap dimandikan, mayat tuh kami masukkan dlm beg plastik yg berzip, lebihan air germisep tuh, dituang keatas tubuh mayat.. mayat dibiarkan berendam dgn air trsebut.. then, beg plastik brisi mayat tuh kami balut dgn kain cadar mcm mayat biasa.. then, Pegawai Kesihatan Persekitaran pulak yg akan handle bgaimana nk uruskan pngebumian.. tula yg dpt sy bgtahu.. :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. i'm me..^_^

      Pastinya baunya kuat tak?? Adakah orang sekeliling boleh perasan bau tersebut? Sebagai jururawat.... bau Germisep tu macam bau "Clorox" tak...

      Thanks dg info pengalaman awak ni... :)

      Delete
  11. ye.. mmg bau dia kuat la.. Germisep tu agen utk kawalan infeksi... that's why kita guna tuh....

    ReplyDelete
    Replies
    1. i'm me..^_^

      Haaaa... tu yang cuba nak elakkan tu... bau nanti boleh aibkan jenazah...boleh aibkan keluarga... arwah...Sebab tu kalu boleh dicipta clorox jenis yang berbau kapur barus atau wangian attar kan lagi bagus.... atau kurangkan kesan bau tersebut... kita di Msia ramai yang boleh cipta dan ubah bauan clorox yang kuat tu ... ubah jadi yang kurang bau...

      Hmmmm entah lah....#%^&^&^&**^%$

      Delete
  12. tula.. sy pun xtahu.. xpela.. cuba diusulkan.. Najmi.. sy brminat nk knal dgn anda nie.. cmne ek?

    ReplyDelete
    Replies
    1. i'm me..^_^

      Hahaha... nak kenal saya....boleh awak seng email ke

      najmi620@gmail.com

      atau ke FB saya;

      http://www.facebook.com/naj.mi.9231

      Kenal aje tau......sebelum tu baca tentang diri saya dlm lebel "SAYA"...:)

      Delete
  13. Salam.. saudara Naj Mi izinkan saya berkongsi sedikit ilmu dengan saudara.. Lazimnya mengikut prosedure mmg gunakan clorox.. bau mmg kuat, tetapi sebenarnya cukup untuk 1 kali mandian pertama sahaja, maksud sy xperlu dibilas untuk kali terakhir dengan air bancuhan clorox kerana kalau dibilas buat kali terakhir maka hilanglah bau kapur barus @ wangian air mawar berkenaan. Tujuan clorox tu untuk disinfeksi kuman sekiranya cecair dari pesakit itu keluar. Manakala utk rendaman baju jenazah pula adalah sama seperti jenazah td.. iaitu sebagai langkah berjaga2 sekiranya cecair badan keluar terkena baju jenazah(sekiranya waris masih mahu pakaian berkenaan). Jenazah PLHIV tidak lah kotor..tetapi keselamatan dan langkah berjaga2 harus diambil bagi pengendali jenazah dari terkena jangkitan(Sesungguhnya mencegah itu lebih baik dari mengubati). Sebagai contoh bagi jenazah yg terkena jangkitan Hep C adalah 10 kali ganda mudah menjangkiti dari HIV. Namun bkn semua pengendali jenazah tahu akan perkara hal berkenaan. Dalam pengendalian jenazah ini, bnyak perkara perlu dititik beratkan.. sekiranya jenazah dlm keadaan uzur.. bilasan clorox kali terakhir perlulah dilakukan. Ini sebenarnya bergantung kesesuaian keadaan. Waris juga blh mencium dahi jenazah berdasarkan keadaan jenazah, Wallahualam. - yg benar,IK


    ReplyDelete
    Replies
    1. IK

      Alhamdulillah terima kasih,

      "Sebagai contoh bagi jenazah yg terkena jangkitan Hep C adalah 10 kali ganda mudah menjangkiti dari HIV."

      Pekara ini telah beri kefahaman buat diri saya, tapi saya masih harap agar aib jenazah PLHIV di kurangkan sekecil yang mungkin. Masyarakat kita masih kurang faham tentang HIV/AIDS, bimbang timbul fitnah nanti. Bagaimana dg jenazah yang meninggal akibat penyakit kuman seperti Hep C, adakah mereka juga turut di mandikan dg clorox dan dibalut dg plastik?

      Setahu saya PLHIV yang meninggal kerana sakit jantung bukan disebabkan komplikasi AIDS pun akan disiram dg clorox. Wallahuallam

      Walau bagaimana pun terima kasih banyak2 dengan penerangan yang saudara tinggalkan....:)

      Delete
  14. Untuk makluman saudara Najmi pengurusan jenazah orang Islam yang mengidap penyakit berjangkit adalah ditafsirkan sebagai jenazah pesakit yang telah disahkan atau disyaki mengidap penyakit berjangkit seperti hiv/aids, hepatitis B(virus pembawa penyakit ini didapati hampir di semua bahagian berair dan cecair tubuh manusia), taun(Cholera),demam kepialu(salmonella thyphi),SARS,dan penyakit kelamin.Agen jangkitan hepatitis C adalah melalui penderma darah,hubungan kelamin,bendalir badan. Setakat yg sy tahu jenazah yg hanya hep c tidak dimandikan dengan clorox dan dibalut dgn plastic.Namun jenazah hiv+hep c dimandikan dgn clorox. Aib jenazah sememangnya dijaga oleh petugas yg berkenaan sebaik mungkin, dan sbb itulah digalakkan jenazah dimandikan dihospital dan tidak dirumah kerana dihospital lebih privacy dari org ramai. Dan dari segi siasatan terhadap PLHIV sekalipun disiasat dlm pakaian premis dgn menggunakan kenderaan sendiri bg mengelakkan persepsi org awam terhadap PLHIV. Mengikut prosedure lama walaupun PLHIV mati akibat komplikasi jantung masih dimandikan clorox. Ketika proses memandikan jenazah, risiko dari segi penyakit berjangkit tidak dpt dilihat dengan mata kasar kita. Dan sebb itulah prosedure berkenaan dikeluarkan. Namun maklumat terbaru berkenaan prosedure pengendalian jenazah PLHIV akan dikemaskini. Mudah-mudahan ada jalan yg lebih baik berkenaan penggunaan clorox terhadap jenazah PLHIV.Bagi petugas2 kesihatan hanyalah menurut arahan pihak atasan berdasarkan pekeliling2 dan prosedure terbaru, sekiranya ada salah silap diharap sama-sama lah kita berbincang bagi memperbtulkan sistem yg lebih adil.- IK

    ReplyDelete
  15. IK

    Terimakasih dengan penjelasan yang diberi, saya sendiri ada pendengar usaha cara mengendalikan jenazah PLHIV sedang diperbaiki atau dikemas kini, pada saya lakukan lah apa sahaja yang penting aib jenazah perlu di tutup sebaiknya, elakkan dari fitnah berlaku. Saya masih tidak dapat terima cara pengunaan clorox yang berbau kuat, maybe sesuatu boleh dilakukan dengan cuba mencipta clorox yang kurang bau, serta pengunaan plastik maybe boleh diganti dengan pengunaan kain yang berfungsi sama seperti plastik...

    Wallahuallam saya..memandai pulak saya ni ya....:) Terima kasih IK...:)

    ReplyDelete
  16. Saya juga bersetuju dengan saudara Naj Mi, mungkin ada alternatif lain blh digunakan bagi menggantikan plastik @ clorox.. Oleh disebabkan dulu tiada bantahan yang di ketengahkan, prosedure lama masih digunakan. Cuma masa sahaja menentukan, Semoga segala usaha membantu PLHIV dalam meguruskan jenazah dipermudahkan.Kuatkan semangat...

    “Bukankah dunia itu dilaknati. Apa yang ada padanya dilaknati melainkan zikrullah dan apa yang berkaitan dengannya; dan orang yang berilmu atau orang yang menuntut ilmu.”

    (HR. al-Tirmizi)

    Amin... -IK

    ReplyDelete
  17. IK

    Terima kasih, seperti semua orang terutama PLHIV memang mengharapkan agar prosedure menguruskan jenazah ni dikaji dan pihak yang berkewajiban perlu mendengar pandangan semua pihak dlm menngurangkan rasa tidak puas hati terutama dikalangan kami....huhuhu...

    Terima kasih IK....:)

    ReplyDelete
  18. Saya sebagai Inspektor Kesihatan di Unit HIV/AIDS dan STD mengiyakan.. penggunaan clorox masih digunakan sehingga sekarang.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Anonymous

      Terima kasih. Benar clorox masih digunakan atau nama lain yang ditukarkan tetapi bau masih sama kan, sudah pasti boleh mendatangkan aib buat simati...

      Walau bagaimana pun saya ada dengar ura2 mengatakan bahawa pengunaan clorox akan diganti dengan bahan yang lain yang mungkin kurang baunya tidak lama lagi, wallahuallam.

      Delete
  19. Salam,

    Izinkan saya berkongsi ilmu yang amat sedikit ini dengan tuan2 untuk menghilangkan beberapa kerunsingan dan stigma masyarakat. Apa yang ditegaskan dalam Pengurusan Jenazah dari aspek Islam adalah bukan CLOROX. Tapi bahan peluntur (sodium hypochlorite). Oleh kerana CLOROX adalah satu jenama yang popular dan mudah didapati, maka waris simati ataupun pengendali jenazah menggunakannya. Bagi saya tiada masalah berkenaan bau sodium hypochlorite tersebut sekiranya jenazah diuruskan mengikut prosedur yang betul dan sempurna. Sodium hypochlorite yang dilarutkan mengikut nisbah 1:10 hanyalah boleh dilakukan oleh PPKP/IK yang mengurus jenazah tersebut dan hanya pada jirusan pertama. Kemudian jenazah dimandikan mengikut prosedur biasa ( penggunaan air mawar, kapur barus dsbnya ) jadi bau sodium hypochlorite tersebut hilang sekiranya aliran dan lokasi yang dimandikan dikendali dengan sempurna. Bagi plastik lutsinar yang digunakan pada lapisan kedua tidak lagi kelihatan setelah jenazah sempurna dikafan. Setakat beberapa tahun saya mengendalikan jenszah sedemikian tiada terdengar aduan orang ramai/masyarakat setempat berkenaan bau CLOROX atau beg plastik. Cuma yang sedih dan terkilan adalah segelintir dari kalangan orang masjid sendiri (yg mengendali jenazah) yang mempunyai kursus lengkap pengendalian jenazah penyakit berjangkit yang membangkitkan stigma masyarakat setempat. Mohon maaf sekiranya saya tersilap.

    Wallahu a’lam (“Dan Allah Yang Maha Tahu/Maha Mengetahui)

    ReplyDelete
  20. Metalhead

    Alhamdulillah terima kasih dengan komen maklumat yang saudara tinggalkan....:)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RECENT POST