Tuesday, 12 June 2012

MY BABY IS NEGATIVE - DILAHIRKAN TANPA VIRUS HIV



Isteri anda adalah HIV positif manakala anda pula HIV negatif. Atau sebaliknya. Atau kedua-duanya positif HIV, anda masih boleh mendapatkan zuriat yang sihat bebas dari virus HIV. Bagaimana? Mula-mula kita ikuti kisah pengalaman tiga PLHIV dibawah ini;

”Bayi saya adalah negatif” – Mulikat Odutayo
Empat tahun lalu Mulikat Odutayu telah mengidap batuk kering (TB) yang teruk dan terpaksa ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Apa yang lebih mengejutkannya, doktor mengesahkan bahawa dirinya juga adalah HIV positif. Setelah menerima rawatan dan kembali beransur pulih dari TB dan setelah ia mula menerima rawatan HAART, keadaan tubuh badannya semakin baik. Dia memilih untuk menjadi sukarelawan di Lagos Hospital. Memberi kaunseling kepada mereka yang baru hendak menjalani ujian darah HIV, sebelum dan selepas mereka mengambil ujian tersebut. Tujuan utamanya ialah mahu memberi masej kepada golongan pembawa HIV bahawa walaupun mereka membawa virus ini, mereka masih boleh menjalani kehidupan yang  baik dan memuaskan.

Apabila dia selesai rawatan TB, ia memberitahu kepada doktor bahawa dia mahu mempunyai anak. Beliau kemudian telah dinasihatkan untuk menunggu sehingga kesihatannya betul-betul baik. Apabila ia telah benar-benar sihat, dia telah disalurkan kedalam  program perancangan keluarga bagi wanita HIV positif.  Setelah menjalani prosedur yang telah ditetapkan akhirnya beliau selamat melahirkan seorang bayi yang sihat bernama Mumbarak Aloko. Kanak-kanak itu sihat dan tidak menghidap HIV.

Mulikat Odutayu bersama Mumbarak Aloko


Demi cinta rela kahwini wanita HIV
mengandungkan ”ANAK BEBAS-HIV”
Isu jangkitan virus HIV bukan hanya berlaku terhadap pasangan malah potensi virus ini dijangkiti oleh anak-anak mereka juga adalah tinggi. Kini bakal cahaya mata daripada wanita hamil positif-HIV boleh dilahirkan sihat sekiranya ibunya mengikuti prosedur rawatan kelahiran atas nasihat doktor.

Mukadimah
Oleh Rosmah Dain
Terima kasih Erni Zawawi dari MAM

Virus Hiv masih menjadi satu penyakit yang menyerang dan menjejaskan kebanyakannya kaum lelaki. Malah transmisi virus ini juga telah menjadi kebimbangan utama dikalangan kita apabila ia turut menyerang dan menjangkiti pasangan mereka.

Selain isu wanita yang dijangkiti, kemungkinan besar mereka akan menjangkiti virus ini kepada anak-anak mereka juga adalah tinggi. Akan tetapi dengan adanya hasil kajian perubatan dan perawatan terkini, bakal cahaya mata daripada wanita hamil yang berstatuskan HIV-positif dapat diselamatkan daripada ancaman virus merbahaya ini.

Statistik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia ada merumuskan bahawa sebanyak 15 hingga 20 peratus kanak-kanak yang memperolehi jangkitan HIV daripada ibu yang HIV-positif adalah melalui jangka masa antenatal, 50 peratus semasa proses bersalin dan 33 peratus melalui penyusuan badan.

Hanya kurang dua peratus bayi yang dilahirkan oleh ibu HIV-positif dijangkiti dengan virus ini sekiranya ubat-ubatan anti HIV diambil oleh ibunya semasa mengandung.
Fokus kali ini secara eksklusif mendedahkan bagaimana insan yang hidup dengan HIV/AIDS juga boleh melahirkan anak yang sihat, bebas-HIV biarpun ibu atau bapa atau kedua-duanya positif.


“SAYA sanggup mengambil risiko walaupun tahu dia HIV-positif kerana mencintainya," kata Aris (bukan nama sebenar), seorang yang bebas HIV dan berkahwin dengan wanita disahkan HIV-positif sejak tujuh tahun lalu.

Aris, 45, berkata, dia mengenali Izzah, 34, (bukan nama sebenar) ketika wanita itu datang mendapatkan bantuan kaunseling ketika dia bertugas di sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan HIV/AIDS pada 2008.

“Apabila disebut HIV atau AIDS, semua orang akan berfikiran negatif dan hanya fikirkan mati tetapi saya anggap ia sama dengan penyakit lain seperti diabetes, asalkan mereka menjalani kehidupan yang selamat, memeriksa kesihatan mengikut jadual serta sihat fizikal serta emosi, tidak ada mempunyai sebarang masalah," katanya.

Menurutnya, dia mengenali Izzah pada awal 2008 ketika isterinya itu sudah empat tahun disahkan HIV -positif dan tidak teragak-agak melamarnya walaupun pada mulanya wanita itu seperti tidak percaya akan hasratnya.

Perhubungan mereka mendapat sokongan daripada rakan-rakan lain yang tahu akan kisah dan niat murni mereka untuk melayari bahtera rumahtangga yang bahagia.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata berusia setahun dua bulan yang disahkan bebas daripada HIV selepas mengikuti prosedur pencegahan jangkitan HIV daripada ibu hamil ke kandungan yang disyorkan oleh pihak doktor.Aris juga bebas daripada  virus itu.

Aris berkata, dalam tempoh itu dia dan isteri harus melalui pelbagai prosedur yang diperlukan atas nasihat doktor.

‘‘Mungkin agak berlainan daripada prosedur pemeriksaan dan rawatan untuk wanita biasa yang mengandung, namun semua itu kami lalui dalam usaha untuk mendapatkan zuriat kami sendiri.

‘‘Apatah lagi kami berazam bukan sekadar zuriat tapi mestilah anak yang dikandung isteri saya itu sihat," katanya yang bersyukur kerana hasratnya dimakbulkan Tuhan dengan kelahiran anaknya itu.

Namun begitu, Aris sehingga kini belum bersedia berkongsi perkara itu dengan keluarganya serta sanak-saudaranya kerana berpendapat pendedahan mereka terhadap penyakit berkenaan masih rendah.

“Tetapi saya sedar adik-beradik saya mungkin syak sesuatu kerana di rumah saya banyak ubat. Apabila setiap kali mereka menziarahi kami, masakan daripada air tangan isteri saya tidak disentuh sebaliknya mereka akan masak sendiri juadah yang hendak dimakan.

“Memang saya rasa terkilan tetapi kita perlu hormat orang dulu sebelum orang lain menghormati kita, namun saya cuba dengan cara sedikit demi sedikit dalam memberi kesedaran kepada mereka sehingga benar-benar faham mengenai HIV," katanya.

Menurutnya, persepsi negatif, stigma dan diskriminasi daripada kebanyakan anggota masyarakat dan daripada ahli keluarga sendiri menyebabkan orang yang hidup dengan HIV hidup terpinggir, disisih dan ditakuti sehinggakan pernah suatu ketika dulu, jenazah mereka dilapik plastik ketika mahu dimandikan dan sebelum jenazah mereka dikebumikan.

“Malah kadang-kadang drama di televisyen juga menggambarkan mereka yang yang hidup dengan HIV ini sangat teruk umpamanya berkudis di seluruh badan sedangkan ia tidak akan berlaku selagi mereka menjalani kehidupan yang positif dan sihat.

“Paling penting emosi mereka mesti dijaga kerana tekanan dan sistem imunisasi badan yang rendah akan membuatkan jangkitan penyakit itu semakin teruk," katanya.

Aris berkata, terdapat beberapa perkara perlu dilakukan bagi mengelak penyakit itu berjangkit kepada anak umpamanya kelahiran perlu dilakukan melalui pembedahan caesarean selain tidak boleh menyusu badan.

“Kita perlu ada ilmu dan lengkapkan diri dengan maklumat yang tepat mengenai perkara ini terutamanya penjagaan dan rawatan bagi mengelak timbulnya ketakutan yang bukan-bukan terhadap orang yang hidup dengan HIV," katanya yang tidak mahu mengulas bagaimana isterinya mendapat virus berkenaan.

Sementara itu, Izzah berkata, apabila disahkan menghidap HIV pada 2004, doktor yang merawatnya meramalkan hayatnya hanya bertahan selama empat tahun saja.

“Hati siapa yang tidak remuk apabila diberitahu sedemikian, kehidupan saya gelap dan kosong malah sampai satu tahap, saya rasa hidup saya tidak mempunyai erti lagi dan dunia amat gelap dan seolah-olah lumpuh.

“Mujurlah saya mempunyai keluarga yang tetap menerima saya dan menyokong. Mereka yang memujuk saya mendapatkan khidmat nasihat daripada NGO dan siapa sangka, pada 2008 iaitu waktu saya diramalkan meninggal dunia bertukar sebaliknya apabila saya dapat memulakan hidup baru apabila bertemu jodoh," katanya.

 
Anak saya tidak dijangkiti HIV - Suci
Berlainan dengan kisah wanita ini, Suci (bukan nama sebenar), 35, yang berasal dari Teluk Intan Perak, ibu kepada tiga cahaya mata berumur 15, 14 dan 5 tahun. Berkahwin dengan Johari (bukan nama sebenar), 42, yang merupakan seorang peniaga kecil-kecilan pada tahun 2004. Bagi Suci ini adalah merupakan perkahwinannya yang ke tiga dan kedua bagi Johari.

Anak pertama dan kedua merupakan hasil daripada perkahwinan pertama Suci manakala tiada zuriat pada perkahwinan kedua manakala perkahwinannya dengan Johari dianugerahkan seorang cahaya mata lelaki berusia lima tahun.

Kisah Suci bermula pada tahun 2008 apabila Johari diserang demam yang berpanjangan dan dimasukan ke Hospital Selayang. Dimana dia disahkan HIV-positif.


Rentetan daripada itu Suci juga diminta oleh pihak doktor untuk melakukan pemeriksaan darah dan darahnya juga disahkan HIV-positif. Johari pada ketika itu telah pun dimasukkan kedalam wad kerana menghidap sakit paru-paru yang teruk. Kemudian mereka berdua diarahkan untuk mendapatkan rawatan di Sungai Buloh.

“Pada masa itu anak saya yang ketiga baru berumur beberapa bulan dan saya menyusukan badan anak saya. Apabila pihak hospital mengetahui saya menyusukan badan anak saya, mereka terus meminta saya berhenti dan mencadangkan saya memberi susu botol untuk mengelakkan anak saya itu daripada dijangkiti HIV”, katanya yang mentafsirkan dirinya dan Johari mendapat HIV mungkin daripada perkahwinan-perkahwinan terdahulu.

Mengakui dunia  terasa gelap gelita apabila menerima berita itu, anak-anaknya juga turut melakukan ujian darah untuk mengetahui tahap kesihatan mereka. Alhamdulillah, apa yang amat menakjubkan, biarpun Suci dan Johari telah lama mempunyai virus HIV dalam badan dan hanya mengetahuinya beberapa tahun selepas itu, anak ketiga yang dikandungnya langsung tidak dijangkiti virus itu.

“Pihak doktor telah melakukan pemeriksaan dan sekarang anak ketiga saya itu disahkan bebas daripada virus HIV. Syukur saya dan suami kepada Tuhan, anak saya itu dilindungi.

“Kini hanya saya dan suami melakukan pemeriksaan dan rawatan berkala disamping ubat-ubatan.

“Alhamdulillah saya dan suami kini sihat dan meneruskan kehidupan sebagaimana insan normal yang lain disamping ubat-ubatan yang perlu kami ambil setiap hari”, katanya.

Apa yang ingin disampaikan oleh Suci disini ialah dia masih bernasib baik kerana Tuhan melindungi anaknya daripada dijangkiti virus berkenaan.

“Biarpun saya dan suami HIV-positif namun dengan izin Tuhan anak saya itu dilahirkan dalam keadaan sihat,” katanya yang sentiasa mengucapkan syukur atas kebesaran Nya.


Bayi bebas daripada virus HIV kita tanya pada yang pakar;

Temubual bersama DR KAMARUL AZHAR MOHD. RAZALI, Pakar Perunding Kanak-Kanak & Penyakit Berjangkit Hospital Kuala Lumpur.
 
Soalan: Bagaimana cara transmisi HIV berlaku secara vertikal daripada ibu ke anak?

Ibu yang hamil juga terdedah dengan risiko yang tinggi dalam menjangkiti janin yang dikandung mereka dengan virus HIV, serta penyakit kelamin (sekiranya ada) jika tiada ujian antibodi HIV yang dijalankan.

Langkah ini amat penting bagi ibu yang hamil yang untuk menjalani ujian saringan atau antibodi HIV yang disediakan oleh hospital kerajaan, diklinik kesihatan kerajaan dan juga dipihak swasta. Ujian saringan atau antibodi yang dilakukan oleh hospital dan klinik kesihatan kerajaan adalah percuma.

Virus HIV ini boleh berjangkit melalui tiga cara iaitu melalui kandungan atau pregnancy, proses bersalin secara normal dan melalui penyusuan badan. Ini adalah kerana risiko transmisi vertical virus HIV daripada ibu kepada anak melalui darah dan cecair rembesan badan seperti air ketuban, susu badan adalah tinggi. Setiap langkah pencegahan dilakukan secara menyeluruh dan berhati-hati.

Proses semasa hamil

Doktor yang bertugas akan memastikan ibu yang hamil akan menjalani proses rawatan dan pencegahan yang rapi dengan pengambilan ubat-ubatan anti-HIV selama proses kehamilan dan kemudiannya untuk memastikan kesihatan kedua-dua ibu dan anak bebas daripada jangkitan virus HIV.

Semasa hamil, wanita yang HIV-positif akan menerima kombinasi sekurang-kurangnya tiga jenis ubat anti-HIV setiap hari, termasuk AZT (zidovidine) jika perlu. Sekiranya diagnosis HIV dikenal pasti pada peringkat kehamilan lewat atau semasa proses kelahiran, ujian status HIV akan dilakukan pada waktu itu dan pengambilan ubat-ubatan akan diberikan kepada wanita tersebut pada kadar segera.

Proses semasa melahirkan anak

Walaubagaimanapun, kelahiran melalui pembedahan (caesarean) mungkin dilakukan sekiranya kelahiran melalui proses biasa berkemungkinan besar meningkatkan risiko penularan HIV kepada bayi.

Bayi juga tidak akan dibenarkan menyusu ibu. Hanya penyusuan formula sahaja dibenarkan kerana susu ibu juga mengandungi virus yang boleh menyebabkan penularan virus kepada bayi.


Soalan: Apakah kaedah untuk mengawal risiko daripada terkena jangkitan HIV?

Langkah pertama dalam mengawal risiko daripada terkena jangkitan bagi wanita yang mengandung ialah dengan menjalani ujian HIV yang akan dijalankan melalui dua cara.

Ujian antibodi HIV yang pertama (menggunakan darah) akan dijalankan dan sekiranya hasil ujian ini adalah positif, maka ujian yang kedua (ujian konfirmatif, yang menggunakan darah juga) akan dijalankan.

Sekiranya keputusan kedua-dua ujian ini adalah positif, masih ada sinar bagi wanita yang hamil untuk menjalani kehidupan normal dan sihat dan melindungi bayi mereka daripada HIV. Wanita yang hamil ini masih boleh mendapatkan rawatan anti-HIV untuk mengelakkan transmisi vertikal daripada ibu ke anak dan untuk kesihatan mereka sendiri.

Soalan: Bagaimana pasangan yang berkahwin berstatuskan HIV-positif boleh mendapat zuriat?

Pasangan yang berkahwin sama ada salah seorang daripada pasangan mereka ada HIV-positif atau kedua-duanya sekali, masih boleh mendapat zuriat yang sihat dan bebas daripada hiv. Pasangan ini disarankan untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapat khidmat nasihat dan membuat perancangan yang teratur dan teliti bagi mengelakkan zuriat mereka dijangkiti virus HIV.

Doktor juga akan memantau dan memberi isterinya (sekiranya HIV-positif) ubat-ubatan anti-HIV untuk diambil sebelum dia disahkan mengandung. Setelah disahkan mengandung, ia adalah amat penting bagi wanita ini untuk terus mengambil ubat-ubatan sehingga ia melahirkan anaknya.

Walaubagaimanapun, doktor akan menasihati wanita HIV-positif yang hamil hadir untuk pemeriksaan berkala dan menerima rawatan ubat pencegahan (mencegah penularan HIV kepada janin), kelahiran bayi secara biasa atau melalui caesarean jika perlu, bagi melahirkan anak dan pemberian susu formula dan bukan susu badan, bagi mengelak jangkitan HIV daripada ibu ke anak berlaku.


Soalan: Apakah yang dimaksudkan status “bayi bebas-HIV”?

Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang HIV-positif akan kelihatan normal dan sihat, ini tidak bermakna yang ia terus bebas daripada jangkitan HIV. Doktor akan memantau status kesihatannya sehingga 18 bulan bagi memastikan kesihatannya terjamin.

Ujian virologic akan dibuat keatas darah bayi ini mengenal pasti sekiranya ada terdapat virus HIV ini.Bayi ini akan  menjalani dua ujian virologic. Keputusan bagi kedua-dua ujian ini seharusnya negative, barulah keputusan “bebas-HIV” boleh dikenal pasti dan diputuskan. 

Doktor juga akan menyarankan ujian saringan antibodi-HIV perlu dibuat selepas bayi ini menjangkau 18 bulan bagi mengenal pasti tiada sebarang jangkitan berlaku.

 
ROSMAH DAIN - Utusan Malaysia

11 comments:

  1. tahniah buat Najmi atas perkongsian artikel ini kerana ini akan memberikan inspirasi buat wanita2 yang dijangkiti HIV untuk meneruskan hidup.
    Keep the good work and may Allah bless us all.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks Mr F, saya percaya ramai diluar sana masih tidak tahu tentang hakikat sebenar pekara inikan. Mudah-mudahan sesiapa yang terbaca akan semakin faham tentang HIV/AIDS.

      Delete
  2. perkongsian menarik.
    saya pernah terbaca, ada beberapa kes bayi dikandung ibu penghidap HIV, adalah bebas dari HIV kerana antibodi yang dihasilkan untuk melawan virus ini sejak dari dalam perut. sejauh mana kebenarannya saya tak pasti.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul lah tu shahirahkhairudin, tapi bagi semua pasangan PLHIV yang terlibat terutama ibu yang mengandung tu perlu ikut arahan doktor. Macam tu lah Allah nak tunjukkan kekuasaannya, rupanya masih ada cara bayi yang tak berdosa dilahirkan dengan sempurna, malah ramai golongan ibu atau wanita juga para bapa diluar sana yang terainaya mendapat virus ini tanpa mereka sedari kerana mereka tidak pernah terlibat dengan aktiviti2 berisiko sebelum itu.

      Delete
  3. :) rajin salin sendiri naj mi.. semoga sihat selalu.. :D

    ReplyDelete
  4. Assalammualaikum...inilah tanda kekuasaan Allah kan Najmi...saya nak tanya ni..banyak ke kes ibu yang disahkan hiv+ telah berjaya melahirkan baby yang bebas HIV+ dihospital dinegara kita ni..? tentu ada info dan maklumat yang baik dari hospital kan Najmi..perkembangan dari masa kesemasa tentang kejayaan pihak hospital menghadapi kes macam ni yer...

    Bersyukur kan..bagi pasangan yang menghidap HIV+...masih boleh lagi melahirkan zuriat
    yang sihat dan dan yang paling bahagia..apabila baby mereka bebas HIV+ !...:)

    syukran jazillan

    ReplyDelete
  5. syukran jazillan

    Betul... semua kuasa Allah... Allah beri kebijaksanaan kepada makhluk terpilihnya utk berfikir mengkaji cara mendapatkan bayi bebas HIV walaupun mak atau ayah bayi tu +ve kan... semua kuasa Allah tu...:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya sekiranya niat yang baik...ingin memiliki zuriat yang soleh dan dapat mendoakan kedua ibubapa ketika telah tiada didunia..selain meneruskan kelangsungan keturunan generasi yang baik dalam institusi keluarga...PASTI segalanya akan dipermudahkan ALLAH kan...??

      .....segala-galanya hanya sahaja ALLAH yang Maha Mengetahui apa yang terbaik kan..!

      :)

      Delete
  6. Salam.. Adakah risiko mendapat bayi HIV sekiranya si isteri seorang HIV -ve dan suami adalah HIV+ve? Dan apakah akan terjadi pada isteri, adakah dia juga akan dijangkiti kerana hubgn sex yg berlaku?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Anonymous

      Pertama sekali saya nak beritahu saya bukan lah bijak sangat , saya jawap soalan saudara/i mengikut apa yang saya tahu sahaja, mungkin betul mungkin salah

      Setahu saya peluang isteri +ve HIV dan suami yang juga +ve HIV utk dpt anak bebas HIV masih ada, kalau kedua suami isteri mempunyai kiraan CD4 yang tinggi dan VL tak dpt dikesan ketika itu mereka berhubung kemungkinan dpt anak bebas HIV adalah cerah.

      Tetapi suami isteri perlu dipantau doktor dan perlu mengambil ubatan yang diarahkan doktor.

      Senang kata jika suami isteri berkeinginan mempunyai anak bebas HIV sebelum berhubung mereka perlu mendapatkan pandangan dr doktor dulu. Saya tak tahu bagai mana proses dilakukan yang pasti ujian demi ujian pasti akan dijalankan dari masa kesemasa untk memantau keadaan suami isteri +ve tersebut.

      Waallahuallam

      Delete

LABELS

10 sepuluh (28) 4 peringkat hiv sebelum menjadi aids (1) 5 lima (11) adik MS (4) aids kaitan dengan penyakit kulit (1) aku plhiv redha (1) amenia dan hiv (1) apa itu hiv apa itu aids (1) aplikasi (4) asas tentang hiv/aids (6) baby free hiv (10) bacha bazi (1) bagaimana hiv berjangkit? (3) bagaimana hiv tidak berjangkit? (2) barah otak (1) baru diagnosis hiv (13) basikal (2) bengkak puting tetek (3) berapa lama kuman hiv bertahan diluar badan (1) berbekam (1) berita hiv/aids (112) bisekual (21) buku dan majalah (16) buku informasi hiv/aids (3) buku kehidupan yang positif (10) buku nota hiv/aids (4) buku panduan HIV Levi Strauss (3) cara mengetahui samada saya telah dijangkiti hiv? (1) CD4 (6) CMIA principle test (2) dairy kehidupan (342) delima (pomegranate) (2) derma darah (4) diabetes (3) Efavirenz (3) fakta (10) fidyah (1) filem (17) gonorea (3) HAART (27) habbatus sauda (nigella sativa) (1) harga ubatan (6) hari aids sedunia (12) hepatitis (3) herpes (9) herpes zoster (1) hiv bukan hukuman mati (1) hiv bukan penyebab aids (1) hiv kaitan dengan antidepresan dan penggunaan dadah (1) hiv kaitan dengan hipertensi dan osteoporosis (1) hiv kaitan dengan jantung dan diabetes (2) hiv kaitan dengan kanser dan ginjal (1) hiv kaitan dengan kemerosotan otak dan lemak (1) hiv kaitan dengan makanan dan supplemen (2) hiv kaitan dengan rokok dan alkohol (2) hiv test kit (8) homosekual (7) hukuman jenayah seksual luar tabii (2) icon (11) insurans/pinjaman peribadi plhiv (3) istilah yang perlu dielakkan (1) jangkitan dan simptom hiv (6) jangkitan hiv kali ke dua (2) jangkitan opportunistik (JO) (2) kaitan tidur dan hiv (1) kandida/fungus (1) kanser (12) kanser hidung (3) kanser payu dara lelaki (3) kaposi sarcoma (1) kaunseling telefon nombor (4) kelenjar tiroid (1) kesan sampingan (8) kesihatan (11) ketuat genital (4) keyakinan kemurungan kebimbangan terhadap hiv (20) khatan (7) kondom (3) lebah dan hiv/aids (3) lesbian (9) LGBT (31) lipoatrophy (5) liwat (14) luar negara (57) madu (1) majlis AIDS malaysia (MAC) (1) maklumat hiv/aids (158) mengapa perlu lakukan ujian hiv awal? (2) methadone maintenance therapy (MMT) (1) MFZ (3) minda jasmani rohani (1) mitos hiv (5) mulut dan gigi (1) MylifeMystoryPT (6) NAJMI (56) najmi jumpa doktor (9) nelayan dan hiv (1) nukilan (1) nyamuk (3) onani (2) organ hati/hepatoksisiti (1) p t foundition (2) panduan/petua (47) peenyembuhan penyakit hiv/aids (1) pemakanan (1) penagih dadah (13) penawar HIV/AIDS?? (2) pengenalan hiv/aids (1) penuaan (1) penyakit kelamin (30) pep - post exposure prophylaxis (2) peria katak (1) perkahwinan (70) photo (11) PLHIV (175) pneumonia (1) positif thinking (1) prosedur melangkah jalani ujian hiv (3) puasa (17) rawatan (8) rawatan dan sokongan bantuan (1) rawatan peringkat ke 2 (2) red ribbon (1) remaja bawah umur dan hiv (6) rencana/artikel (58) risalah (12) rogol (9) rumah perlindungan hiv (23) rumah wahidayah (9) RVD (RetroViral Disease) (1) sajak (1) sauna (2) saya positif (9) sejarah hiv/aids (5) seks dan hubungan (28) selebriti (13) sembuh cara islam (2) senaman (2) siapa hendak diberitahu? (3) sifilis (4) skim PAL (2) SLE (Systemic Lupus Erythematosus) (1) SLN30 (1) soaljawab (89) solat (2) songsang (286) spirulina (1) stavudine (1) stigma/diskriminasi (27) stress (3) sub-jenis jenis golongan dan jenis hiv (1) tatoo dan tindik (1) TB tuberculosis (4) TENVIR EM dan STOCRIN (2) top vs bottom (1) travel dan plhiv (9) truvada pil pencegah hiv (1) ubat generik (2) ujian air kencing (2) ujian hiv imun cd4 dan viral load (2) ujian saringan hiv (15) umrah dan haji (4) urusan jenazah (6) video (83) viral load (5) wanita (119) window period 14 days (3) zakat (1) zali dan lisa (4) zoophilia (1)

RECENT POST